Anda di sini

KWSP sangkal mesej WhatsApp mengenai kegagalan fungsi sistem

 

KUCHING: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam laman Facebook rasminya menyangkal mesej disebar menerusi WhatsApp yang mendakwa sistem tidak akan berfungsi (system down) selama enam bulan.

Dibawah pengumuman berhubung kebakaran di bangunan KWSP Petaling Jaya, pengguna Facebook Angie Loo meminta KWSP mengesahkan mesej WhatsApp berkenaan. Pentadbir laman itu mengesahkan mesej itu palsu, memandangkan ia bukan daripada pihaknya.

Seorang lagi pengguna, Joshua Siew bertanya jika pengeluaran masih boleh dibuat ketika penutupan sementara cawangan Petaling Jaya.

KWSP memberi jaminan bahawa ahli-ahlinya boleh membuat pengeluaran di pejabat terdekat, dan operasi KWSP adalah berjalan seperti biasa.

Mesej palsu yang disebarkan dalam WhatsAppp mendakwa sistem KWSP akan tergendala selama enam bulan susulan kerja-kerja pembaikan disebabkan kebakaran misteri.

Mesej itu turut mendakwa transaksi pengeluaran tidak dapat dijalankan dalam tempoh tersebut.

KWSP dalam satu catatan turut mengumumkan cawangan dan pejabat Petaling Jaya ditutup buat sementara waktu sehingga tarikh dimaklumkan kelak berikutan kejadian kebakaran di bangunan tersebut.

Katanya, Pasukan Pengurusan Krisis Cawangan telah bekerja dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke tingkat lain atau kawasan sekitar, serta melakukan pengungsian bangunan demi keselamatan pelanggan dan kakitangan.

“Kami ingin memberi jaminan kepada ahli bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas.

“Kami akan sentiasa memantau situasi dan akan memaklumkan sebarang perkembangan setelah operasi cawangan dibuka semula,” katanya.

Ahli dan majikan yang ingin menjalankan sebarang transaksi dengan KWSP dinasihatkan untuk menghubungi atau mengunjungi cawangan KWSP terdekat.

Selain itu, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 atau menghantar pertanyaan melalui lamanweb myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my.