Anda di sini

160 kaki judi ditahan dalam 97 serbuan sepanjang minggu lalu

 Polis ketika menjalankan operasi judi di Sarawak sepanjang minggu lalu.
SERBUAN: Polis ketika menjalankan operasi judi di Sarawak sepanjang minggu lalu.

KUCHING: Polis Sarawak terus memerangi jenayah judi di negeri ini sepanjang minggu lalu dengan penahanan seramai 160 orang dalam 97 serbuan yang dilaksanakan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar dalam kenyataannya semalam, ia merupakan jumlah tangkapan terbesar setakat ini dalam operasi yang dilakukan dalam tempoh tujuh hari.

Operasi mulai 5 hingga 11 Februari itu membabitkan operasi judi siber, penjualan loteri (4D) haram, judi secara terbuka dan perjudian di rumah judi di 24 daerah.

Dalam usaha berterusan membasmi perjudian siber, polis terus menggempur premis kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi yang menawarkan tambah nilai permainan judi dalam talian.

Pada operasi yang dijalankan itu polis menahan 30 individu selain merampas 27 unit telefon mudah alih, tablet dan wang tunai berjumlah RM6,299.

Manakala serbuan ke atas premis menjual loteri haram pula telah berjaya menahan 74 individu. Malah pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM20,501 serta telefon bimbit, pencetak mudah alih, kalkulator, alat tulis dan slip pertaruhan,” katanya.

Untuk judi holo, 56 individu ditahan dari 13 daerah selain merampas wang tunai RM4,410.

Menurut Dev, kesemua individu yang ditahan berusia antara 16 hingga 61 tahun, dengan 90 daripadanya adalah lelaki manakala bakinya wanita termasuk lapan warga asing.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.