Anda di sini

Empat tukang urut Vietnam didenda

Advertisement

PETALING JAYA: Empat wanita warga Vietnam masing-masing didenda maksimum RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas  pertuduhan melanggar syarat pas lawatan untuk bekerja sebagai tukang urut di negara ini.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Pham Bich Phuong, Pham Thi My Nan, Nguyen Thi Nhi dan Nguyen Ngoc Hien, berusia antara 26 dan 34 tahun kerana melakukan kesalahan itu di premis Any Times, Jalan Puteri 1/4, Bandar Puteri Puchong, di sini pada 12.30 tengah malam, 1 Januari lalu.

Pertuduhan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 39 peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun kesemua tertuduh yang diwakili peguam Mohd Syazwan Mohd Hassan merayu hukuman berbentuk denda ringan kerana semua tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Di mahkamah sama, seorang jurutera, D. Kamalesvaren, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan ketakutan melalui telefon terhadap P. Kalidasshah dengan mengeluarkan kata-kata ugutan iaitu hendak memukul dan memecahkan mukanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan 5/54, Taman Petaling, di sini, pada kira-kira jam 8.30 malam, 14 Januari lalu mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya.

Phoon menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah dan mahkamah membenarkannya diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 23 Februari untuk sebutan semula kes. Bernama

Advertisement