Anda di sini

Reman tujuh hari

Kes lelaki ditahan dengan mayat anak kekasihnya dalam but kereta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret petang semalam untuk mendapatkan perintah reman.
DISYAKI MEMBUNUH: Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret petang semalam untuk mendapatkan perintah reman.

MIRI: Seorang pekerja kilang perabot yang ditangkap kerana disyaki membunuh anak teman wanitanya diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat kanan ASP Lee Chee Keat dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Lee memberitahu, sekitar jam 5.55 petang kelmarin, sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) yang membuat rondaan di Jalan Perlis, Kuala Baram terserempak dengan sebuah kereta yang diparkir dalam keadaan mencurigakan di sebatang lorong berdekatan semak.

Suspek, 33, yang berasal dari Kuala Lumpur, dilihat berdiri di bahagian belakang kereta dengan but terbuka.

Sebaik menyedari kehadiran polis, lelaki terbabit lalu menutup but dan terus masuk ke dalam kereta sebelum memecut laju kenderaannya meninggalkan tempat tersebut.

Pasukan MPV terbabit bertindak mengejar lelaki terbabit sejauh lima kilometer dan berjaya menahannya ketika berhenti di simpang Pelabuhan Miri, Kuala Baram.

Sebaik ditahan, polis kemudian mengarahkan lelaki terbabit keluar dan membuka but keretanya.

Apabila diperiksa, polis telah menjumpai mayat seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di dalam but kenderaan terbabit.

Berikutan itu, lelaki terbabit yang merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Dalam permohonan lanjutnya, Lee memberitahu, reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehkan polis  menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan suspek dan juga saksi terlibat, justeru membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan tempoh reman ke atas suspek akan tamat pada 17 Januari ini.