Anda di sini

MPC membantu kecemerlangan organisasi di Sarawak

Advertisement
 Pegawai Perhubungan Awam Hospital Umum Sarawak (HUS) Boniface Lasek (kiri) memberi peneranagan berkaitan kempen tersebut kepada Abang Abdul Karim (dua kiri) sambil ditemani Tengku Azmi (tiga kiri) semalam.
PENERANGAN: Pegawai Perhubungan Awam Hospital Umum Sarawak (HUS) Boniface Lasek (kiri) memberi peneranagan berkaitan kempen tersebut kepada Abang Abdul Karim (dua kiri) sambil ditemani Tengku Azmi (tiga kiri) semalam.

KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sepanjang tahun 2017 telah memperkenalkan 13 program baharu bagi membantu kecemerlangan organisasi di negeri ini.

Menurut Pengarah MPC Wilayah Sarawak Tengku Azmi Tengku Majid pihaknya mendapat maklum balas sebanyak 92 peratus terhadap kesemua program yang dijalankannya.

“Pada tahun ini, MPC Wilayah Sarawak telah memperkenalkan 13 program baharu di mana pencapaian sebanyak 92 peratus program berjaya dijalankan.

“Antara program yang diperkenalkan ialah program kecemerlangan perniagaan yang berpandukan Malaysia Business Excellence Framework (MBEF),” katanya ketika berucap pada Seminar Peningkatan Produktiviti Industri dan Cakna Produktiviti Bersama Rakan Industri Melalui Kempen Derma Darah 2017 di MPC Wilayah Sarawak semalam.

Pada majlis yang sama, Ahli Lembaga Pengarah MPC Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg berkata seminar tersebut dipercayai berupaya  memperkasakan keupayaan organisasi di Sarawak.

Ia juga merupakan program usaha sama yang pertama kali diadakan antara MPC, SEA dan Asteel Sdn Bhd.

“Saya gembira dengan program ini di mana agensi kerajaan dan swasta dapat bekerjasama dalam menunjukkan kecemerlangan organisasi yang menjadi hasrat semua.

“Seperti yang diketahui umum, Malaysia Productivity Blueprint telah dilancarkan Perdana Menteri pada 8 Mei lepas dengan memberi keutamaan kepada tiga subsektor dalam fasa pertama iaitu peruncitan, kimia dan E&E.

“Bagi memastikan maklumat berhubung Malaysia Productivity Blueprint dapat difahami oleh komuniti industri, MPC Wilayah Sarawak mengambil inisiatif bekerjasama dengan SEA untuk tujuan itu,” tambahnya.

Pada masa yang sama, kempen tersebut merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang ketiga dijalankan pihak MPC Wilayah Sarawak kepada masyarakat di sekitar kawasan perindustrian Demak Laut.

Pihaknya menyasarkan sekitar 150 orang menyertai kempen derma darah yang dijalankan pihaknya sementara 100 lagi telah menyertai seminar tersebut.

Turut hadir bagi sesi pembentang ceramah adalah Pengerusi Persatuan Elektrikal Sarawak (SEA) Dato Sri Peter Lu, Pengarah Pembangunan Kualiti dan Kecemerlangan MPC Sarimah Misman dan Pengarah Pembangunan Produktiviti dan Daya Saing MPC Roslina Md Isa.

Pengarah Urusan Asteel Sdn Bhd Victor Hii juga hadir sama.

  • oleh
  • Advertisement