Anda di sini

NAIM GAMUDA NAIK TARAF SYARIKAT TEMPATAN

Advertisement

KUCHING: Projek Lebuhraya Pan Borneo (PBH) yang amat dinantikan rakyat tempatan bukan hanya mengubah prospek kesinambungan (connectivity) di Sarawak, ia juga mengembangkan keupayaan rantaian bekalan tempatan.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya, mendapat faedah yang tinggi daripada manfaat pengganda ekonomi dari projek tersebut. Bagi syarikat Bumiputera Sarawak yang terlibat dalam projek itu, PBH menjadi dorongan besar yang bakal meningkatkan keuntungan mereka dan menjana pertumbuhan serta pembangunan mampan di Bumi Kenyalang.

Selain itu, kemunculan prospek perniagaan baharu menyediakan peluang pekerjaan yang mampu mengubah gaya hidup bagi penduduk tempatan yang tinggal di sepanjang jajaran PBH.

Contohnya pakej kerja WPC 04 yang dianugerahkan kepada Naim Gamuda (NAGA) JV Sdn Bhd; jalan sepanjang 91km dari Persimpangan Pantu ke Btg Skrang, Sarawak, merancakkan dan memperkayakan kawasan seperti Sri Aman dan Lachau.

Selari dengan kemajuan projek, penduduk tempatan dapat mencari jalan ke dalam ekosistem sedia ada sebagai usahawan besar dan kecil, melalui peluang perniagaan seperti makanan dan minuman, pengangkutan, bekalan buruh dan khidmat sokongan lain.

Setakat Oktober 2017, lebih 222 kontraktor dan pembekal sudah menjadi sebahagian daripada rantaian nilai Naim Gamuda, dengan kontrak keseluruhan bernilai RM794 juta. Daripada jumlah ini, PKS Bumiputera Sarawak dianugerahkan kontrak berjumlah RM400 juta, yang merangkumi 50 peratus nilai kontrak kesuluruhan. 

Kerja kontrak projek tersebut melibatkan pembekalan produk atau servis bagi kerja sokongan dan pakar seperti pelapangan tapak, geoteknikal, kerja cerucuk dan perparitan; pembekalan bahan pembinaan, loji dan peralatan industri lain.

RANGSANGAN YANG DIALU-ALUKAN BAGIMASYARAKAT BUMIPUTERA SARAWAK

Eastbourne Corporation Bhd merupakan subkontraktor Bumiputera Sarawak terbesar bagi  Naim Gamuda yang telah dianugerahkan kontrak kerja penurapan jalan.

Tidak banyak syarikat Bumiputera yang berkecimpung dalam bidang pembinaan apabila syarikat Eastbourne ditubuhkan di Sarawak.  Sejak 1991, syarikat pelbagai niaga itu telah berjaya menyiapkan beberapa buah projek ikonik bernilai lebih RM2 bilion, menjadikannya antara syarikat pembinaan berkapasiti tinggi di Sarawak.

Pengarah eksekutif syarikat, Muhd Mazharuddin Siddiqi berkata syarikatnya turut memainkan peranan penting dalam usaha mengangkat status sosial dan ekonomi Sarawak melalui penyediaan peluang pekerjaan dan perniagaan bagi penduduk tempatan.

“Kerja kita sudah bermula untuk WPC 04. Kami baru-baru ini merekrut beberapa orang pakar dan akan melantik lebih ramai lagi apabila kerja bagi projek itu semakin maju. Kami juga sudah melabur hampir RM2 juta untuk mendapatkan jentera seperti mesin pengorek dan jentolak kerana skala projek memerlukannya.

“Kolaborasi ini membolehkan perkongsian maklumat dan pemindahan ilmu pengetahuan di antara Naim Gamuda sambil mempertingkatkan keupayaan dan kemahiran tenaga kerja bersama kami. Saya amat percaya bahawa bersama, kita dapat menjadi pemangkin utama bagi pertumbuhan ekonomi Sarawak dan meningkatkan kelebihan kompetitif kami,” kata Muhd Mazharuddin.

A.P.W.D Consortium dan Borneo Assets Sdn Bhd merupakan syarikat-syarikat Bumiputera penting lain yang sudah mendapat kontrak melalui pakej WPC 04 Naim Gamuda.  

Kontrak A.P.W.D bernilai jutaan ringgit menyediakan khidmat kerja tanah dan pelapangan tapak yang kini sedang giat dijalankan manakala kontrak Borneo Assets bagi kerja perparitan dan pembetungan akan bermula tidak lama lagi. 

Borneo Assets berharap untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerjanya menerusi latihan yang disediakan oleh CIDB dan Naim Gamuda. Ini bukan hanya akan membantu syarikat itu berkembang tetapi juga melengkapkan bakat tempatan dengan kepakaran perindustrian tambahan yang pada akhirnya meningkatkan standard industri pembinaan di Sarawak dan menjadikan syarikat-syarikat sepertinya kompetitif atau berdaya saing pada peringkat global.

MELIHAT LEBIH JAUH DARIPADA KEUNTUNGAN

Kejuruteraan Syatek Sdn Bhd adalah sebuah lagi syarikat Bumiputera yang mampu memberi impak besar kepada WPC 04 – syarikat tersebut memperolehi empat kontrak bernilai RM1.4 juta untuk kerja makmal dan geoteknikal.

Penyedia khidmat perundingan itu menasihati Naim Gamuda tentang keadaan tanah menerusi khidmat ujiannya selain khidmat lain. Maklumat sebegini amat penting bagi mana-mana kontraktor pembinaan utama kerana ia memberi maklumat kepada mereka tentang keadaan tanah yang mereka usahakan.

Permukaan bumi bagi projek PBH, termasuk jajaran WPC 04, merangkumi tanah gambut yang perlu dialih atau diurus sebelum kerja pembinaan boleh dimulakan.   

“Saya sendiri seorang jurutera. Saya dapati industri tempatan kita mempunyai tahap kesedaran yang rendah tentang kepentingan perkhidmatan seperti ujian dan pemeriksaan tanah. Kita memerlukan kepakaran sedemikian untuk mengetahui sedalam mana kita dapat menggerudi bagi kerja memantak cerucuk, selamat atau tidak kawasan berkenaan bagi kerja pelapangan  tanah, dan banyak lagi,” kata Pengarah Urusan Kejuruteraan Syatek, Abang Abdul Halil Abang Naili.

Beliau juga ingin menerokai peluang dalam perkhidmatan nasihat pelindungan dan pemantauan lereng bukit bagi projek itu. Selain menawarkan penyelesaian yang baik, maklumat sedemikian dapat memastikan tempat kerja bebas daripada kemalangan.

Bagi Jimisar Corporation Sdn Bhd dan Jimisar Autotrade Sdn Bhd (sebuah syarikat Bumiputera di bawah Kumpulan Ismaco-Jimisar), kontrak WPC 04 merupakan antara kontrak yang lebih unik bagi mereka. 

Ia bukan sahaja mengubah cawangan mereka di Sri Aman kepada salah satu unit perniagaannya yang paling pesat, ia juga memberi peluang kepada mereka untuk memainkan peranan penting dalam usaha memupuk kesedaran tentang keselamatan jalan raya di kawasan tersebut, memandangkan mereka berpeluang mengambil bahagian dan belajar daripada kempen keselamatan dan latihan keselamatan yang diatur oleh Naim Gamuda di Sri Aman

Untuk rekod, Sri Aman adalah lokasi pusat bagi WPC 04, yang meliputi Persimpangan Pantu ke Btg Skrang. Selain peranan Naim Gamuda sebagai kontraktor bagi pakej tersebut, ia turut mengendalikan pusat latihan pertama di Sarawak yang memberi tumpuan khusus kepada kualiti, keselamatan, kesihatan dan alam sekitar (QSHE) serta kuarters buruh berpusat yang dibina khas untuk menempatkan pekerja pembinaan.

“Kami ada lebih 300 anggota tenaga kerja dan sudah berada di pasaran selama 35 tahun. Hubungan kami dengan Naim Gamuda bermula pada tahun lepas, apabila kami dengan jayanya membekalkan lebih 40 unit kenderaan Mitsubishi untuk WPC 04,” kata Pengarah Urusan Jimisar Autotrade Sdn Bhd, Mariana Ismail.

“Naim Gamuda merupakan pelanggan pertama dan terbesar yang telah membeli kenderaan terbaharu kami, sebelum kami melancarkannya secara rasmi. Apabila tempahan diluluskan, kami terus memastikan semua juruteknik di Sri Aman memiliki keupayaan untuk menangani keperluan projek mereka.”

“Sebelum ini, juruteknik kami hanya terlibat dalam kerja penyelengaraan asas. Sebarang isu besar perlu dirujuk kepada pejabat kami di Kuching tetapi disebabkan oleh jumlah kenderaan kami di Sri Aman sekarang, kami perlu memastikan seluruh kru disana telah menerima latihan kilang,” kata Mariana.

Bagi Jimisar, kontrak itu membawa transformasi. Ia bukan sahaja membantu mengembangkan operasi dan perniagaan mereka di Sri Aman malah telah mendorong mereka untuk meningkatkan kemahiran pekerja melalui latihan teknikal dan servis pasca jualan.

Mereka juga diberi tanggungjawab untuk menyerahkan kenderaan keselamatan – tugasan pertama seumpamanya – agar ia dapat berfungsi sebagai kenderaan penyelamat bagi WPC 04, kerana Naim Gamuda memberi penekanan tinggi kepada keselamatan dan kesihatan bagi projek tersebut.

“Bukan itu sahaja. Pembekal dan subkontraktor tempatan juga tahu keadaan jalan yang dilalui oleh kenderaan kami. Tatkala mereka mengambil perhatian terhadap pembelian Naim Gamuda, mereka cenderung menganggap kenderaan kami sebagai kenderaan yang efisien dan boleh diharapkan dan mereka juga membeli kenderaan kami untuk kegunaan sendiri,” kata Mariana.

Beliau menambah, kontrak itu ternyata telah mengukuhkan kedudukan syarikat mereka sebagai salah satu pemain armada terkuat, bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di Malaysia sehinggakan mereka dianugerahkan Top Fleet Dealer in Malaysia pada tahun lepas.

“Mengikat kontrak bekalan ini bersama Naim Gamuda adalah satu pengendorsan yang besar bagi Mitsubishi Motors dan perkhidmatan kami. Sebagai sebuah syarikat Bumiputera Sarawak, kami juga rasa amat bertuah untuk menjadi sebahagian daripada projek Pan Borneo,” kata Mariana.

Beliau menambah, kontrak itu telah memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan tahap daya saing dan inovasi dalam tawaran perkhidmatan dan produk mereka kepada Naim Gamuda, sekali gus menambah baik pertumbuhan perniagaan.

PROSES PEROLEHAN YANG KETAT

Strategi perniagaan yang baik amat penting untuk menentukan rantaian bekalan bagi projek sebesar PBH dan ini juga digunapakai kepada WPC 04, kata Pengarah Projek Naim Gamuda, Deric Kua Kee Sin.

Kua berkata subkontraktor bagi WPC 04 dipilih berdasarkan dua kriteria penting: pengalaman dan kedudukan kewangan.

“Bagi WPC 04, Naim Gamuda mempraktikkan ‘subtrade’ di mana sesetengah kontrak diagihkan kepada beberapa subkontraktor manakala kontrak lain dikongsi. Strategi perolehan kami adalah sedemikian kerana PBH merupakan projek yang amat besar dan kami memerlukan subkontraktor yang boleh diharap. Contohnya, kerja perparitan sudah disubkontrakkan kepada lapan subkontraktor disebabkan oleh jarak jajaran. Sebanyak 70 peratus kerja pembersihan tapak dibuat oleh kami, manakala 30 peratus diberikan kepada beberapa subkontraktor,” kata Kua.  

Dengan cara ini, Naim Gamuda dapat memantau kemajuan projek dan mengekalkan kadar kemajuan yang sihat selain melantik pembekal dan subkontraktor yang berkemampuan tinggi.

Beliau menambah subkontraktor Bumiputera bagi WPC 04 adalah antara yang terbaik dan mempunyai rekod prestasi yang mengagumkan.

Bagi Kua, projek PBH merupakan penganjak besar bagi Sarawak. Berdasarkan pengalamannya, limpahan ekonomi dari projek itu memacu Sarawak ke arah prospek pembangunan tanpa batas dan akan membolehkan PKS tempatan menggilap kepakaran masing-masing. 

Ini dapat melengkapkan industri tempatan dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing pada peringkat global.

Jika WPC 04 sahaja mempunyai potensi yang begitu tinggi ini untuk menjana pertumbuhan ekonomi tempatan, bayangkan apa yang dapat dijana oleh projek PBH untuk Sarawak dan negeri jirannya Sabah.  

PERANAN LBU

Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) merupakan Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak. LBU, sebuah syarikat tempatan Sarawak yang beribu-pejabat di Kuching. Ia terdiri daripada sepasukan kakitangan Bumiputera yang berkelayakan dan  berpengalaman dalam pembinaan serta pengurusan dan pembangunan projek. LBU disokong oleh Lembaga Pengarah dengan kepakaran pembinaan lebuhraya yang mampu menyiapkan Lebuhraya tersebut menurut spesifikasi bajet dan masa.

LBU telah mengambil masa yang lama untuk memajukan dan mencadangkan konsep projek yang sesuai dan boleh dilaksanakan kepada Kerajaan Malaysia bagi projek Lebuhraya Pan Borneo. Selain menyampaikan nilai terbaik, LBU turut memaparkan komitmen untuk membabitkan bakat, kontraktor, syarikat dan sumber tempatan bagi membina kepakaran tempatan dalam pembinaan lebuhraya ini.

Advertisement