Anda di sini

Risiko psikososial perlu dianggap sebahagian aspek KKP: Lee

Advertisement

KOTA KINABALU: Risiko psikososial perlu dianggap sebahagian aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) selain diambil kira apabila majikan membangunkan sistem pengurusan KKP mereka.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, terdapat keperluan untuk memasukkan program kesihatan menyeluruh di dalam sistem pengurusan KKP memandangkan risiko psikososial turut memberi kesan kepada keselamatan di tempat kerja.

Jika kita tidak mempedulikan isu psikososial, bersedialah untuk berhadapan akibatnya kerana kajian menunjukkan bahawa ia adalah antara penyebab utama kemalangan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo kali ke-5 (BOSH2017), di sini pada Selasa.

Beliau berkata, NIOSH telah memperkenalkan program Promosi Kesihatan dan Kesejahteraan Menyeluruh (TWHP) sejak tahun 2003 bertujuan mewujudkan tenaga kerja yang mapan dan dan sihat di negara ini.

Program TWHP NIOSH sebagai contoh, menyediakan program sistematik untuk membantu pihak industri mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk tekanan perasaan dan penyakit mental.

Terdapat lima kategori bahaya kesihatan di tempat kerja iaitu fizikal, kimia, biologi, ergonomik dan psikososial manakala tekanan perasaan terletak di bawah kategori psikososial,” katanya.

Menurutnya, semua organisasi juga perlu memberi perhatian kepada tekanan perasaan, risiko psikososial serta menjadikannya sebahagian daripada strategi keselamatan dan kesihatan untuk mengurangkan kemalangan serta kecederaan di tempat kerja.

Katanya, perkara itu penting kerana Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan bahawa kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 dan ke atas atau 29.2 peratus penduduk mengalami pelbagai masalah mental.

Jumlah ini membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding 2006.

Pengurusan tekanan dan risiko psikososial yang baik di tempat kerja akan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, di mana pekerja berasa dihargai dan budaya kerja pula lebih positif.

Seterusnya, produktiviti dan prestasi perniagaan akan menjadi bertambah baik,” katanya.

Lee berkata, walaupun terdapat banyak faktor penyumbang kepada masalah kesihatan mental pekerja tetapi terdapat bukti bahawa persekitaran tempat kerja antara penyebab utama.

Katanya, persekitaran psikososial yang baik boleh memberi manfaat kepada pekerja. Mereka akan berasa lebih dihargai dan yakin.

Sebaliknya, persekitaran psikososial yang buruk memberikan kesan negatif kepada pekerja,” katanya.

Katanya, memandangkan pekerja menghabiskan satu pertiga daripada masa mereka di tempat kerja, isu-isu berkaitan adalah salah satu faktor penyumbang utama kemurungan.

Beliau berkata, prestasi pekerja, kekerapan mengambil cuti sakit, ketidakhadiran, kemalangan dan kadar berhenti kakitangan juga bergantung kepada status kesihatan mental di tempat kerja.

Mengenai BOSH 2017, Lee berkata beliau berpuas hati dengan penyertaan aktif pengamal KKP dari Sabah dan Sarawak.

Beliau juga menggesa mereka untuk menyokong usaha kerajaan negeri dan NIOSH untuk menggalakkan amalan KKP yang baik dalam pelbagai industri terutamanya sektor pelancongan dan pertanian dan dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana.

Hadir sama ialah Pengerus NIOSH Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Mohd Hussin Abd Salam dan Pengurus NIOSH Sawarak Mohamad Anizan Mohamed Amin.

Advertisement