Anda di sini

SK Hulu Pelagus di Kapit kini berwajah baharu

Advertisement
 Pemandangan SK Hulu Pelagus.
BERWAJAH BAHARU: Pemandangan SK Hulu Pelagus.

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Hulu Pelagus di Kapit kini berwajah baharu apabila Petronas bersama lapan rakan niaganya komited melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di sekolah itu menerusi Program ‘Outreach’ Petronas.

Program lebih dikenali sebagai melaksanakan pembangunan pendidikan secara percuma itu dengan membantu menaik taraf prasarana serta kemudahan lain di sekolah.

Sekolah terletak jauh di pedalaman itu hanya dapat dihubungi menerusi pengangkutan sungai dari Sibu dan meneruskan perjalanan menaiki pacuan empat roda menggunakan jalan balak.

Dari Sibu menggunakan bot ekspres menuju ke Pangkalan Kem Arang Batu, Kapit mengambil masa kira-kira tiga jam.

Tiba di kem tersebut, perjalanan diteruskan dengan menaiki pacuan empat roda mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke sekolah tersebut.

Satu lagi alternatif jalan ke sekolah itu dengan menggunakan jalan darat dari Tatau, Bintulu iaitu menerusi Jalan Sangan- Nanga Merit mengambil masa kira-kira enam jam lebih tanpa menggunakan pengangkutan sungai.

Sekolah itu turut dihubungi beberapa rumah panjang di kawasan Hulu Pelagus menggunakan kuasa solar serta generator bekalan elektrik manakala kemudahan telekomunikasi masih menghadapi masalah dan tiada kelihatan menara didirikan.

Bagaimanapun, SK Hulu Pelagus turut mempunyai wifi sendiri bagi memudahkan sekolah itu dihubungkan dengan dunia luar menerusi tahap telekomunikasinya.

Mengenai program itu, Petronas bersama lapan rakan niaganya membelanjakan sejumlah RM1.35 juta di sekolah tersebut merangkumi pembinaan sebuah dewan, laluan pejalan kaki berbumbung, tandas baharu asrama, pintu masuk sekolah dan penaiktarafan kemudahan sekolah lain.

Lapan rakan niaganya ialah Air-Marine Freight Services Sdn Bhd, Dayang Enterprise Sdn Bhd, Hyperwave Systems And Engineering Sdn Bhd, Kemudi Harta Sdn Bhd, Kumus Sdn Bhd, KPG Engineering Sdn Bhd, Rahabco Engineering And Construction Sdn Bhd dan PTT Corporation Sdn Bhd.

Semua syarikat tersebut termasuk Petronas bersama menyumbang pembangunan itu dilaksanakan secara berkongsi.

Program bermula Mac lalu memberi faedah kepada seramai 54 murid-murid, 14 guru dan sembilan kakitangan sokongan sekolah kawasan pedalaman terbabit.

Program ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing.

 Murid-murid serta tetamu menunjukkan tanda penghargaan kepada Petronas pada program tersebut.
TERIMA KASIH: Murid-murid serta tetamu menunjukkan tanda penghargaan kepada Petronas pada program tersebut.

PROGRAM OUTREACH PETRONAS

Petronas sentiasa mengagihkan keuntungannya kepada masyarakat.

Konsep itu digunakan bagi menyediakan kemudahan serta prasarana yang baik kepada masyarakat memerlukan.

Tiga fokus utama mereka melaksanakan program CSR ialah pendidikan, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan persekitaran.

SK Hulu Pelagus di Kapit kini berwajah baharu Kini, Petronas menjalankan program ‘outreach’ ke sekolahsekolah di kawasan pedalaman menyediakan kemudahan, prasarana dan persekitaran dengan menekankan bidang pendidikan sangat penting.

Begitu juga memupuk gaya hidup sihat dan selesa dengan pembangunan dilaksanakan.

Program lama dilaksanakan ini memberi impak kepada masyarakat di negeri ini termasuk di luar bandar.

Pada program sama, Petronas melaksanakan CSR mereka di Long Semadoh, Lawas pada 2010, SK Barrau Hulu, Tatau (2011), SK Long Urun, Belaga (2012), SK Uma Sambop (2014), SK Bukit Balai Tubau (2015), SK Nanga Penyarai, Tatau (2016) dan SK Hermanuss Assan, Sebauh (2016).

Tahun ini, SK Hulu Pelagus terpilih untuk projek CSR mereka.

Kesungguhan rakan niaganya membolehkan projek CSR berjalan lancar apabila mereka bersama melaksanakannya.

Selepas berjaya menjalankan projek CSR di Nanga Penyarai pada tahun lalu banyak rakan niaganya bersetuju mahu bekerjasama melaksanakannya pada masa akan datang.

Petronas berharap dengan adanya sumbangan rakan niaganya di SK Hulu Pelagus, rakan-rakan niaganya diharap dapat meneruskan usaha murni mereka pada projek-projek akan datang.

PROGRAM CSR PENDIDIKAN DI SK HULU PELAGUS

Sekolah terletak di kawasan jauh pedalaman serta menghadapi kekurangan kini banyak berubah dengan prasarana dan kemudahan dilaksanakan menerusi projek CSR tersebut.

Bermula dari sebuah sekolah daif, kini SK Hulu Pelagus mempunyai sebuah dewan baharu, laluan pejalan kaki berbumbung, tandas baharu asrama, pintu masuk sekolah dan penaiktarafan kemudahan lain.

Semuanya berjumlah RM1.35 juta.

Tempoh masa menyiapkan sepenuhnya projek-projek itu mengambil masa selama 210 hari.

Sejak April, kakitangan sukarela Petronas berkampung di sekolah tersebut sehingga siap sepenuhnya penghujung Oktober lalu.

Sukarela turut bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bergotong-royong mengindahkan kawasan sekolah selain menganjurkan program kesedaran mencegah kebakaran dan mengadakan demonstrasi.

Mereka turut mengadakan aktiviti berkongsi pengalaman dengan murid-murid bagi mendedahkan anak-anak tentang alam pekerjaan serta peluang bekerja dengan syarikat Petronas.

Seramai 100 kakitangan sukarela Petronas berkampung di sekolah tersebut memantau serta menyiapkan projek-projek itu.

CABARAN DI KAWASAN HULU PELAGUS

Memang tidak dapat dinafikan masalah logistik adalah cabaran utama Petronas membawa pembangunan di kawasan Hulu Pelagus.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia LNG Sdn Bhd, Ir Pau Kiew Huai berkata antara masalah pertama dihadapi mereka ialah logistik.

“Ini kerana bahanbahan binaan dihantar menggunakan jalan balak dari Bintulu.

Lori digunakan itu mengambil masa 10 jam untuk sampai ke sekolah ini.

“Selalunya, pemanduan secara normal adalah mengambil masa enam jam ke sini dari Bintulu.

“Dengan permukaan jalan balak berbukitbukau serta laluan tidak rata adalah risiko tinggi untuk kami sampai ke sini membawa bahan-bahan binaan,” katanya kepada pemberita.

Pau memberitahu, selain itu mereka juga menghadapi masalah bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.

“Inilah paling mencabar bagi kami menjalankan program CSR berbanding kawasan-kawasan lain,” jelasnya.

Beliau turut memuji kakitangan sekolah tersebut banyak membantu mereka dalam usaha melaksanakan projek tersebut.

“Komitmen ditunjukkan oleh wakil-wakil rakyat di kawasan ini memudahkan kami melaksanakannya atas bantuan mereka dari segi sokongan dan nasihat.

“Tidak ketinggalan juga Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak diketuai Pengarahnya, Rakayah Madon.

Semuanya menyokong usaha murni membangunkan sekolah demi anak-anak luar bandar menikmati taraf pendidikan secukupnya,” jelasnya.

BAGAIMANA PROJEK CSR DAPAT DIJALANKAN DI SK HULU PELAGUS

Seorang guru mengajar di sekolah tersebut, Felicia Jigai, 28, adalah pencetus kepada projek CSR ini.

Beliau ketika ditemui memberitahu idea membangunkan sekolah ini adalah datang daripadanya setelah melihat kedaifan SK Hulu Pelagus selama empat tahun mengajar di situ.

Guru berasal dari Bintulu itu berkata, setelah melihat keadaan itu beliau berfikir untuk membantu sekolah mencari sumber bantuan.

“Saya mempunyai seorang rakan bekerja di bahagian CSR Petronas dan di situlah saya mengadu kepadanya tentang masalah sekolah ini.

“Setelah berbincang serta melalui beberapa prosedur akhirnya Petronas bersetuju melaksanakan program CSR ini,” katanya.

Felicia berkata, sekolah ini mengajarnya erti kesusahan dan erti kehidupan sebenar.

Untuk tinggal di kawasan tiada apa-apa pembangunan membuatnya bersemangat membantu anak-anak bangsa kehausan pembangunan dari segi pendidikan.

“Saya sanggup buat apa sahaja untuk sekolah dan murid-murid di sini.

Mereka perlu menikmati pembangunan sewajarnya untuk bersekolah dengan sempurna.

“Datang dari keluarga agak kurang berkemampuan juga membuatkan saya sedih dan ini membolehkan saya bertekad untuk menolong mereka dalam apa juga cara,” ujarnya.

Beliau bersyukur kerana mempunyai seorang rakan bertugas di Petronas sanggup membantu sekolahnya memperolehi pembangunan tersebut yang diimpikan selama ini.

HARAPAN SK HULU PELAGUS

Guru Besar SK Hulu Pelagus, James Ali melahirkan rasa kesyukuran atas pemberian projek tersebut sambil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Petronas bersama lapan rakan niaganya.

“Program ini banyak membantu serta memberi impak besar kepada sekolah.

Adanya pembangunan baharu ini melonjakkan semangat kami menggerakkan sekolah ini ke arah kecemerlangan akademik dan kurikulum,” katanya.

James berkata, sekolah ini berada pada prestasi sederhana sama ada dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Jelasnya, mereka bernasib baik kerana mendapat perhatian daripada Petronas walaupun terletak di kawasan pedalaman.

Beliau berharap momentum pembangunan dilaksanakan di sekolah ini memberi mereka sinar untuk pergi lebih jauh.

“Kami pasti tidak menghampakan Petronas dengan bantuan diberikan.

Sekarang kami jadikan sebagai titik permulaan SK Hulu Pelagus bergerak ke depan seiiring dengan sekolah-sekolah lain,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement