Anda di sini

‘Harta’ belum dikembalikan?

Advertisement

Empat wanita Indonesia dakwa wang dan emas mereka RM30,000

TAWAU: Siasatan kini dijalankan berhubung status dakwaan empat wanita warga Indonesia yang mengatakan wang dan emas bernilai kira-kira RM30,000 milik mereka belum dikembalikan.

 Merujuk laporan sebuah akhbar tempatan di wilayah negara jiran itu, keempat-empat wanita terbabit dikenali sebagai Flaviana Tifa, 30, Linda Imani, 39, Juliana Peni, 23, dan Astin Delima, 25, berasal dari Nusa Tenggara Timur.

 Mereka dikatakan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semasa menuju ke Nunukan pada 19 Ogos kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

 Wang dan barang kemas wanita terbabit juga dikatakan turut ditahan, namun mereka dijanji akan menerimanya semula apabila dihantar pulang ke Indonesia.

 Bagaimanapun, keempat-empat wanita itu mendakwa sehingga kini wang dan emas mereka belum diterima, walaupun selepas dihantar pulang ke Nunukan melalui Tawau.

 Utusan Borneo yang menghubungi Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau di sini pada Ahad dimaklumkan kes itu sudah disampaikan kepada Pusat Tahanan Sementara (PTS).

 Menurut KRI Tawau, PTS mengesahkan bahawa siasatan dalaman sedang dijalankan untuk mengenal pasti status sebenar wang dan emas milik keempat-empat wanita itu.

 Pengarah APMM Daerah Tawau Kepten Romli Mustapha berkata, pihaknya pula perlu menyemak semula kertas siasatan yang melibatkan keempat-empat wanita terbabit.

 “Kita perlu membuat semakan terlebih dahulu kerana semua kes berkaitan akan diambil keterangan dan ditandangan termasuk juga pemilik barangan berharga,” katanya.

 Ketua Imigresen Daerah Tawau Noraini Rasi berkata, pihaknya sedia membantu untuk mengesan lokasi sebenar keberadaan wang dan emas milik keempat-empat wanita itu.

 Bagaimanapun, beliau menasihati pihak terbabit tampil ke Pejabat Imigresen atau agensi lain termasuk membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

 “Kita di imigresen tidak menyimpan barang-barang orang yang ditahan, sebaliknya tahanan akan diberikan resit oleh pihak PTS untuk barang-barang milik mereka.

 “Sebelum dihantar pulang ke negara asal, tahanan juga perlu mengemukakan resit kepada PTS semula sebagai bukti untuk menuntut semula barang-barang mereka,” katanya.

 Noraini berkata, PTS ada memaklumkannya bahawa dalam kes sedemikian, penuntut barang dinasihatkan masuk semula ke Tawau dengan cara yang betul dan mengemukakan resit.

 Ataupun, mereka juga boleh menyerahkan resit itu kepada ahli keluarga masing-masing yang berada di Tawau untuk membuat tuntutan barang-barang yang dinyatakan.

Advertisement