Anda di sini

Hilang secara misteri

 Anggota SAR berjumpa dengan keluarga mangsa.
BUNTU: Anggota SAR berjumpa dengan keluarga mangsa.

SIMUNJAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di Kampung Ruan Baru, di sini diteruskan hari ini selepas ditangguh semalam kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata mangsa, Desmen Davei masih belum ditemui sehingga jam 5 petang semalam selepas operasi dimulakan  jam 9 pagi.

Menurutnya, operasi SAR terbabit dibahagikan kepada tiga kumpulan yang tertumpu di kawasan hutan berdekatan.

“Operasi SAR telah dijalankan di kawasan rumah dan hutan berdekatan oleh pihak bomba bersama polis dan penduduk kampung.

“Pencarian dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan jarak tiga kilometer dari rumah mangsa.

“Bagaimanapun, operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada jam 5 petang kerana keadaan cuaca sudah mulai gelap dan akan disambung semula pada keesokan pagi (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mangsa kali terakhir dilihat sekitar jam 1 petang kelmarin (Isnin) di dalam rumah selepas neneknya menyiapkannya mandi dan meletakkannya di atas kerusi di ruang tamu rumah.

Sekembali neneknya kira-kira beberapa minit kemudian, mangsa tiada lagi di situ dan semua ahli keluarga berusaha mencari mangsa namun menemui jalan buntu menyebabkan mereka terus membuat laporan  polis.

Susulan laporan tersebut, polis kemudian memaklumkan kepada pihak bomba yang kemudian terus memulakan operasi SAR di sekitar kawasan rumah mangsa.