Anda di sini

Pastikan projek mesra OKU

Advertisement
 Rugaya (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta sambil diperhatikan Asiah (tengah).
BEBAS HALANGAN: Rugaya (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta sambil diperhatikan Asiah (tengah).

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah menyeru kepada peserta bengkel Latihan Jurulatih (TOT) Akses Audit Dalam Persekitaran Alam Bina Kota Kinabalu 2017 mengaplikasikan projek pembangunan mesra orang kelainan upaya (OKU).

Pengarah JPKA Sabah Mohamad Noor Wahab berkata ia bagi memastikan warga OKU menikmati kebajikan, hak, peluang dan akses secara saksama dalam masyarakat.

“Sebagai pengakhiran untuk bengkel ini, saya menyeru kepada peserta bukan setakat mendapat pendedahan yang membina dalam bidang binaan dan reka bentuk kemudahan OKU sahaja.

“Bahkan, kita sama-sama mengaplikasikan dalam semua projek pembangunan baharu dan pengubahsuaian bangunan lama demi memastikan OKU menikmati hak, peluang dan akses secara saksama dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Latihan Jurulatih (TOT) Akses Audit Dalam Persekitaran Alam Bina Kota Kinabalu 2017 di sini pada Selasa.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Pengarah JPKA Sabah Dayang Rugaya Awang Besar.

Mohamad berkata sehingga September 2017, JPKA Sabah merekodkan pendaftaran seramai 29,348 OKU dengan Kota Kinabalu mencatat 11,534 pendaftaran OKU..

“Rekod pendaftaran kategori fizikal iaitu seramai 7,997 orang, penglihatan 2,538, pendengaran 11,856, mental 2,230 dan pelbagai seramai 1,693 orang.

“Daripada statistik ini, dapat dilihat betapa pentingnya kita meningkatkan mobiliti dan kualiti hidup golongan OKU.

“Untuk makluman, Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang diterbitkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, teras strategi satu adalah meningkatkan Aksesibiliti Golongan OKU,” jelasnya.

Dalam pada itu, seramai 80 orang dari pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) bagi OKU dan badan profesional menghadiri bengkel selama dua hari itu.

Mohamad percaya melalui simulasi audit akses itu, ia akan memperkenalkan kepada peserta berkenaan aplikasi bebas halangan dan rekaan sejagat serta kesedaran kepada peserta mengenai masalah serta cabaran yang dihadapi oleh OKU jika akses yang sempurna tidak disediakan.

“Kita percaya bahawa sekiranya mobiliti OKU dapat dipeningkatkan, maka kualiti hidup golongan OKU akan menjadi lebih produktif dan inklusif dalam masyarakat.

“Peningkatan aksesibiliti akan seterusnya meningkatkan akses OKU kepada pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial serta menambah baik akses OKU dalam aspek pengurusan risiko bencana,” tambahnya.

Turut hadir, Pengerusi Bengkel TOT Akses Audit Dalam Persekitaran Alam Bina Kota Kinabalu 2017 Datuk Seri Prof Ar Dr Asiah Abdul Rahim.

Advertisement