Anda di sini

Berlian tersohor Perancis dilelong

Advertisement
 Berlian ‘Le Grand Mazarin’ dipamerkan di Christie’s London kelmarin. — Gambar AFP
INDAH: Berlian ‘Le Grand Mazarin’ dipamerkan di Christie’s London kelmarin. — Gambar AFP

GENEVA: Sebutir berlian besar berwarna merah jambu yang pernah menatah mahkota ramai maharaja dan raja Perancis akan dilelong di Geneva pada bulan depan, kata gedung lelongan Christie’s semalam.

Le Grand Mazarin’, berlian merah jambu muda seberat 19.07 karat, merupakan hadiah kepada Louis XIV pada 1661 dan menatah mahkota hampir kesemua raja dan maharaja Perancis yang menyusul, kata Christie’s.

Berlian itu adalah simbol kecantikan abadi, khazanah diraja Perancis yang menghiasi tidak kurang tujuh raja dan ratu bermula dengan Raja Matahari Louis XIV,” menurut pengerusi Christie’s Eropah dan Asia Francois Curiel.

Paling penting, ia adalah saksi kepada sejarah Eropah selama 350 tahun. Batu ini milik kelasnya yang tersendiri,” katanya.

Permata itu dinamakan sempena Kardinal Mazarin, diplomat dan kardinal dari Itali, selain pengumpul karya seni hebat, yang pernah berkhidmat sebagai ketua menteri di bawah Louis XIII dan Louis XIV.

Beliau mewariskannya dan berlian lain kepada Raja Matahari dalam wasiatnya.

Batu merah jambu itu, pada asalnya digali di lombong purba Golconda di selatan tengah India, berkilau pada mahkota Louis XV dan Louis XVI, yang dipenggal kepala sewaktu Revolusi Perancis.

Ia menghiasi mahkota Napoleon I, Napoleon III dan Empress Eugenie, selain kerabat diraja lain.

Sejak itu ia diturunkan menerusi tangan jauhari terkenal di Perancis, Frederic Boucheron, dan kemudian Baron von Derwies.

Christie’s berkata ia kini sebahagian koleksi persendirian tetapi tidak mendedahkan pemiliknya.

Gedung lelongan itu berharap mengaut AS$6 hingga AS$9 juta (RM25.8-38.7 juta) bagi berlian itu.

Apabila ia muncul di ‘Christi’s Magnificent Jewels Auction’ di Geneva pada 14 November nanti, ia menandakan kali pertama ia dilelong dalam tempoh 130 tahun.

Ia pernah dilelong sekali sebelum ini, antara Permata Mahkota Perancis yang dijual pada 1887, 17 tahun selepas kejatuhan Empayar Kedua Perancis dan Napoleon III serta isteri baginda Maharani Eugenie hidup dalam buangan di England, meninggalkan batu permata berharga mereka di tanah air. — AFP

Advertisement