Anda di sini

Anifah minta pembangkang hentikan menuding jari

Advertisement
 Anifah dan Mohamad meluangkan masa beramah mesra dengan sebahagian masyarakat ketika turun padang di Kampung Lanas.
RAMAH: Anifah dan Mohamad meluangkan masa beramah mesra dengan sebahagian masyarakat ketika turun padang di Kampung Lanas.

BONGAWAN: Serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dan hentikan menuding jari kepada parti pemerintah konon terlibat mendalanginya.

Demikian reaksi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang kononnya siri penahanan yang dilakukan SPRM dalam operasi di Sabah sejak beberapa hari lepas bermotif politik.

Penahanan mereka ini bukan dirancang atau dibuat-buat kerana ia merupakan aduan daripada rakyat itu sendiri dan bukannya daripada individu politik.

Saya tidak faham apa yang pembangkang fikirkan. Penahanan terbabit tiada unsur politik, maka dakwaan kononnya parti pemerintah terlibat adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau beberapa rumah yang terjejas akibat dilanda ribut di Kampung Lanas, di sini pada Sabtu.

Turut mengiringi beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan Datuk Mohamad Alamin.

Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, SPRM sebagai agensi kerajaan yang bebas melaksanakan amanah dipertanggungjawabkan dan semua pihak perlu memberi ruang dan kepercayaan kepada mereka.

Pada masa sama, mereka yang dipanggil untuk membantu siasatan wajar memberikan kerjasama dengan sebaik-baiknya.

Biarlah proses undang-undang itu dihormati. Kalau tidak bersalah jangan khuatir. Siasatan pun masih dijalankan oleh itu, patuhlah undang-undang di negara ini dan berilah kerjasama kepada SPRM,” katanya.

Sehingga kini, tujuh individu ditahan SPRM di Kota Kinabalu, Putrajaya dan Tawau berhubung siasatan ke atas projek luar bandar di Sabah oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Sebahagian yang ditahan adalah pemimpin parti pembangkang, manakala sebahagian lagi pemimin parti pemerintah, pegawai kerajaan dan kontraktor.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata bahawa pihaknya ketika ini fokus menjalankan siasatan di Sabah terlebih dahulu berkaitan projek di bawah KKLW sebelum ke negeri lain.

Menurutnya, setakat ini seramai 45 saksi dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana KKLW di negeri ini.

Beliau turut berkata pihaknya tidak memilih bulu dalam siasatan kes berkenaan kerana tangkapan tidak hanya dilakukan ke atas parti pembangkang sahaja, sebaliknya turut melihatkan parti Umno.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan penahanan pemimpin parti pembangkang dalam operasi anti rasuah terhadap KKLW di Sabah bermotifkan politik.

Advertisement