Anda di sini

Di sebalik ‘gambar mesra’

Advertisement
 Suspek dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.
DITANGKAP: Suspek dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini ‘kantoi’ menjalin hubungan intim dengan seorang lelaki berusia 24 tahun apabila pihak sekolah menemui ‘gambar mesra’ mereka di sebuah bilik tidur, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, mangsa semasa disoal siasat mengaku pernah menjalin hubungan seks dengan suspek sejak Disember tahun lepas, dan terbaharu sekitar pertengahan bulan September.

Justeru, ibu mangsa, 52, selepas dimaklumkan pihak sekolah berhubung perkara itu terus membuat laporan polis disebabkan anak gadisnya itu masih bawah umur (bersekolah) dan risau akan terjadi perkara tidak diingini.

“Ibu mangsa tampil membuat laporan polis kerana bimbang anaknya telah dirogol selepas dimaklumkan pihak sekolah bahawa telefon bimbit anaknya telah dirampas dan mereka menjumpai gambar anaknya bersama seorang lelaki sedang berbaring di atas katil.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa mengaku mengadakan hubungan seks dengan lelaki (suspek) terbabit yang merupakan teman lelakinya di sebuah rumah di Padungan sejak Disember 2016 dan kali terakhir pada 17 September lalu,” katanya.

Beliau dalam kenyataannya itu turut memberitahu mangsa mula mengenali suspek melalui aplikasi WeChat.

“Mereka berkenalan melalui WeChat dan sejak itu, mereka sering keluar bersama dan mangsa juga selalu ponteng sekolah semata-mata untuk keluar bersama suspek.

“Perkara tersebut dirahsiakan mangsa daripada ibu bapanya sehingga ‘kantoi’ apabila telefon bimbitnya dirampas oleh guru disiplin sekolah,” kata Abang Ahmad.

Menurutnya lagi, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kuching diketuai ASP Austin Patrick Angkon berjaya menangkap suspek di tepi Jalan Wan Abdul Rahman sekitar jam 10 pagi Khamis lepas.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku merogol mangsa dan hasil ujian air kencing juga didapati positif dadah jenis Methampetamine,” katanya yang turut memberitahu suspek menetap di sebuah rumah pangsa di Jalan Central Timur, di sini.

Mangsa telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan dan kes masih dalam siasatan di bawah Seskyen 376 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement