Anda di sini

Malaysia rintis binaan ‘jalan raya getah’

 Kerja penurapan jalan di bawah projek perintis pembinaan jalan menggunakan getah di Stesen Penyelidikan Lembaga Getah Malaysia Kota Tinggi Johor. — Gambar Bernama
TAHAN LASAK: Kerja penurapan jalan di bawah projek perintis pembinaan jalan menggunakan getah di Stesen Penyelidikan Lembaga Getah Malaysia Kota Tinggi Johor. — Gambar Bernama

MALAYSIA sudah bersedia untuk menjadi peneraju dalam pembinaan jalan raya yang diperbuat daripada getah.

Teknologi itu dijangka dikomersialkan sepenuhnya pada tahun hadapan, satu langkah yang pasti dialu-alukan oleh 440,000 pekebun kecil getah di negara ini kerana ia akan meningkatkan penggunaan domestik getah dan diharap dapat menstabilkan harga getah yang telah mengalami aliran menurun akibat permintaan yang semakin berkurangan di seluruh dunia.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia selepas mesyuarat Jawatankuasa Menteri Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) di Bangkok pada 15 September, Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai pemimpin pasaran bagi pembinaan jalan getah di rantau ini.

ITRC terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Thailand, yang juga antara pengeluar getah asli terbesar di dunia.

Sejak 2015, Lembaga Getah Malaysia(LGM) dan Kementerian Kerja Raya bersama-sama menjalankan kajian untuk memastikan keberkesanan penggunaan inovasi yang dipanggil Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan(CMA) sebagai konkrit asfalt untuk menurap jalan raya.

Getah bekuan adalah getah tergumpal segar, di mana proses pembekuan berlaku di dalam cawan ketika masih di pokok. Campuran getah bekuan dan bitumen membentuk pengikat yang dipanggil Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan(CMB), yang kemudian dicampur dengan batu baur untuk menghasilkan CMA.

Dalam kenyataan akhbarnya, kementerian itu berkata Malaysia akan mempromosi pembinaan jalan raya getah di kawasan-kawasan luar bandar dan bandar sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuh dan menstabilkan harga getah.

LGM, kata kementerian itu, telah membangunkan teknologi dan spesifikasi untuk CMB sebagai pengikat yang lebih baik untuk pembinaan jalan getah.

Katanya, menjelang akhir 2017, Malaysia akan menyiapkan 28 kilometer jalan raya getah untuk penilaian komersial, termasuk jalan sejauh tiga kilometer di Teluk Intan, Perak.

Kini, LGM bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mewujudkan piawaian yang sesuai untuk kontraktor-kontraktor kuari dan jalan bagi mem-bolehkan pengkomersialan sepenuhnya teknologi CMB menjelang pertengahan 2018.

__alt__

RANGSANG GUNAAN

Mesyuarat ITRC baru-baru ini dihadiri Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan rakan-rakannya dari Thailand serta Indonesia.

Pada mesyuarat itu, Mah menegaskan bahawa negara anggota ITRC perlu memberi perhatian kepada kangkah-langkah inovatif untuk meningkatkan penggunaan domestik getah asli.

Beliau juga mencadangkan agar negara-negara berkenaan memberi lebih tumpuan pada penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan untuk memperkenalkan produk-produk baharu ke pasaran, kata kenyataan itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) LGM Dr Zairossani Mohd Nor berkata, agensinya akan menumpukan penyelidikannya kepada getah beku memandangkan kira-kira 90 peratus getah yang dihasilkan di Malaysia adalah getah beku.

Lebih-lebih lagi, 95 peratus daripada getah beku dikeluarkan oleh pekebun kecil. Kami memutuskan untuk memberi tumpuan kepada getah beku (mencari inovasi baru) kerana ingin membantu para pekebun kecil,” katanya kepada Bernama semasa ditemu bual baru-baru ini.

LGM memulakan penyelidikan menggunakan getah beku sebagai bahan tambahan untuk pembinaan jalan raya pada 2014.

Zairossani berkata, Thailand juga telah membangunkan inovasi membina jalan raya getah tetapi menggunakan teknologi yang berbeza melibatkan getah yang diproses.

Beliau berkata, inovasi getah beku Malaysia telah menarik minat negara-negara jiran yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai teknologi itu tetapi LGM belum bersedia untuk berkongsi maklumatnya lagi.

Penggunaan getah beku untuk pembinaan jalan raya dijangka meningkatkan penggunaan domestik getah sebanyak 10 peratus setiap tahun kerana kira-kira 4.2 tan getah beku akan diperlukan untuk setiap kilometer atau kira-kira 6,000 meter persegi jalan raya yang dibina menggunakan teknologi CMA.

Sekiranya teknologi turapan jalan raya CMA digunapakai pada lima hingga 10 peratus Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia, ia akan meningkatkan permintaan domestik untuk getah, sekali gus akan mempengaruhi harga getah,” kata Zairossani.

Para pekebun kecil Malaysia telah terjejas akibat kejatuhan harga getah pada tahun-tahun kebelakangan ini berikutan permintaan yang semakin menurun bagi komoditi, terutama dari China, pengguna getah terbesar di dunia.

Tahun ini sahaja, harga gred Standard Getah Malaysia (SMR) 20 jatuh dari RM957.23 setiap 100kg pada Januari kepada RM626.65 setiap 100kg pada Julai.

Setakat ini, Kementerian Kerja Raya telah memberi kelulusan untuk satu projek turapan getah CMA bagi jalan raya — Jalan Persekutuan FT 001 sejauh kira-kira 20km dari Kampung Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwong Sai di Segamat, Johor.

Dianggap sebagai projek perintis JKR, kerja-kerja di jalan raya getah itu akan bermula lewat tahun ini.

LGM pertama kali menguji teknologi CMA di jalan sepanjang satu kilometer di Stesen Penyelidikan Getahnya di Kota Tinggi, Johor, dan setakat ini menunjukkan hasil yang positif.

Sejak 2015, agensi itu telah bekerjasama dengan JKR untuk  penyelidikan lanjut teknologi berkenaan bagi tiga jalan raya percubaan yang menggunakan kaedah sama iaitu di Baling (Kedah), Temerloh (Pahang) dan Tampin (Negeri Sembilan).

Kajian itu akan dilanjutkan ke jalan raya di Kota Bharu (Kelantan), yang dijangka akan dibina pada akhir 2017.

 Menteri Perusahaan, Perladagangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong menunjukkan aplikasi mudah alih Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) selepas melancarkan aplikasi itu baru-baru ini. Turut sama Timbalan Menteri Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah (kanan). — Gambar Bernama
BANTU PETANI: Menteri Perusahaan, Perladagangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong menunjukkan aplikasi mudah alih Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) selepas melancarkan aplikasi itu baru-baru ini. Turut sama Timbalan Menteri Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah (kanan). — Gambar Bernama

TAHAN LAMA

Penemuan awal daripada penyelidikan dan pelbagai eksperimennya menunjukkan jalan raya berturap CMA didapati tahan lebih lama berbanding jalan konvensional, dengan itu menawarkan kualiti pemanduan lebih baik dan penjimatan kos dalam jangka masa panjang.

Jalan raya turapan getah dapat mengurangkan tahap bunyi bising antara tiga hingga lima desibel, dan meningkatkan daya tahan jalan terhadap suhu tinggi dan pembentukan retak.

Zairossani berkata, walaupun jalan konvensional biasanya perlu diturap selepas empat atau lima tahun disebabkan masalah-masalah seperti jalan berlubang, retak, mendap dan beralun, penggunaan bitumen dalam penurapan jalan raya getah dapat memanjangkan kitaran penyelenggaraan hingga kira-kira lapan hingga 10 tahun.

Mengambil contoh Thailand, jalan yang diturap dengan getah sejak 15 tahun lepas masih lagi berkeadaan baik tanpa perlu turapan baharu.

Pada mulanya kerajaan mungkin menanggung kos yang lebih tinggi bagi pembinaan jalan turapan getah berbanding kaedah konvensional.

Namun pelaburan itu berbaloi kerana ia akan membawa kepada penjimatan kos yang besar dalam jangka masa panjang.

Jalan raya (CMA) adalah lebih baik dan tahan lebih lama, malah lebih selamat dan lebih selesa untuk pengguna jalan raya,” tambah Zairossani.

Untuk menghasilkan Bitumen Terubahsuai Getah Bekuan (CMB), getah beku segar dari pokok perlu dicampur dengan bitumen, sejenis cairan likat berwarna gelap yang digunakan untuk menurap jalan.

CMB kemudiannya dicampur dengan batu baur di dalam kuari pracampur untuk menghasilkan konkrit CMA, yang kemudiannya digunakan untuk kerja-kerja penurapan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) LGM Dr Zairossani Mohd Nor menjelaskan: “Jika kita hanya mencampurkan getah beku ke dalam bitumen, kedua-duanya tidak akan sebati dengan baik.”

Namun LGM berjaya membangunkan teknologi yang membolehkan kedua-dua bahan itu membentuk sebatian yang sempurna.”

Enggan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai teknologi itu, beliau berkata, campuran baharu getah beku dan asphalt- bitumen terubah suai itu lebih bermutu berbanding campuran yang digunakan di Malaysia sebelum ini untuk membina jalan getah seperti jalan sepanjang 50km di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, yang dibina pada 1998.

Jalan itu diturap dengan bahan binaan daripada getah yang diubah suai, dengan komponen getah yang diperoleh daripada tayar terpakai.

Bagaimanapun, Zairossani menegaskan bahawa getah yang diperoleh daripada tayar terpakai pada dasarnya adalah ‘getah mati’, yang telah melalui proses tindakbalas tertentu.

Apabila getah terpakai bercampur dengan bitumen, ia hanya berfungsi sebagai pengisi untuk menguatkan bitumen,” katanya.

Sebaliknya, getah beku adalah getah dalam keadaan semula jadi dan apabila bercampur dengan bitumen, ia mampu menghasilkan sebatian yang sempurna.

Getah asli, jelas beliau, boleh meningkatkan daya lekatan bitumen dan mengubahnya menjadi pengikat yang lebih berkesan.

Oleh kerana kualiti bitumen ini mampu memegang campuran batu baur (yang digunakan dalam pembinaan jalan) dengan lebih kuat, ia menghasilkan jalan yang lebih kukuh dan tahan lama,” kata Zairossani.

Menariknya, jalan KLIA tidak pernah diturap sejak dibina 19 tahun lepas dan masih dalam keadaan baik, walaupun ketika itu diturap dengan getah yang diperoleh daripada tayar terpakai.

Memandangkan jalan getah generasi akan datang di Malaysia akan dibina menggunakan teknologi CMA yang lebih bermutu, ia dijangkakan tahan lebih lama. — Bernama