Anda di sini

Ibu bapa di luar bandar disaran mengutamakan pendidikan anak

Advertisement

SIBU: Ibu bapa di luar bandar disaran mengutamakan pendidikan anak mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang berkata, tiada perkara lain sepenting pendidikan di dunia ini bagi mengubah kehidupan pada masa akan datang.

Tiada istilah ‘berhenti sekolah’ atau buta huruf di kalangan anak-anak pada zaman sekarang. Saya tidak mahu mendengarnya khususnya di kawasan Tamin ini ada golongan seperti ini.

Sebab itu saya berkali-kali mengingatkan kita di sini tentang perkara yang sama supaya tidak membelakangkan pendidikan anak-anak dan sekolahkan mereka dengan secukupnya bagi memperoleh pendidikan sempurna,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Sibintek dekat sini, kelmarin.

Majlis itu diadakan sempena perasmian Dewan Serba Guna SK Sungai Sibintek yang disempurnakan Gira.

Hadir sama ialah Penghulu Andrewson Ngalai, Guru Besar SK Sungai Sibintek George Unggat serta tetamu jemputan yang lain.

Gira memberitahu masalah kekurangan duit untuk menyekolahkan anak-anak adalah alasan yang tidak logik pada masa kini kerana kerajaan menyediakan banyak bantuan persekolahan untuk membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Kerajaan turut menekankan kepentingan pendidikan. Itu sebab kerajaan memperkenalkan pelbagai bantuan untuk rakyat menyekolahkan anak-anak bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi di peringkat pengajian tinggi turut diberikan biasiswa atau bantuan pinjaman kewangan.

Ini jelas menunjukkan negara ini mengutamakan soal pendidikan. Justeru, saya mahu kita di kawasan pedalaman merebut peluang ini serta terus menyekolahkan anak-anak kita hingga ke menara gading,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Gira memberitahu bahawa lebih 990 sekolah rendah di kawasan pedalaman negeri Sarawak dikenal pasti sebagai sekolah daif termasuk 375 daripadanya tidak mempunyai bekalan elektrik dan 450 lagi tidak mempunyai bekalan air bersih yang ditapis dari loji air.

Pelbagai cara telah dilakukan oleh kerajaan negeri untuk mengatasi masalah-masalah tersebut yang antaranya ialah menggabungkan sekolah-sekolah kecil menjadi sekolah yang besar dengan menyediakan semua kemudahan asas diperlukan.

Bagaimanapun, rancangan penggabungan sekolah-sekolah tersebut juga bergantung kepada cadangan semua ibu bapa dan guru di kawasan sekolah,” jelasnya.  

George dalam ucapan aluan terdahulunya berkata, tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk mengutip dana bagi keperluan murid sekolah seperti membangunkan pelbagai infrastruktur dan membeli meja dan bahan pengajaran dan pembelajaran.

Beliau turut memuji usaha guru sekolah tersebut kerana sanggup menggunakan wang sendiri untuk membeli pelbagai peralatan dan bahan pengajaran dan pembelajaran.

Bagi mewakili pihak sekolah, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Gira kerana memperuntukkan sebanyak RM50,000 kepada PIBG SK Sungai Sibintek untuk membina dewan tersebut.

Pada majlis tersebut, Gira turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada PIBG SK Sungai Sibintek.

Majlis tersebut diserikan lagi dengan sumbangan suara emas daripada Gira yang memperolehi kutipan sebanyak RM4,000 dan wang tersebut telah disalurkan kepada tabung PIBG sekolah tersebut.

Advertisement