Anda di sini

Isteri KM tinjau sendiri keadaan di PDK Bau

Advertisement
DISAMBUT DENGAN PERSEMBAHAN ALU-ALUAN DI PDK KPG DUYOH
DISAMBUT DENGAN PERSEMBAHAN ALU-ALUAN DI PDK KPG DUYOH

SARAWAK Badan Amal Tenaga Isteri (SABATI), diketuai isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang melawat tiga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di daerah Bau, baru-baru ini.

Juma’ani dalam ucapan ringkasnya berkata, salah satu objektif SABATI adalah melaksanakan kerja-kerja amal dan membantu golongan yang memerlukan seperti PDK.

Secara peribadi, saya tidak mahu menghantar wakil, kerana saya hendak melihat sendiri keadaan di PDK supaya saya tahu keperluan di PDK tersebut termasuk di luar bandar.

Setakat ini, 12 pusat PDK sudah dilawati SABATI dan masih banyak perancangan untuk melawat PDK yang lain,” katanya ketika berucap di PDK Kampung Singai di Kampung Singai Atas yang merupakan lokasi pertama dilawati.

Pusat yang dirasmikan pada 2012 itu menempatkan 78 pelatih dan diselaraskan seorang penyelia dan empat petugas.

Menurut Pengerusi PDK Kampung Singai, yang juga Ketua Kampung Singai, Tonison Matan, kebanyakan pelatih di situ mempunyai masalah pembelajaran, masalah fizikal, penglihatan dan mental.

Oleh itu, latihan dan aktiviti di pusat berkenaan terbahagi kepada beberapa kategori, contohnya, bagi yang menghadapi masalah pembelajaran, pelatih dilatih asas menulis, membaca dan mengira, manakala pelatih remaja dan dewasa, diajar bercucuk tanam, membuat kraf tangan, membuat kuih-muih dan keropok yang boleh dijadikan bahan jualan sebagai menjana pendapatan tambahan.

Lokasi kedua adalah ke PDK Cahaya Kasih Kampung Serasot, di KM18 Jalan Bau-Staas, menempatkan 42 pelatih dari kampung-kampung berhampiran seperti Staas, Sibubok, Sekibang dan Serasot itu sendiri.

Selain aktiviti berkebun, menganyam dan menjahit serta latihan pembelajaran, PDK itu sering mengadakan aktiviti sukan seperti bermain bola dan sukaneka untuk para pelatihnya.

 Juma’ani menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi PDK Kpg Singai Tonison Matan.
PRIHATIN: Juma’ani menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi PDK Kpg Singai Tonison Matan.

ANUGERAH TUHAN

Manakala lokasi seterusnya, adalah ke PDK Kampung Sinar Harapan Kampung Duyoh, yang menempatkan 36 pelatih di bawah jagaan seorang penyelia dan tiga petugas.

Menurut Pengerusi PDK Sinar Harapan Bogeg Nyaon, pelatih dilatih dengan pelbagai program seperti bercucuk tanam termasuk menanam cendawan, membuat kraf dan jahitan sarung bantai dan apron serta mem buat rantai dan gelang manik.

Selain itu, pelatih juga diajar cara penjagaan dan kebersihan diri, mengurus rumah seperti membersih, memasak dan menyapu.

Pada setiap kunjungan, Juma’ani berpesan kepada ibubapa yang mempunyai kanak-kanak istimewa supaya mengekalkan kesabaran dan keprihatinan tinggi dalam menghadapi kehendak dan tingkah laku anak-anak mereka.

Beliau mengingatkan ibu bapa mahupun penjaga agar tidak mendera anak-anak mereka kerana kanak-kanak itu mempunyai perasaan dan emosi yang sangat sensitif dan mudah tersinggung.

Gunakanlah bahasa yang lembut, tunjukkan kasih sayang dan beri perhatian sepenuhnya dengan anak-anak ini.

Mereka anugerah Tuhan kepada kita, dan kita sebagai ibu bapa harus menghargai, menya-yangi mereka dengan ke-mesraan supaya mereka tidak berasa terpinggir atau terbiar,” ujar beliau.

Saya berharap setiap ibu bapa mengambil tanggungjawab secara serius dalam melibatkan diri, menjaga dan melatih anak-anak mereka, dan jangan serahkan tanggungjawab tersebut bulat-bulat kepada penyelia atau penjaga pusat,” tambahnya lagi.

Juma’ani juga berharap dengan adanya pelbagai aktiviti dan latihan yang dijalankan mampu memberi pemulihan terbaik dan menyeluruh bagi memastikan pelatih mempunyai keyakinan diri dengan membina minda, kemahiran serta kerohanian mereka.

SABATI menyumbang RM2,000 kepada setiap PDK yang dilawati untuk tujuan aktiviti sampingan, manakala para pelatih menerima sumbangan wang tunai, barangan penjagaan diri dan makanan ringan setiap seorang.

Beberapa ahli exco SABATi turut menyertai lawatan itu termasuk Setiausaha Kehormat SABATI Datin Dr Zaleha Abdullah, Bendahari Kehormat SEBATI Siti Shorgayah Zaiden, isteri Speaker Dewan Undangan Negeri Dato Fatimah Mohd Iskandar, isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru Datin Christina Esni Mied.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Sarawak Abang Shamshudin Abang Seruji dan ketua-ketua masyarakat daerah Bau.

SABATI MELAWAT PDK SERASOT
SABATI MELAWAT PDK SERASOT
Advertisement