Anda di sini

Warga emas pengsan ketika kayuh basikal

Advertisement

MARUDI: Pekerja yang sibuk memasang khemah-khemah bagi sambutan Pesta Regata Baram bermula Jumaat ini dikejutkan dengan kejadian seorang warga emas pengsan ketika  mengayuh basikal, semalam.

Lelaki berusia 68 tahun itu dikatakan dalam perjalanan dari terminal bot ekspres di sini menuju ke pasar apabila pengsan mengejut lalu terjatuh dari basikalnya ketika melalui kumpulan pekerja sibuk membina khemah sekitar jam 10 pagi.  

Beberapa pekerja di terminal bot turut ternampak kejadian itu berkejar ke tempat mangsa terjatuh untuk menghulurkan bantuan sambil menghubungi pihak hospital.

Seorang wartawan wanita dari akhbar See Hua Daily News, Lau Kie Ngo yang kebetulan lalu di situ untuk tugasannya turut menghulurkan bantuan.

Lau tahu mengenai latar belakang mangsa dikenali Yanggu merupakan pengidap penyakit sawan bertindak mencucuk telinga mangsa dengan jarum bagi menyedarkannya.   

Tidak lama kemudian ambulans datang membawa mangsa ke Hospital Marudi bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Menurut Ngo, mangsa bernasib baik ketika terjatuh kepalanya tidak terhantuk di simen.   

Yanggu dikenali kalangan penduduk di pekan ini kerana terkenal dengan kerja sambilannya suka mengumpul kotak-kotak untuk dijual bagi dikitar semula.

Selain itu, beliau juga merupakan pekerja pemunggah barang mengambil upah mengangkat barang-barang dari terminal bot ekspres menggunakan kereta sorong empat roda. 

Sementara itu, mangsa dilaporkan stabil menjelang tengah hari semalam dan dirawat sebagai pesakit luar.

Advertisement