Anda di sini

Prihatin keperluan perumahan

Advertisement
 Teo (tengah) menerima cenderahati daripada Raja Sundra (dua kanan) pada kongres berkenaan.
PRIHATIN: Teo (tengah) menerima cenderahati daripada Raja Sundra (dua kanan) pada kongres berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan rakyat terutama keperluan perumahan golongan berpendapatan rendah.

Menteri Tugas-tugas Khas Datuk Teo Chee Kang berkata, ia kerana harga sebuah rumah semakin mahal pada masa kini.

“Apa yang kita lihat, masyarakat yang bekerja mendapati ia semakin sukar untuk memiliki sebuah rumah mahupun pangsapuri.

“Bagaimanapun, saya menggalakkan semua pemain dalam industri hartanah dan pembinaan untuk bekerjasama mencari penyelesaian terbaik bagi meningkatkan rantaian bekalan perumahan.

“Demikian juga kepada sistem penghantaran dan pengurangan kos pembinaan supaya golongan berpendapatan rendah berpeluang melabur serta memiliki tempat perlindungan atau rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Juruukur Antarabangsa Sabah Kelima 2017, di sini pada Isnin.

Menurutnya, kerajaan juga akan berusaha keras untuk membantu dalam pembinaan dan pembekalan lebih banyak perumahan mampu milik.

“Mungkin sebagai pakar dalam perancangan tanah dan pembangunan, Institut Juruukur Diraja Malaysia (RISM) Cawangan Sabah boleh mengambil cabaran untuk memformulasikan dasar perumahan mampu milik yang mampan kepada Sabah.

“Melalui usaha ini, kerajaan mampu melaksanakan dasar perumahan yang lebih cekap dan berkesan terhadap keperluan perumahan rakyat di negeri ini,” jelasnya.

Tambahnya, melalui kongres berkenaan, penemuan baharu boleh membawa kepada lebih banyak kemajuan dan inovasi teknologi yang memberi kesan besar kepada industri.

Sementara itu, Teo berkata beliau diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk meneraju jawatankuasa kerja khas bagi melihat cara menangani masalah penangguhan pengeluaran geran strata, merombak dan menambah baik undang-undang sedia ada untuk meningkatkan keberkesanan perbadanan pengurusan.

“Jawatankuasa kerja terdiri daripada pakar dalam bidang perundangan dan hartanah yang mana RISM sendiri adalah komponen penting dalam jawatankuasa ini.

“Kami telah berjaya menyelesaikan fasa pertama iaitu memperkenalkan prosedur baharu untuk kelulusan rancangan pembangunan dengan melalui arahan kerajaan tanpa meminda undang-undang sedia ada.

“Arahan baharu itu mulai berkuat kuasa pada 1 Jun lalu dan kami mendapati sering kali berlaku kelewatan atau penangguhan dalam pengeluaran geran strata disebabkan isu penukaran,” katanya.

Pada peringkat seterusnya, beliau berkata jawatankuasa kerja akan membincangkan sistem pengurusan dan pentadbiran yang berkesan daripada perbadanan pengurusan dan berharap untuk mencari penyelesaian yang praktikal serta berkesan terhadap isu berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Sr Safar Untong, Presiden RISM Datuk Sr Lau Wai Seang, Pengerusi RISM Cawangan Sabah Sr Raja Sundra Lingam @Sunny Kelvin dan Pengerusi Penganjur Kongres Juruukur Antarabangsa Sabah Kelima RISM Sr Peter Moh.

Advertisement