Anda di sini

43 pemaju dan kontraktor terima pengiktirafan kualiti QLASSIC

Advertisement
 Penerima-penerima Anugerah Hari QLASSIC 2017 merakam kenangan bersama Fadillah pada majlis tersebut.
TAHNIAH: Penerima-penerima Anugerah Hari QLASSIC 2017 merakam kenangan bersama Fadillah pada majlis tersebut.

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia meraikan kejayaan 43 pemaju dan kontraktor mencapai skor melebihi 80 peratus berdasarkan Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC), dengan penyampaian anugerah kepada mereka sempena Hari QLASSIC yang diadakan secara tahunan bagi mempromosikan sistem penilaian tersebut.

Malah, pengiktirafan penggerak industri pembinaan yang berpencapaian tinggi  merupakan sebahagian usaha CIDB untuk mentransformasikan sektor pembinaan tempatan dengan menggalakkan mereka mempertingkatkan kualiti kerja dalam pembinaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof  ketika berucap merasmikan Hari QLASSIC 2017 yang berlangsung untuk tahun keempat semalam, turut menekankan agar industri pembinaan memustahakkan standard kualiti.

“Pihak industri, baik sektor swasta atau awam, harus menganggap kualiti sebagai prasyarat untuk penggerak industri beroperasi dan berkembang.

“Peningkatan tahun ke tahun kadar terima pakai QLASSIC oleh industri adalah petunjuk positif penekanan terhadap kualiti kerja pada standard yang paling tinggi oleh industri,” katanya menerusi sebuah kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif CIBD Malaysia, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid.

Sejak diperkenalkan CIDB pada 2007, penggunaan QLASSIC dalam industri meningkat secara konsisten.

Statistik 2016 menunjukkan kadar terima pakai telah bertambah dengan 311 projek yang dinilai berbanding 303 pada 2015 dan 272 pada 2014.

Setakat ini, jumlah keseluruhan projek yang telah dinilai menggunakan QLASSIC ialah 1,515.   

Sempena majlis itu, Fadillah melancarkan Panduan Kualiti Bagi Pemilik-pemilik Rumah yang merupakan kit maklumat mengenai QLASSIC dan bagaimana menilai kualiti rumah berdasarkan kaedah QLASSIC.

Seentara itu, Ahmad Asri berkata, pihaknya berbangga apabila peningkatan bilangan projek mencapai skor melebihi 80 peratus tahun ini.

“Berbanding 2015 di mana 46 projek mendapat skor tinggi, jumlahnya telah meningkat kepada 52.

“Dengan trend perkembangaan QLASSIC kini, kami yakin akan dapat mencapai matlamat kualiti dan keselamatan seperti yang terkandung dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020,” kata Ahmad Asri.

Perumahan Kinrara Berhad, syarikat I&P Group, mencapai skor QLASSIC tertinggi 85 peratus bagi projek perumahan swasta Bandar Kinrara Fasa 8A5B.

Kontraktor projek ialah Vilabina Utara (M) Sdn Bhd manakala syarikat arkitek ialah BEP Arkitek Sdn Bhd.

Sebagai sebahagian Hari QLASSIC, satu forum diadakan bagi membincangkan pandangan pengguna akhir (end-user) mengenai kualiti pembinaan termasuk cabaran yang dihadapi dan inisiatif-inisiatif yang diambil.

Ahli panel forum ‘Meningkatkan Kepuasan Pelanggan dengan QLASSIC’ termasuk Pengurus Besar Kanan Sektor Teknologi CIDB Malaysia Datuk Ir. Elias Ismail;  Peguam Kanan Persekutuan dan Ketua Bahagian Perundangan dan Tuntutan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Roshan Kshatriya; Setiausaha Agung Persatuan Pembeli-pembeli Rumah Kebangsaan Chang Kim Loong dan Ketua Pengawai Transformasi Sime Darby Property Berhad, Datuk Wan Hashimi Albakri.

Moderator forum tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Datuk Ir. Laxana Naidu.

QLASSIC adalah satu sistem dan kaedah mengukur dan menilai kualiti kerja dalam projek pembinaan berdasarkan Construction Industry Standard (CIS 7) dan dilaksana bagi membolehkan perbandingan secara objektif kualiti kerja projek pembinaan melalui sistem pemarkahan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cidb.gov.my

Advertisement