Anda di sini

Berhati-hati jika mahu sertai ibadat korban di luar negara

Advertisement

KUANTAN: Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya berhati-hati dan meneliti tawaran menyertai ibadat korban di luar negara supaya tidak ditipu.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) Salkukhairi Abd Sukor berkata tindakan itu bagi mengelakkan mereka ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap umat Islam yang mencari peluang untuk menunaikan ibadat itu.

Katanya, sebilangan umat Islam di negara ini memilih untuk melaksanakan korban di luar negara kerana harga yang ditawarkan adalah lebih rendah berbanding jika dilakukan di sini.

Mereka yang berminat mesti memastikan organisasi yang menganjurkan program korban di luar negara adalah satu entiti berdaftar dari segi undang-undang, sama ada berdaftar sebagai satu pertubuhan, syarikat mahupun perbadanan.

Sebaik-baiknya elakkan daripada menyertai ibadat korban di luar negara yang dianjurkan individu terutama mereka yang tidak pernah dikenali secara langsung sebelum ini.

Semak juga pengalaman dan kemahiran organisasi dalam menganjurkan program itu. Lebih baik jika penganjur sudah berpengalaman dan mempunyai rekod yang baik,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Salkukhairi berkata umat Islam juga perlu memastikan setiap urusan itu mempunyai dokumen hitam putih yang disertakan sebagai akad bertulis, khususnya apabila melibatkan pembayaran.

Ada orang yang sanggup menggunakan imej dan nama agama semata-mata untuk menipu atas keterujaan umat Islam untuk melaksanakan sesuatu ibadah yang ditetapkan oleh Islam,” katanya.

Salkukhairi juga berpendapat terdapat keperluan untuk mewajibkan penganjur ibadat korban di luar negara mendaftar dengan pihak berkuasa dan diberikan lesen khas, bagi mengelakkan penipuan.

Ramai yang sanggup lakukan apa sahaja demi wang dan kesedaran umat Islam untuk melaksanakan ibadat korban dan harga bahagian korban yang semakin meningkat dari tahun ke tahun, tidak mustahil ada pihak sanggup menangguk di air keruh,” katanya. — Bernama

Advertisement