Anda di sini

Dadah terus dibanteras

Advertisement
 Amer pada sidang media semalam. Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai (kiri).
TEGAS: Amer pada sidang media semalam. Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai (kiri).

KUCHING: Kegiatan penyalahgunaan dadah terus dibanteras dengan enam lagi lelaki termasuk dua warga asing disyaki pengedar dadah ditangkap dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Bukit Penyau, Sibu awal pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal berkata, keenam-enam suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 47 tahun itu ditangkap anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sekitar jam 1.21 pagi.

Menurutnya, turut dirampas ialah dadah jenis syabu seberat 212.4 gram yang dianggarkan bernilai RM38,232.

“Adalah menjadi keutamaan saya untuk memastikan aktiviti penyalahgunaan dadah dapat dibendung di negeri ini dan pagi tadi (semalam) kita berjaya menangkap enam lelaki iaitu empat warga tempatan dan dua warga asing dalam satu serbuan di Ulu Lanang, Sibu.

“Hasil tangkapan tersebut, kita berjaya merampas 212.4 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM35,232.

“Selain itu, kita turut merampas wang tunai kira-kira RM59,000 dan menyita tiga kenderaan dengan nilai mencecah RM496,600,” katanya pada sidang media semasa lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, semalam.

Amer berkata, kesemua suspek direman selama lima hari bermula semalam hingga 20 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, satu lagi sindiket pengedaran dadah yang didalangi rakyat asing berjaya ditumpaskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Bintulu kelmarin.

Menurut Amer, dalam serbuan sekitar jam 3 petang Isnin lepas, dua lelaki warga asing berusia 20 dan 23 tahun ditangkap dan 53.2 gram syabu dianggarkan bernilai RM57,000 dirampas.

“Kedua-dua suspek direman bermula hari ini (semalam) hingga 28 Ogos (14 hari) untuk siasatan lanjut,” katanya yang turut memberitahu suspek tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Amer turut menegaskan bahawa operasi membanteras kegiatan pengedaran dadah akan terus dipergiatkan dan memohon kerjasama daripada orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Gejala dadah di sini (Sarawak) tidak serius, tetapi adalah menjadi tanggungjawab kita membendung masalah ini dan terdapat juga laporan serta rungutan daripada ketua-ketua kampung mengatakan anak buah mereka tidak bekerja sebab pengaruh dadah,” katanya.

Selain itu, Amer memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung tangkapan enam anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor yang ditangkap baru-baru ini selepas dipercayai memeras ugut dua ahli perniagaan.

“Semalam (Isnin) mereka dibebaskan atas jaminan polis dan hari ini (semalam) ditangkap semula kerana terdapat satu lagi laporan polis dibuat terhadap mereka di Balai Polis Sekama,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement