Anda di sini

Kontraktor dibantu

Advertisement
 Husni (kiri) dan salah seorang wakil syarikat institusi kewangan terlibat menunjukkan Memorandum Persefahaman sambil disaksikan Fadillah (dua kiri) dan Naroden (dua kanan).
BANTUAN: Husni (kiri) dan salah seorang wakil syarikat institusi kewangan terlibat menunjukkan Memorandum Persefahaman sambil disaksikan Fadillah (dua kiri) dan Naroden (dua kanan).

Pembiayaan, jaminan kewangan RM500 juta untuk kontraktor Bumiputera jalan pakej subkontrak Pan Borneo.

KUCHING: Kemudahan pembiayaan dan jaminan kewangan bernilai RM500 juta disediakan kepada kontraktor Bumiputera yang menjalankan pakej subkontrak di bawah projek Lebuh Raya Pan Borneo.

 Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dana khas tersebut adalah melibatkan kolaboratif antara Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dengan empat institusi kewangan terkemuka – RHB Islamic Bank Berhad, SME Bank, Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP).

 Beliau menjelaskan, RHB Islamic Bank Berhad dan SME Bank akan menyediakan dana khas untuk pembiayaan kontrak manakala kemudahan khas jaminan pinjaman akan disediakan oleh CGC dan SJPP.

 “Program ini diharap dapat membantu penglibatan kontraktor Bumiputera yang berkelayakan dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo.

 “Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif TERAJU di bawah pelan pelaksanaan ‘Carve Out & Complete’ sejajar dengan hasrat kerajaan dalam menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merangsang penyertaan golongan Bumiputera dalam ekonomi negara,” katanya.

 Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Sarawak sempena Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Bagi Program Kemudahan Pembiayaan Kontraktor Projek Lebuh Raya Pan Borneo di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

 Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Industri Kecil Sederhana dan Menteri Muda E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais serta Ketua Pegawai Eksekutif Teraju Datuk Husni Salleh.

 Menurut Fadillah yang juga pengerusi MEB Sarawak, dijangka lebih kurang 50 syarikat kontraktor Bumiputera akan mendapat manfaat daripada program berkenaan, di mana ia dapat membantu meningkatkan kelayakan syarikat-syarikat yang terlibat untuk mendapatkan fasiliti pembiayaan dari institusi kewangan yang telah dikenal pasti.

 “Lebuh Raya Pan Borneo dijangka bertindak sebagai pengganda ekonomi setempat selain menghubungkan Sarawak, Sabah dan negara jiran, Brunei Darussalam.

 “Ia dapat menggalakkan penciptaan peluang ekonomi yang lebih dinamik serta mendorong pertumbuhan sektor ekonomi seperti perkhidmatan dan pelancongan,” katanya.

 Sementara itu, Fadillah berkata Sarawak GLC Talent Development Programme juga telah ditubuhkan, yang merupakan inisiatif kolaboratif antara Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan TERAJU bagi melahirkan modal insan yang berpotensi tinggi di kalangan pengurusan kanan di Sarawak.

 Katanya, pengurusan kanan yang terlibat akan ditempatkan di syarikat GLC yang terpilih di mana mereka akan diberi pelbagai pendedahan serta tugasan selama enam bulan.

 “Dalam proses melalui program ini, pengurusan kanan yang terlibat dapat memperolehi pemahaman yang lebih mendalam tentang amalan terbaik yang diamalkan di syarikat-syarikat GLC di samping meluaskan rangkaian profesional mereka,” katanya.

 Pada masa sama, beliau menambah program berkenaan turut menyumbang kepada pemindahan pengetahuan dan teknologi antara syarikat-syarikat GLC dalam membangun dan melaksanakan projek-projek yang bernilai tinggi.

  • oleh
  • Advertisement