Anda di sini

Cubaan ceroboh gagal

Lelaki ditahan selepas cubaan pecah masuk rumah disedari penduduk gara-gara salakan anjing.

 Suspek berjaya dipujuk menyerah diri oleh anggota MPV dan kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.
TANGKAP: Suspek berjaya dipujuk menyerah diri oleh anggota MPV dan kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Seorang lelaki berputih mata apabila cubaannya memecah masuk sebuah rumah di Jalan Permata di sini gagal kerana disedari oleh penduduk di kawasan tersebut yang terjaga dari tidur selepas anjing tidak berhenti menyalak lewat malam kelmarin.

Menurut sumber, kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah malam ketika suspek yang berusia lingkungan 40-an dilihat memanjat bumbung sebuah rumah dua tingkat di kawasan perumahan tersebut. 

Pada mulanya saya hairan kerana anjing tidak berhenti-henti menyalak. Jadi, saya terus ke luar rumah dan terkejut apabila melihat seorang lelaki tidak dikenali sedang berada di atas bumbung rumah tersebut.

Ketika itu, anjing masih lagi menyalak dan beberapa jiran saya juga keluar dari rumah masing-masing dan kami terus menghubungi pihak polis,” kata seorang daripada penduduk di kawasan tersebut.

Suspek semasa kejadian juga dikatakan cuba melarikan diri, namun tidak berjaya menyebabkan dia terpaksa memanjat semula bumbung rumah tersebut kerana takut dibelasah.

Anggota kereta peronda polis (MPV) tiba beberapa minit kemudian namun cubaan menangkap suspek masih tidak berjaya kerana suspek sering melarikan dirinya dengan memanjat bumbung tersebut, memaksa mereka mendapatkan bantuan daripada pihak bomba.

Namun dengan kecekapan anggota polis, suspek tewas dan berjaya ditangkap,” katanya lagi.

Difahamkan, pemeriksaan lanjut ke dalam rumah tersebut didapati tiada barang yang hilang dan suspek seterusnya dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis semalam, tidak diketahui sama ada terdapat laporan polis dibuat terhadap suspek berhubung cubaannya memecah rumah tersebut.

 Kawasan perumahan dikepung penduduk setempat yang cuba menghalang suspek daripada melarikan diri.
DIKEPUNG: Kawasan perumahan dikepung penduduk setempat yang cuba menghalang suspek daripada melarikan diri.