Anda di sini

Malaysia sedia bantu selesai krisis Qatar jika diperlukan: Hishammuddin

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menolak apa jua jalan untuk membantu menyelesaikan krisis Qatar dengan beberapa negara Teluk, sekiranya diperlukan, kata Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun buat masa ini, katanya, peluang patut diberikan terlebih dahulu kepada Kuwait sebagai negara pengantara dalam menangani krisis berkenaan.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata ini juga merupakan pendirian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara Islam.

Kita pantau secara dekat dan insya-Allah kalau diperlukan, hubungan yang telah kita wujudkan (dengan negara-negara teluk terlibat) boleh membantu dan meletakkan Malaysia dalam posisi yang bukan sahaja strategik tetapi boleh memainkan peranan lebih mendalam (dalam membantu menanggani krisis tersebut),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang ingin tahu  sama ada Malaysia bersedia sekiranya diminta untuk menjadi orang tengah.

Krisis bermula apabila Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain yang diketuai Arab Saudi memutuskan hubungan laut, darat dan udara dengan Qatar pada bulan lepas kerana negara-negara berkenaan mendakwa Qatar menyokong keganasan, mengganggu hal ehwal dalaman negara lain dan berusaha menjalinkan hubungan baik dengan dengan Iran yang merupakan seteru Arab Saudi.

Qatar menafikan dakwaan itu dan menolak senarai 13 tuntutan dikemukakan blok Arab sebagai syarat untuk meneruskan kembali hubungan diplomatik.

Hishammuddin menegaskan Malaysia bagaimanapun mesti mempunyai fakta tepat sekiranya mahu memainkan peranan untuk membantu kerana krisis itu tidak berlaku dalam sekelip mata, tetapi daripada pengalaman negara-negara  yang terlibat berpuluh tahun.

Kepada soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai peranan OIC dalam krisis itu dan sama ada Malaysia akan membangkitkannya dalam mesyuarat OIC, Hishammuddin berkata pada masa ini Kuwait lebih sesuai membangkitkan perkara berkenaan pada mesyuarat OIC.

Beliau berkata negara-negara OIC  pada sesi ke-44 Majlis Menteri-Menteri Luar OIC di Azerbaijan baru-baru ini bagaimanapun berkata sesi itu bukan platform terbaik untuk berbincang  dan berpendapat ia lebih kepada isu dalaman.

Hishammuddin berkata rakyat Malaysia tidak perlu gusar kerana krisis itu tidak menjejaskan dasar dan hubungan Malaysia dengan negara-negara terlibat sama ada dari segi politik atau ekonomi.

Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama dengan kerajaan negara-negara Teluk sambil berharap konflik itu dapat diselesaikan dengan baik,” tambahnya. — Bernama

Advertisement