Anda di sini

ARCHIDEX 2017 dijangka jana transaksi niaga lebih RM1b

Advertisement
 Sr Ratna (tiga kanan) bergambar bersama Amer (tiga kiri) selepas perasmian Pameran Antarabangsa Ke-18 Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan 2017 (ARCHIDEX’17) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. — Gambar Bernama
PAMERAN: Sr Ratna (tiga kanan) bergambar bersama Amer (tiga kiri) selepas perasmian Pameran Antarabangsa Ke-18 Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan 2017 (ARCHIDEX’17) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Acara Pameran Seni Bina, Hiasan Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX 2017) Ke-18 yang bermula semalam sehingga 22 Julai, dijangka mampu menjana transaksi perniagaan melebihi RM1 bilion.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pihak penganjur acara itu yakin dapat mencapai sasaran berkenaan berikutan peningkatan jumlah pengunjung berbanding sebelum ini.

Lebih 36,000 pengunjung dari sekitar rantau ini, termasuk profesional industri, dijangka berkunjung dan melihat pelbagai penyelesaian inovatif dalam bidang berkenaan,” katanya dalam ucapan perasmian ARCHIDEX 2017 itu di sini, semalam.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) Jabatan Kerja Raya, Ratna Mahyuddin. 

Selain itu, Rosnah berkata, kadar pertumbuhan industri pembinaan Malaysia meningkat kepada 8.0 peratus pada suku pertama 2017 daripada 6.5 peratus bagi suku sama sebelum ini.

Subsektor bangunan kediaman berkembang kepada 7.0 peratus pada 2017 berbanding 4.9 peratus tahun lepas, didorong oleh pembinaan bangunan pangsapuri perkhidmatan serta projek perumahan berpatutan terutamanya di Lembah Klang dan Johor,  katanya.

ARCHIDEX 2017 berlangsung selama empat hari di Kuala Lumpur Convention Centre dan dibuka kepada pengunjung perdagangan dari jam 10 pagi hingga 7 malam.

Ia akan mengetengahkan lebih 550 pempamer tempatan dan antarabangsa mewakili jenama terkemuka dari 12 negara.

ARCHIDEX merupakan komponen utama acara tahunan Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF) dan dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) serta penganjur pameran perdagangan dan gaya hidup, C.I.S Network Sdn Bhd.  — Bernama

Advertisement