Anda di sini

PM rasmi Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak

Advertisement
 Najib (empat kiri) menunjukkan plak Mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-Kanak selepas merasmikan mahkamah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara itu di Istana Kehakiman di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama
RASMI: Najib (empat kiri) menunjukkan plak Mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-Kanak selepas merasmikan mahkamah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara itu di Istana Kehakiman di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman di sini, semalam bagi mengendalikan prosiding jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa.

Najib berkata mahkamah pertama seumpamanya itu di Malaysia dan Asia Tenggara dapat mempercepat dan melancarkan semua prosiding serta perbicaraan kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak.

Beliau berkata mahkamah itu akan memberi tumpuan kepada kes seperti pornografi, antun seksual dan serangan seksual selaras dengan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Mahkamah berkenaan juga dijangka mengendalikan kes pertamanya pada 4 Julai ini, kata perdana menteri sambil menyarankan supaya dirangka Garis Panduan Khas untuk mengendali kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak di mahkamah baharu itu.

Garis panduan khas yang bakal dirangka ini perlulah menepati kehendak dan keperluan saksi kanak-kanak serta selaras dengan amalan terbaik yang dilaksanakan di negara-negara lain di dunia,” katanya.

Majlis perasmian mah-kamah itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Yayasan PERMATA Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus Sharif, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Najib berkata satu jawatankuasa kerja yang melibatkan pihak mahkamah, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) kanak-kanak termasuk Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) perlu diwujudkan untuk merangka garis panduan khas tersebut.

Dengan adanya mahkamah itu, perdana menteri berharap kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat diselesaikan secepat mungkin, seboleh-bolehnya kurang dari satu tahun, berbanding kini yang biasanya berlarutan sehingga beberapa tahun.

Dalam kes kanak-kanak, kalau kita lihat, keadaannya unik. Misalnya, ketika kanak-kanak berumur 16 tahun menghadapi penderaan seksual dan kes berpanjangan sehingga berumur 18 tahun ke atas, dia sudah menjadi dewasa dan bukan juvana, rasa untuk memberi keterangan sudah tiada. Sebab itu, signifikan untuk mempercepatkan kes didengar dan diselesaikan,” katanya.

Buat permulaan, Najib berkata Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak itu akan mendengar kes-kes yang berlaku di  Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Insya-Allah, penubuhan mahkamah ini nanti akan kita perluaskan secara berperingkat ke semua 13 negeri di seluruh Malaysia,” katanya. — Bernama

Advertisement