Anda di sini

Mayat tanpa identiti ditemui di Sungai Kemena

Advertisement
 Keadaan mayat mangsa yang berjaya dinaikkan ke bot Polis Marin Bintulu.
DITEMUI TERAPUNG: Keadaan mayat mangsa yang berjaya dinaikkan ke bot Polis Marin Bintulu.

BINTULU: Mayat seorang lelaki yang belum diketahui identitinya ditemui terapung di muara Sungai Kemena sekitar jam 8 pagi kelmarin.

Perkara ini disahkan Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Zailanni Amit ketika ditanya berhubung penemuan mayat oleh orang ramai mengguna laluan sungai berkenaan semalam.

Jelasnya, perkara itu dilaporkan kepada Polis Marin Bintulu dan sejurus itu, sepasukan Polis Marin telah menaikkan mayat berkenaan dan membawanya ke Jeti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) sekitar jam 10.30 pagi.

Mayat berkenaan kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat.

“Pemeriksaan awal dibuat ke atas mayat mangsa mendapati mangsa berseluar panjang, berbaju kemeja dan mempunyai tatu di badannya,” jelas beliau.

Ditanya sama ada terdapat sebarang unsur jenayah pada badan mangsa, beliau berkata siasatan lanjut akan dijalankan berhubung perkara itu dan pada masa sama merujuk kepada keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

Zailanni dalam pada itu menyeru ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang mempunyai ahli keluarga yang sudah lama tidak balik ke rumah agar berhubung dengan pihak polis atau Unit Forensik bagi tujuan pengecaman.

Advertisement