Anda di sini

BNBBC lebih berkualiti

Advertisement

Semak dan imbang bukan sekadar dibuat pembangkang; ahli BNBBC berperanan lebih baik perbaiki kekurangan polisi, pentadbiran kerajaan: Abdullah

 Abdullah pada sidang media mengumumkan Paulus menggantikannya sebagai Pengerusi BNBBC Sarawak, semalam.
SERAH TUGAS: Abdullah pada sidang media mengumumkan Paulus menggantikannya sebagai Pengerusi BNBBC Sarawak, semalam.

KUCHING: Kebanyakan perkara dibangkitkan wakil rakyat daripada parti pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan benda yang baharu didengar Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol yang berkata demikian menambah, perkara berkaitan polisi kerajaan dan permasalahan rakyat yang sama juga dibangkitkan oleh wakil rakyat daripada Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak sebelum pembangkang berbuat demikian.

Malah, ada di kalangan wakil rakyat BNBBC Sarawak lebih lantang daripada pembangkang menyampaikan kritikan membina menerusi sesi-sesi perjumpaan tertutup bersama Ketua Menteri.

Justeru, katanya, proses semak dan imbang bukan sekadar dilakukan pembangkang, malah ahli-ahli BNBBC menjalankan peranan lebih baik berbanding pembangkang dalam memperbaiki kekurangan kerajaan dalam polisi dan pentadbirannya.

Adalah salah untuk mengatakan hanya pembangkang yang boleh menyediakan semak dan imbang semata-mata mereka lantang bersuara ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.

Kebanyakan yang mereka (wakil rakyat pembangkang) perkatakan bukan benda baharu bagi Ketua Menteri, sebab BNBBC dalam perjumpaan-perjumpaan tertutup, malahan sebenarnya Ketua Menteri mampu mendapat maklum balas berkualiti, kritikal dan sah daripada BNBBC, ujarnya.

Abdullah yang menyerahkan jawatan Pengerusi BNBBC Sarawak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata lagi, ahli-ahli BNBBC menunaikan tanggungjawab sebagai semak dan imbang tidak seperti wakil rakyat pembangkang.

Ada juga YB yang amat kritikal terhadap isu-isu tertentu dan Ketua Menteri mengalu-alukan kritikan membina bukan sahaja politik tetapi juga berkaitan ekonomi.

Kita juga berani membangkitkan tentang status rundingan dengan kerajaan persekutuan dan status pembangunan luar bandar.

Apabila dalam Dewan, kita tidak berteriak dan hendak menunjukkan kejaguhan dalam berdebat secara terbuka dan angguk-angguk sahaja terhadap polisi kerajaan,” ujarnya.

Abdullah memegang jawatan pengerusi BNBBC Sarawak sejak Oktober 2011. 

Paulus merupakan ADUN sejak 2006, menggantikan Abdullah yang dilantik sebagai menteri muda baru-baru ini menerusi rombakan kabinet negeri.

Lantikan jawatan Pengerusi BNBBC dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg selepas berbincang dengan pengerusi penyandang dan Speaker Dewan Undangan Negeri.

Dengan struktur baharu dalam BNBBC ini, saya berharap dapat bekerja selaras dengan aspirasi Ketua Menteri. Beliau mahu BNBBC berfungsi dan menunaikan peranan lebih baik.

Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri dan berjanji untuk melakukan yang terbaik bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan polisi-polisi pembangunan demi manfaat rakyat,” kata Paulus.

Paulus dibantu oleh Timbalannya, ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, manakala ADUN Samalaju Majang Renggi dilantik sebagai Setiausaha dan Timbalannya ADUN Layar Gerald Rentap Jabu.

Bendahari ialah ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang dengan Timbalannya ADUN Daro Shafiee Ahmad.

Setiausaha Penganjur pula ialah ADUN Saribas Mohd Razi Sitam, dibantu ADUN Serembu Miro Simuh.

BNBBC Sarawak yang dianggotai 43 ADUN turut menyaksikan lantikan empat ahli jawatankuasa terdiri daripada ADUN Demak Laut Dr Hazland Hipni, ADUN Kedup Martin Ben, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang dan ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing.

Mengenai jawatan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri (CPS), Abdullah berkata beliau kini memangku jawatan tersebut sementara menunggu lantikan baharu.

Kali ini jawatan CPS tidak dipegang oleh Pengerusi BNBBC Sarawak,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement