Anda di sini

Contoh buruk bapa

 Kelima-lima suspek ditahan polis selepas serbuan di sebuah rumah panjang di Sungai Bawan, Jalan Nibong-Tada.
DITAHAN: Kelima-lima suspek ditahan polis selepas serbuan di sebuah rumah panjang di Sungai Bawan, Jalan Nibong-Tada.

   Polis serbu rumah panjang, bapa dan dua anak antara lima dicekup.

KANOWIT: Seorang bapa dan dua anak lelakinya antara lima dicekup polis dalam satu serbuan di sebuah rumah panjang di Sungai Bawan, Jalan Nibong-Tada di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kanowit Daniel Desmond Benjamin berkata suspek berumur antara 24 hingga 52 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah dan penagihan dadah.

Bertindak daripada maklumat awam, sepasukan Taskforce IPD diketuai Inspektor Philomena William melakukan serbuan di lokasi berkenaan sekitar jam 9 malam kelmarin.

Katanya, pihaknya melakukan serbuan di lokasi berkenaan dan berjaya merampas satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah.

Tiga suspek terdiri daripada seorang bapa dan dua anak serta dua lagi kenalan didapati positif dadah Methamphetamine dan Amphetamine semasa ujian saringan awal oleh pihak polis,” katanya ketika dihubungi.

Katanya polis turut merampas beberapa peralatan dan instrumen yang digunakan untuk pengambilan dadah seperti jarum suntikan dan dua buah kereta.

Justeru, Desmond mengingatkan semua tuai rumah atau atau ketua kampung di daerah ini agar menitikberatkan dan memantau lebih dekat aktiviti anak buah (penduduk) mereka agar mereka tidak terjebak dalam aktiviti tidak sihat.

Katanya, ia menjadi tugas tuai rumah untuk memastikan tiada seorang pun daripada anak buah mereka terlibat dengan aktiviti yang akan mencemarkan bukan sahaja nama baik rumah panjang tetapi daerah berkenaan.

Daerah Kanowit sebuah pekan aman dengan kadar jenayah sangat rendah. Kami ingin menjaga imej tersebut,” katanya.

Dalam usaha pihaknya mencegah jenayah di daerah ini, beliau berkata pihaknya sedang giat mengadakan program Polis Masyarakat Berpisah Tiada bersama JPKK melalui ceramah dan dialog di rumah panjang bagi memohon masyarakat setempat bekerjasama dengam polis membanteras serta mencegah jenayah.

Ditanya lanjut mengenai kes tersebut, Daniel berkata dadah yang dirampas dipercayai dadah jenis syabu.

Kami akan menghantar dadah yang dirampas ke Jabatan Kimia untuk analisis bagi menentukan bahan itu serta jumlah beratnya,” ujarnya.

Katanya semua suspek kini ditahan di lokap balai sementara menunggu perintah reman untuk membantu siasatan.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.