Anda di sini

Proses pembedahan ‘Puntung’ berjalan lancar

Advertisement
 Puntung diberi makan selepas beberapa jam proses pembedahan selesai.
PENJAGAAN RAPI: Puntung diberi makan selepas beberapa jam proses pembedahan selesai.

KOTA KINABALU: Kejayaan pembedahan selama lebih dua jam bagi mencabut dua gigi geraham dan sebatang gigi premolar di bahagian rahang kiri ‘Puntung’ menyelamatkan badak sumbu sumatera itu daripada terus berada dalam kesakitan.

Puntung yang dikhabarkan berada dalam keadaan kritikal pada 5 April lalu berjaya diselamatkan dan mula memperlihatkan perkembangan yang baik selepas menjalani pembedahan gigi pada pagi kelmarin.

Doktor Pergigian Haiwan dari Thailand Dr Tum Chinkangsadarn mencabut ketiga-tiga gigi pada rahang kiri Puntung semasa pembedahan mengambil masa 2 jam 20 minit.

Ini adalah satu pembedahan yang berjaya hasil perbincangan dan kerjasama secara global pada dua minggu lalu,” kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Augustine Tuuga.

Turut terlibat dalam pembedahan itu, Doktor Kanan Haiwan Dr Abraham Mathew dari Singapura serta Dr Johan Marais dan Dr Zoe Glyphis dari Afrika Selatan.

Menurutnya proses pembedahan itu bermula pada jam 7 pagi dengan melakukan X-ray terhadap Puntung sebelum haiwan berkenaan dibius selama 110 minit.

Dr Tum menyedari terdapat gigi geraham besar yang dijangkiti bakteria hingga menyebabkannya bernanah.

Sementara itu, Doktor Haiwan dari Borneo Rhino Alliance Dr Zainal Zahari Zainuddin berkata beliau berasa lega dan sangat berterima kasih kepada Dr Tum serta pasukan doktor haiwan yang terlibat dalam menyelamatkan nyawa salah seekor daripada dua badak sumbu sumatera betina yang masih wujud di Malaysia.

Katanya badak sumbu itu juga akan diberi penjagaan rapi bagi memastikan ia bersih, diberi rawatan dan tidak berasa tertekan.

Advertisement