Anda di sini

K’jaan atau LHDN tidak pernah perkenal skim insurans BR1M

SERIAN: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Parlimen Serian diingatkan agar tidak memberi respons terhadap tawaran insurans BR1M yang dihantar melalui e-mel atau SMS.

Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, ini kerana kerajaan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak pernah memperkenalkan skim sedemikian kepada penerima BR1M.

Jika anda menerima apa-apa mesej yang dihantar melalui SMS atau e-mel menawarkan khidmat sedemikian abaikan sahaja,” katanya berucap semasa menyerahkan baucar BR1M kepada penerima di SJK Chung Hua di sini, semalam.

Beliau berkata terdapat banyak pertanyaan daripada mereka yang mendakwa telah menerima mesej mengenai perkhidmatan insurans yang dipanggil i-BR1M.

Beliau berkata LHDN telah mengesahkan bahawa tidak pernah mengeluarkan apa-apa e-mel atau SMS melalui mana-mana pegawai kepada pemohon atau penerima.

Maka itu saya ingin mengingatkan kepada anda semua hari ini bahawa jika anda menerima e-mel atau SMS, sila abaikan sahaja atau memadamnya,” katanya.

Beliau mendedahkan bahawa terdapat 36,539 pemohon di kawasan Serian yang layak menerima BR1M tahun ini dengan 674 daripada mereka tidak mempunyai akaun tetapi menerima dengan menggunakan baucar semalam.

Namun katanya, bagi mereka yang berasakan mereka layak tetapi nama tidak tersenarai pada tahun ini, masih ada harapan kepada mereka.

Anda masih boleh mendaftar sekali lagi sama ada pergi terus ke pejabat LHDN atau mendaftar atas talian.

Anda mempunyai masa sehingga 31 Mei untuk merayu atau mendaftar bagi program ini,” katanya.

Riot percaya masih ramai masyarakat di Serian layak menerima BR1M.

Saya berasakan jumlah terkini masih di bawah sasaran. Saya tahu pekerjaan kebanyakan mereka di sini dan saya berasakan ia lebih daripada jumlah berkenaan,” katanya.

Riot berkata menurut jumlah terkini dianggarkan 7.3 juta rakyat Malaysia layak menerima BR1M pada tahun ini dengan 735,817 daripadanya adalah rakyat Sarawak.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Martin Ben, Residen Serian Jonathan Lugoh, Pegawai Daerah Serian Lim Hock Meng dan Setiausaha Politik Menteri Sumber Manusia Mejar (B) Peter Runin.