Anda di sini

Transformasi Nasional 50 bukan pengganti Wawasan 2020

Advertisement

TN50 merupakan sebahagian daripada kesinambungan sama dalam proses pembangunan Malaysia: Nancy

KUCHING: Inisiatif pembangunan negara merangkumi tahun 2020 hingga 2050 atau Transformasi Nasional 50 (TN50) bukan pengganti kepada Wawasan 2020.

 Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, sambil berkata TN50 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini merupakan sebahagian daripada kesinambungan sama dalam proses pembangunan Malaysia.

 Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Inisiatif Malaysia (TMI) II di Cardiff City Hall, Cardiff, United Kingdom.

 “TN50 bermula dengan ‘Bicara TN50’ yang merupakan landasan untuk bertukar fikiran dan berbincang.

 “Di UK, saya yakin TN50 boleh bermula dalam banyak cara yang sama dengan Inisiatif Rakyat Malaysia II.

 “Menerusi cara ini, kerajaan dapat mendengar terus daripada rakyat, terutama generasi muda mengenai cita-cita dan harapan mereka untuk negara,” jelasnya.

 Nancy berkata proses rundingan, perancangan dan petah berbicara TN50 adalah kritikal bagi memastikan negara bersedia selepas 2020.

 “Di sini pemikiran segar belia kita memainkan peranan mereka.

 “Kami (kerajaan) memerlukan mereka (belia) menjadi analitikal dan bijak.

 Kami perlukan penglibatan belia dan paling penting, kami perlu bersama mereka,” katanya.

 Beliau menambah: “Saya menganggap hubungan antara kerajaan dengan belia adalah simbiosis.

 Kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak adalah resipi sempurna untuk kemajuan holistik negara.

” TMI yang pertama diadakan pada 2013 semasa Nancy menyertainya sebagai salah seorang ahli panel membincangkan topik ‘Wanita: Inisiatif Negara Inspirasi Untuk Semua’.

 Dengan tema sama, ‘Merevolusikan Belia, Mengubah Malaysia’, Nancy mengucapkan tahniah kepada Badan Perhubungan Negara UK kerana menganjurkan acara itu buat kali kedua.

 Beliau juga percaya program seperti itu dapat membentuk minda belia yang berperanan sebagai ‘obor’ ke arah pembangunan Malaysia.

 Hadir sama Duta Malaysia ke United Kingdom dan Ireland Utara Datuk Ahmad Rasidi Hazizi, Timbalan Menteri Luar yang juga Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara (BPLN) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengeruri Perhubungan Negara United Kingdom Muhammad Nashrun Norkamarul Zaman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) Dr Mohd Zamzam Jaafar.

Advertisement