Anda di sini

Petra Giant A juara Futsal Piala Utusan Borneo 2017

Advertisement
 Pasukan Petra Giant A dan NAFAS Samarahan bergambar bersama pihak penganjur yang terdiri daripada Harry (tiga kiri), Francis (empat kiri), Saibi (lima kiri) dan Sulaiman (kanan).
TAHNIAH: Pasukan Petra Giant A dan NAFAS Samarahan bergambar bersama pihak penganjur yang terdiri daripada Harry (tiga kiri), Francis (empat kiri), Saibi (lima kiri) dan Sulaiman (kanan).

KUCHING: Pasukan Petra Giant A menempah nama selaku juara Futsal Piala Utusan Borneo 2017 selepas menumpaskan Kassika CF dengan jaringan 1-0 pada aksi peringkat akhir yang berlangsung di Futsal Coneli, Matang semalam.

 Skuad berpangkalan di Petra Jaya itu terpaksa bertahan sehingga ke wisel penamat bagi memastikan kemenangan kekal milik Petra Giant A.

 Bagaimanapun Kassika CF tidak mudah mengalah dan terus mengasak pintu gol Petra Giant A meskipun ketinggalan 1-0 pada babak pertama.

 Namun, Petra Giant A bijak mengawal perlawanan sekali gus melangkah bergaya dengan habuan lumayan RM2,500 dan piala kejohanan.

 Kassika CF yang akur sebagai naib juara tetap berpuas hati dengan trofi dan wang tunai RM1,800.

 Manakala tempat ketiga bersama disandang oleh Petra Giant B dan NASA FT yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta pingat.

 Sementara itu, kategori bawah 12 tahun pula menyaksikan NAFAS Samarahan mendominasi pentas final selepas menundukkan SK Green Road dengan jaringan 1-0.

 NAFAS Samarahan turun dengan misi juara akhirnya terbalas apabila pulang dengan gelaran juara.

 Kejayaan itu membolehkan pasukan dari Kota Samarahan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala dan pingat.

 Manakala naib juara disandang SK Green Road yang berjaya pulang habuan RM800 sementara pasukan AXIS Academy A dan FSMS Perta FC sekadar berpuas hati menamatkan saingan selaku pemenang tempat ketiga bersama.

 Hadir sama, Pengarang Urusan Kanan The Borneo Post dan Utusan Borneo Francis Chan, Ketua Pengarang Utusan Borneo Sulaiman Bujang dan Ketua Pemberita Utusan Borneo Saibi Gi.

Advertisement