Anda di sini

Senegal tangkap dua ‘pejuang jihad asing’

Advertisement

DAKAR: Pihak berkuasa Senegal menahan dua pejuang jihad asing di Dakar, termasuk seorang yang telah berhubung dengan dalang utama serangan di sebuah hotel Ivory Coast setahun lepas.

Jurucakap polis Henry Cisse berkata satu operasi di Dakar kelmarin membawa kepada penahanan Ould Sidy Mohamed Dina, seorang rakyat Mali, ketika dia mahu meninggalkan rumahnya. Dia telah berada di Senegal selama sebulan, kata beliau.

Seorang lagi pejuang jihad yang disyaki, yang beliau tidak nyatakan namanya, dari Mauritania, ditangkap ketika mahu menaiki sebuah bas ke Gambia. Suspek masih belum didakwa.

“(Dina) telah berhubung dengan Ould Nouwayely, orang yang sama merancang serangan ke atas Grand Bassam (di Ivory Coast),” kata Cisse melalui telefon.

Seramai 15 orang awam dan tiga anggota tentera khas terbunuh serta 33 orang terce-dera dalam serangan di Grand Bassam, sebuah pusat peranginan hujung minggu yang popular di kalangan rakyat Ivory dan penduduk barat, pada Mac tahun lepas.

Serangan adalah salah satu daripada beberapa di wilayah yang dianggap sebagai menyasar Perancis dan sekutunya, termasuk Ivory Coast dan Burkina Faso, selepas Paris campurtangan dari segi ketenteraan di Mali pada 2013 untuk menghalau militan dikaitkan dengan Al-Qaeda yang telah menawan bahagian gurun setahun sebelumnya.

Senegal setakat ini selamat dari serangan pejuang jihad seperti yang kerap menimpa negara jiran timurnya Mali, namun pihak berkuasa ber-ada dalam keadaan berjaga-jaga. — Reuters

Advertisement