Anda di sini

Karnival Sukan Rakyat satukan penduduk Kampung Malaysia Jaya

Advertisement

// Oleh Siti Aisyah Ramli //

 Hasidah (tiga kanan) menggunting reben kain rentang sebagai simbolik penyempurnaan Karnival Sukan Rakyat 2016 Kampung Malaysia Jaya sambil disaksikan tetamu jemputan lain.

SIMBOLIK: Hasidah (tiga kanan) menggunting reben kain rentang sebagai simbolik penyempurnaan Karnival Sukan Rakyat 2016 Kampung Malaysia Jaya sambil disaksikan tetamu jemputan lain.

KARNIVAL Sukan Rakyat 2016 Kampung Malaysia Jaya berlangsung dengan jayanya baru-baru ini di Dewan Serbaguna Kampung Malaysia Jaya, Kuching.

Karnival yang diadakan dua tahun sekali itu merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Malaysia Jaya, dengan kolaborasi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Hadir merasmikan karnival itu ialah Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang berkata, penganjuran karnival itu dilihat sebagai platform yang baik untuk mengumpulkan masyarakat kampung pada satu program.

“Selain itu, kita juga dapat mengeratkan hubungan sesama kita dan mengukuhkan semangat kejiranan, jalinan kerjasama serta semangat kesukarelawan dalam kalangan penduduk kampung.

“Malah karnival seumpama ini juga adalah bertujuan untuk memastikan sukan rakyat khasnya dapat dihidupkan meskipun pada masa ini kita tinggal dalam suasana kehidupan perkampungan moden,” jelasnya ketika ditemui pemberita.

Tambahnya, meskipun tinggal dalam dunia serba moden dan canggih, namun semangat kekampungan dan nilai warisan budaya masyarakat hendaklah tidak dilupakan.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang karnival tersebut ialah kempen derma darah, cabutan bertuah, pertandingan memasak, gerai pameran serta aktiviti jualan.

Sebelum bermulanya karnival, Hasidah bersama dengan puluhan penduduk kampung turut berkesempatan menyertai aktiviti senamrobik dan senaman zumba di pekarangan dewan itu.

 Hasidah (duduk tengah) merakam kenangan bersama warga JKKK Kampung Malaysia Jaya, penganjur bersama serta penduduk kampung.

KENANGAN: Hasidah (duduk tengah) merakam kenangan bersama warga JKKK Kampung Malaysia Jaya, penganjur bersama serta penduduk kampung.

Advertisement