Anda di sini

Tiga ‘bakakuk’ dirampas

Advertisement

Oleh Michael Ubam //

Polis Sibu berjaya menahan dua lelaki, seorang disyaki turut ambil dadah

BERBAHAYA: Inspektor Tega memeriksa senapang patah yang dibawa suspek (bertopi keledar).

SIBU: Polis berjaya menahan dua lelaki dan merampas tiga laras ‘bakakuk’ atau senapang patah buatan sendiri dalam dua operasi berasingan di sini.

Dalam operasi pertama, pasukan polis dari Cawangan Narkotik IPD Sibu diketuai Inspektor Tengku Faizal melancarkan serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Ulu Sungai Merah pada jam 11.40 pagi kelmarin.

Semasa melakukan pemeriksaan, polis mendapati seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah berada di rumah berkenaan.

Pemeriksaan awal polis menemui tujuh kotak mercun pelbagai jenis.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai dua laras senapang patah dan sembilan butir peluru 12 ‘bore’ yang disembunyikan di atas siling tingkat atas rumah tersebut.

Suspek berumur 22 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun pemeriksaan saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sentral untuk siasatan lanjut dan direman selama tiga hari mulai semalam.

Dalam kejadian berasingan pada jam 2 petang semalam, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah diketuai Inspektor Tega Bilong mengadakan operasi di Jalan Bukit Assek di sini.

Bertindak daripada maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki berumur 32 tahun, berbangsa Melayu, ketika suspek menunggang sebuah motosikal dan berhenti di tepi jalan berdekatan sebuah rumah di situ.

Pemeriksaan polis mendapati suspek membawa sesuatu yang mencurigakan yang dibungkus dengan beg plastik beras.

Apabila membuka bungkusan tersebut, polis mendapati selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri.

Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sentral untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

DISIASAT: Suspek kes di Jalan Ulu Sungai Merah dibawa ke Balai Polis Sentral semalam.

BUATAN SENDIRI: Selaras senapang patah yang dirampas daripada suspek di Jalan Bukit Assek, Sibu petang semalam.

Advertisement