Anda di sini

Ngap Sayot cetus ‘huru-hara’

Advertisement

CUBA LEPAS: Joseph berusaha melepasi kawalan penjaga gol KL SPA Putrajaya FC pada perlawanan persahabatan di Stadium Negeri Kuching, malam Sabtu lalu.

Sarawak belasah KL SPA Putrajaya FC 5-0 dalam perlawanan persahabatan Sabtu lepas

KUCHING: Sarawak yang bersaing dalam Liga Super 2014 berada pada kelas tersendiri apabila menang bergaya membelasah KL SPA Putrajaya FC dengan 5-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Negeri, di sini malam kelmarin.

Perlawanan yang disaksikan sekitar 15,000 penonton dan penyokong setia Ngap Sayot itu ternyata penanda aras kepada kemampuan skuad kendalian jurulatih import, Robert Alberts untuk memberi cabaran kepada pasukan lain dalam Liga Super musim ini.

Alberts yang ditemui selepas perlawanan berkata, ia hanya perlawanan persahabatan namun pemain-pemain sudah mula menunjukkan keserasian terutamanya pemain- pemain baharu.

“Keputusan ini merupakan petanda terbaik kepada pasukan Sarawak dan kita bersedia untuk menghadapi musim baharu Liga Super,” katanya.

Arkitek Sarawak, Joseph Kalang Tie menjaringkan dua gol dalam perlawanan persahabatan terakhir itu.

Pemain yang kembali menyarung jersi Sarawak, Mohd Rashid Aya turut meledakkan jaringan selain jaringan daripada penyerang import, Muamer Salibasic.

Jentera penggempur baharu Sarawak, Alireza Abbasfard yang berasal dari Iran tidak menghampakan penyokong setia Ngap Sayot apabila turut menjaringkan gol.

Alberts berkata, saingan dalam Liga Super musim baharu ini agak mencabar berbanding Liga Perdana.

“Kita akan memberi saingan sengit kepada semua pasukan dalam Liga Super termasuk saingan Piala FA dan Piala Malaysia,” ujarnya.

Perlawanan pembuka tirai Liga Super 2014 menyaksikan Sarawak bakal menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) FC di Stadium Selayang pada 18 Januari ini.

Advertisement