Anda di sini

SST

Advertisement

Hasil kerajaan berkurang RM21 bilion pada 2018 berikutan pelaksanaan SST - Kementerian Kewangan

Grafik hiasan 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan berkata hasil kerajaan berkurang sebanyak RM21 billion bagi 2018 apabila ia melaksanakan kembali sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018 bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, anggaran kutipan SST bagi tahun ini untuk tempoh September sehingga Disember 2018 adalah sebanyak RM4 bilion.

“Oleh itu, kehilangan hasil cukai berasaskan kepenggunaan bersih adalah berjumlah RM17 bilion bagi 2018,” katanya di sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lim menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai jumlah pengurangan hasil pendapatan kerajaan apabila GST dihapuskan serta strategi kerajaan untuk menampung semula kekurangan hasil pendapatan tersebut.

Beliau berkata, sebahagian daripada pengurangan kutipan GST tersebut akan diimbangi oleh tambahan hasil berkaitan petroleum yang dijangka berjumlah RM5.4 bilion berikutan peningkatan harga minyak mentah purata kepada US$70 setong (Brent) berbanding andaian US$52 setong yang diguna pakai dalam Bajet 2018.

Selain itu, beliau berkata, terdapatnya tambahan dividen yang dianggar sebanyak RM5 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Petronas dan Khazanah Nasional Bhd.

“Tambahan dividen ini adalah skali selaras dengan peningkatan harga minyak mentah dunia pada 2018 berbanding andaian yang digunakan dalam Bajet 2018,” kata Lim.

Meskipun harga minyak mentah dunia berada di sekitar US$70 setong, Lim berkata, peratusan hasil berkaitan petroleum kepada keluaran dalam negara kasar hanyalah di sekitar 3.3 peratus berbanding 9.2 peratus pada 2009 di mana pada tahun tersebut harga minyak mentah dunia adalah US$62 setong.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan telah mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum,” kata beliau.

Di samping itu, Lim berkata, antara langkah-langkah lain bagi meningkatkan hasil kerajaan persekutuan adalah menerusi aktiviti audit dan siasatan yang berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi meningkatkan pematuhan cukai dan mengurangkan jurang cukai.

Kerajaan juga akan meneroka sumber hasil baharu, terutama daripada aktiviti transaksi atas talian dan menyemak semula insentif cukai bagi memastikan impak yang minimum kepada pengurangan hasil namun menjana aktiviti ekonomi.

“Kerajaan turut melaksanakan langkah rasionalisasi perbelanjaan dengan menyusun semula keutamaan perbelanjaan serta mengkaji, menangguh dan merunding semula projek-projek berkos tinggi.

“Selain itu, kerajaan turut merasionalisasikan fungsi jabatan, program dan projek bagi mengelak pertindihan serta meningkatkan tadbir urus perolehan supaya lebih cekap dan telus,” kata Lim.

Lim berkata langkah ini dijangka memberi penjimatan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion.

Namun begitu, Lim berkata, kerajaan tetap komited terhadap manifesto Pakatan Harapan yang mana antara terasnya adalah untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Dalam hal ini, harga petrol RON95 telah distabilkan pada RM2.20 seliter dan diesel pada RM2.18 seliter di mana langkah ini akan memberi penjimatan kepada rakyat Malaysia dalam bentuk subsidi sebanyak RM3 bilion sehingga Disember tahun ini.

Di samping itu, beliau berkata, bantuan istimewa juga telah diberikan kepada setiap penjawat awam gred 41 dan ke bawah serta pesara jawatan awam yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM700 juta.

“Kerajaan akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh dalam mengimbangi kedudukan kewangan dan paras hutang,” katanya.

-- Bernama 

Kaunter pertanyaan SST akan dibuka mulai 2 Okt 

Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan membuka kaunter pertanyaan berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 2 Oktober ini di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya.

Langkah itu bertujuan memudahkan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor perdagangan dan industri memberikan sebarang maklum balas mahupun aduan berkaitan pelaksanaan SST.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kaunter pertanyaan tersebut akan beroperasi setiap minggu, Isnin sehingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 1 petang.

“Sebanyak 10 kios dan 12 kaunter akan beroperasi sepanjang waktu ini. Kita juga telah melantik dua pegawai dari Pejabat Menteri Kewangan untuk menangani sebarang aduan serta mengambil pandangan dan pertanyaan sepanjang kaunter ini dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua pegawai itu ialah akauntan bertauliah, Datuk Ooi Kok Seng serta bekas Ketua Pegawai Kewangan syarikat antarabangsa, Toh Yen Kee.

Kedua-dua pegawai khas ini akan berada di kaunter pertanyaan tersebut untuk membantu orang awam sehingga bilangan aduan berkurangan, katanya.

Setakat ini, 18 sesi taklimat soal jawab SST diadakan di seluruh negara yang dihadiri lebih 15,000 peserta.

Setelah menerima maklum balas daripada mereka, Kementerian Kewangan bersama JKDM juga memutuskan untuk menurunkan kadar cukai SST daripada 10 peratus kepada lima peratus untuk tayar pneumatik dan motosikal elektrik.

-- Bernama 

Kadar tayar pneumatik, motosikal elektrik dikurang kepada lima peratus 

 

PUTRAJAYA: Tayar pneumatik dan motosikal elektrik adalah barangan terbaru yang kadar cukainya dikurangkan kepada lima peratus daripada 10 peratus kadar cukai yang dikenakan sebelum ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng (gambar fail). 

Beliau berkata keputusan itu dibuat oleh Kementerian Kewangan bersama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) setelah menerima maklum balas daripada 18 sesi taklimat soal jawab Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diadakan di seluruh negara melibatkan lebih 15,000 peserta.

Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya dengan kerjasama JKDM akan membuka kaunter pertanyaan SST di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya bermula Selasa (2 Okt) sehingga Jumaat (5 Okt) dari 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari setiap minggu.

"Sebanyak 10 kiosk dan 12 kaunter akan beroperasi sepanjang waktu itu bagi membolehkan pihak berkepentingan dari pelbagai sektor perdagangan dan industri boleh memberi sebarang maklum balas mahupun aduan terhadap pelaksanaan SST," katanya.

Tambah Lim, pihaknya juga melantik dua pegawai dari Pejabat Menteri Kewangan untuk menangani sebarang aduan, pandangan dan pertanyaan sepanjang kaunter ini dibuka.

Mereka adalah akauntan bertauliah Datuk Ooi Kok Seng dan bekas Ketua Pegawai Kewangan syarikat antarabangsa, Cik Toh Yen Kee. Kedua-dua pegawai khas Menteri Kewangan akan bersama-sama menghadiri kaunter pertanyaan untuk membantu orang awam sehingga bilangan aduan berkurangan.

-- Bernama 

Kurangkan harga rumah atau pengecualian SST disemak semula - Lim 

Grafik hiasan 

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin menimbang semula pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas bahan binaan dan perkhidmatan jika pemaju gagal mengurangkan harga rumah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah positif dengan memberikan pengecualian, dan kini menunggu para penggiat hartanah untuk mengurangkan harga rumah.

"Kami mahu melihat harga diturunkan. Saya tidak berminat untuk melihat pakej tambahan, ini tidak bermakna," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan Pemaju Perumahan Siri CEO Institut Rehda 2018 di sini hari ini.

Dianjurkan oleh Institut Rehda, acara sehari itu menyaksikan peserta membincangkan idea-idea baharu untuk merangsang dan membangunkan semula ekonomi Malaysia, dengan pemimpin pelbagai industri memberi input kepada kerajaan sebelum Bajet 2019 akan datang, selain mengkaji penyelesaian baharu dalam menangani isu hartanah tidak terjual.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Datuk Soam Heng Choon berkata persatuan itu mengakui bahawa pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan pengecualian SST terhadap bahan binaan dan perkhidmatan menyediakan enam peratus penjimatan langsung kepada pengguna.

Beliau berkata Rehda kini menjalankan kajian mengenai kemungkinan mengurangkan harga rumah, dengan laporan itu dijangka dibentangkan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata kerajaan menilai struktur bayaran levi bagi lanjutan permit pekerja asing sementara bagi pekerja yang mempunyai pengalaman bekerja lebih 10 tahun di negara ini untuk mengurangkan beban pekerja.

Beliau berkata menerusi struktur baharu, majikan hanya akan membayar 20 peratus daripada levi tahunan sebanyak RM10,000 untuk membaharu permit manakala selebihnya akan ditanggung oleh pekerja.

Sebelum ini, Lim berkata majikan perlu membayar jumlah penuh, sambil menambah bahawa langkah itu adalah untuk menggalakkan majikan mengekalkan pekerja yang sudah memiliki pengalaman 10 tahun yang sudah dianggap sebagai pekerja mahir.

"Tidak berbaloi untuk menghantar pulang pekerja terlatih dan mengupah pekerja asing yang tidak berpengalaman," katanya.

Sementara itu Lim berkata kerajaan menentang pembangunan hartanah perbandaran semata-mata untuk warga asing.

"Kerajaan tidak akan menerima pembangunan hartanah atau perbandaran semata-mata untuk warga asing," katanya.

Kerajaan sedia semak semula senarai barangan dikenakan SST - Saifuddin

Saifuddin (tengah) pada sidang media selepas mengadakan pemeriksaan SST di MBM Distribution sdn bhd (PERODUA) Kawasan Perusahaan Mergong 2, Seberang Jalan Putra, hari ini. - Gambar Bernama
Saifuddin (tengah) pada sidang media selepas mengadakan pemeriksaan SST di MBM Distribution sdn bhd (PERODUA) Kawasan Perusahaan Mergong 2, Seberang Jalan Putra, hari ini. - Gambar Bernama


ALOR SETAR: Kerajaan bersedia menyemak semula senarai barangan yang dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi melihat jika terdapat keperluan untuk mengecuali atau pun mengurangkan kadar cukai barangan tersebut. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun senarai barangan itu secara prinsipnya telah dimuktamadkan, namun ada keadaan di mana pengecualian SST perlu dibuat setelah mendapat maklum balas daripada pemain industri melalui lawatan dan pemeriksaan yang dijalankan menteri berkaitan. 

"Kita akan melihat keperluan terlebih dahulu, sebab semak (senarai barangan dikenakan SST) dan mengurangkan (kadar cukai SST) bermaksud kekurangan hasil kepada kerajaan, jadi kerajaan harus cermat dalam meneliti.

"Sesuatu item yang kerajaan nak kecualikan (SST) kerajaan kena kira dulu, contohnya lima peratus kita turunkan kutipan cukai, membawa kehilangan hasil berapa, jadi aspek itu diberikan tumpuan oleh menteri kewangan," katanya selepas mengadakan pemeriksaan SST di pusat servis Perodua di sini, hari ini.

Setakat ini, sebanyak 5,443 barang dikecualikan SST, berbanding kira-kira 500 barang saja ketika rejim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) manakala 5,612 dikenakan cukai jualan 10 peratus selain lebih 600 barangan bagi cukai jualan sebanyak lima peratus.

Bagaimanapun setelah kadar cukai dikurangkan atau pengecualian cukai diberikan, beliau berharap agar pihak berkaitan dapat menurunkan harga sesuatu barangan kerana kos pengeluaran telah diturunkan. 

Sehubungan itu Saifuddin berkata, buat masa ini beliau akan mengurangkan masa duduk di pejabat dan akan lebih menumpukan kepada aktiviti turun padang bertemu peniaga, pengilang dan pemain industri bagi mengetahui kekangan dan permasalahan yang dihadapi mereka. 

Mengulas pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkenaan pengecualian SST bagi beg plastik beras, beliau berkata, beliau akan cuba berbincang dengan Guan Eng jika terdapat keperluan untuk turut mengecualikan SST bagi kilang pengeluaran makanan yang turut menggunakan bahan sama.

“Jadi oleh kerana pelaksanaan (SST) masih lagi di peringkat awal saya tengok Kementerian Kewangan agak fleksibel dalam membuat keputusan tentang suatu item yang boleh dikecualikan," katanya yang menyambut baik keputusan tersebut.

Sejak pelaksanaan Operasi Catut 5.0 yang bermula 8 Ogos hingga 3 Sept lalu, sebanyak 3,084 premis telah diperiksa, iaitu 147 premis pengilang, pengimport (15), pengedar (34), pemborong (223) serta peruncit sebanyak 2,665 premis dengan keseluruhan barangan berjumlah 88,298.

Sebanyak 434 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21(2) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP)  2011, serta 387 notis di bawah Seksyen 53(a) AKHAP 2011. 

-- Bernama 
 

Pengendali kedai makanan, minuman bakal nikmati dua pengecualian SST

 

GEORGE TOWN: Kerajaan akan memberi pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melibatkan penyewaan warung kecil dan penjualan rokok kepada para pengendali kedai makanan dan minuman.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata selepas menerima pelbagai maklum balas daripada para peniaga kedai makanan dan minuman, pengecualian cukai SST ini harus diberikan kepada sewaan warung-warung kecil dalam perkarangan kedai.

"Pengendali kedai makanan dan minuman hanya dikenakan cukai SST selepas melebihi nilai ambang RM1.5 juta yang merangkumi makanan dan minuman sahaja dan kadar sewaan warung-warung ini bukan melibatkan makanan dan minuman. Jadi itu sewaan tidak perlu masuk dalam cukai SST," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Lim, yang juga Anggota Parlimen Bagan, menghadiri sesi Taklimat SST bersama Menteri Kewangan yang dihadiri lebih 300 peniaga dan wakil syarikat industri.

Turut hadir bersama adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri T. Subromaniam dan pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh.

Lim turut mengumumkan bahawa penjualan rokok di kedai berkenaan yang tidak mencapai nilai ambang sebanyak RM500,000 setahun juga akan diberi pengecualian cukai SST.

Katanya, kerajaan telah bersetuju bahawa nilai ambangan kedua-dua barangan berkenaan diasingkan kepada RM1.5 juta setahun bagi makanan dan minuman.

"Pengecualian SST ke atas penjualan rokok di kedai makanan dan minuman yang nilai ambangannya kurang daripada RM500,000 ini akan membantu peniaga untuk mengurangkan bebanan mereka dengan barangan itu akan dijual pada harga sama di kedai lain," katanya.

Lim juga berkata kerajaan sedang memberi pertimbangan untuk memberi pengecualian cukai kepada pengendali sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan yang berpangkalan di luar kawasan Zon Industri Bebas (FIZ) yang memberi perkhidmatan kepada syarikat di kawasan berkenaan.

"Ini bagi memberikan dorongan kepada sektor R&D tempatan dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0 dan meningkat daya saing dalam kalangan pemain industri tempatan," katanya.

-- Bernama

Pengecualian cukai perkhidmatan ke atas kad prabayar

Pengecualian itu berdasarkan kepada Seksyen 34(3)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan berkuat kuasa mulai 6 Sept 2018. - Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan hari ini mengarahkan syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi kad prabayar supaya mengecualikan cukai perkhidmatan kepada pelanggan warganegara  Malaysia.

Menterinya Lim Guan Eng berkata ia perlu bagi mengatasi masalah syarikat-syarikat telekomunikasi yang menghadapi kesukaran untuk mengubah sistem mereka dengan segera.

“Kaedah lain akan diumumkan kemudian untuk syarikat-syarikat telekomunikasi agar kerajaan tidak kerugian dalam usaha memastikan pelanggan mendapat nilai penuh bagi bayaran kad prabayar yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengecualian itu berdasarkan kepada Seksyen 34(3)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan berkuat kuasa mulai 6 September 2018.

“Melalui pengecualian ini, pelanggan akan mendapat nilai kredit penuh apabila membuat tambah nilai dan tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan,” katanya.

Semua syarikat telekomunikasi perlu mengambil tindakan segera bagi  mematuhi penetapan pengecualian cukai perkhidmatan itu.

-- Bernama 

SST: Jabatan Kastam keluar senarai pegawai boleh dihubungi bantu peniaga

 


KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia hari ini mengeluarkan senarai para pegawai yang boleh dihubungi bagi membantu peniaga memahami prosedur pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

"Peniaga boleh menghubungi Pegawai Pakar SST di Ibu Pejabat dan Ketua SST negeri yang telah dilantik bagi membantu menjawab sebarang pertanyaan berkaitan SST,” kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy dalam satu kenyataan, hari ini.

Peniaga juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Kastam di talian 1300 888 500 atau menghantar emel ke [email protected].

Selain itu, pertanyaan juga boleh dibuat ke talian Helpdesk SST 03-83237499/7522 atau SST Crisis Centre di talian 03-8882 2289/2303/2492/2617.

-- Bernama 

Senarai barangan dikenakan SST akan dikaji dan dipinda akhir tahun ini - Lim 

 

BUTTERWORTH: Kerajaan akan mengkaji semula senarai barangan yang dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan pindaan senarai itu akan dibuat hujung tahun ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng (gambar) berkata pihaknya akan mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada rakyat berhubung senarai barangan itu dan kajian akan dibuat sama ada barangan itu perlu dikenakan cukai SST atau tidak.

"Senarai penuh sudah dimuat naik tapi kita perlu buat pindaan. Seperti yang saya sebut tadi bahawa kita kena laksanakan (SST) pada 1 Sept. Saya tidak ada pilihan, kalau ada masa kita nak bagi sikit masa kerana kalau kita tak laksanakan pada 1 September kita dalam keadaan defisit.

"Selepas kita dapat pandangan daripada orang ramai dan mereka buat permintaan, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan dengar pandangan rakyat kita mesti ambil tindakan sewajarnya. Jadi, kita akan buat lagi pindaan (senarai barangan) saya harap semua boleh bersabar," katanya kepada pemberita selepas taklimat pelaksanaan SST bersama Menteri Kewangan, di sini semalam.

Beliau berkata terdapat beberapa barangan atau makanan yang sepatutnya tidak dikenakan SST disenaraikan sebagai barangan dikenakan cukai berikutan barangan itu diletakkan dalam satu kelompok yang sama.

"Masalahnya ialah semua jenis makanan import iaitu makanan laut import seperti abalone dan sebagainya harus dikenakan tapi kerana udang dilonggokkan dalam kumpulan sama, itu kita kena buat pindaan.

"Itulah kita buat kajian dan kita berkemungkinan akan keluarkan barangan yang digunakan baik untuk kita orang biasa makan. Kalau abalone mesti kena (cukai), yang lain-lain kita akan kaji dan kita akan lihat adakah kita akan kurangkan atau buat lebih daripada itu," katanya.

Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan mengakui terdapat kekeliruan berhubung pelaksanaan SST daripada pengguna yang tidak mengetahui sistem percukaian terbaharu itu.

Sebagai contoh, beliau berkata terdapat rungutan daripada pengguna yang makan di premis makanan dan restoran seperti restoran nasi kandar yang mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus.

Beliau berkata menerusi pelaksanaan SST, kerajaan telah menaikkan nilai ambang (threshold) sebanyak RM1.5 juta setahun bagi jualan restoran terbabit berbanding RM500,000 yang ditetapkan menerusi GST sebelum ini dan mana-mana restoran yang memperoleh jualan melebihi jumlah itu perlu mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus.

"Di sini saya harap pelanggan boleh faham mengapa ada (restoran) yang tidak perlu kutip (SST) dan ada yang kutip. Jangan salahkan pemilik restoran, mereka hanya jalankan tanggungjawab sebagai seorang warga peniaga yang bertanggungjawab iaitu mematuhi undang-undang.

"Saya juga ingin tegaskan kalau ada 'service charge' iaitu fi perkhidmatan itu bukan cukai. Itu ialah fi yang mereka bagi kepada pelayan-pelayan mereka. Dulu GST dikenakan ke atas 'service charge' tapi di bawah SST kita tidak kenakan, harap mereka jelas," katanya.

Dalam pada itu, Lim turut memberi jaminan kepada pembeli kad prabayar bahawa mereka akan menerima jumlah penuh sekiranya mereka tambah nilai kad prabayar telefon bimbit.

"Kami telah keluarkan arahan bahawa kita nak pastikan yang beli kad prabayar RM10 mereka akan dapat RM10. Cukai perkhidmatan enam peratus akan dikredit balik kerana mereka sudah set dalam sistem cukai perkhidmatan.

"Itu masalah teknikal yang tidak sepatutnya berlaku tetapi telah berlaku dan kita akan ‘rebate’ balik akhirnya pembeli akan dapat nilai yang sama. Jadi, janganlah terperangkap dengan pihak yang juga menghasut bahawa telah dapat kurang dari RM10. Ini tidak akan berlaku," katanya.

-- Bernama 

Isu SST untuk kad prabayar dalam perhatian KKMM - Gobind

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengambil maklum berhubung aduan pengguna berkaitan caj Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap kad tambah nilai prabayar telefon bimbit, kata menterinya Gobind Singh Deo (gambar).

“Buat isu SST untuk ‘prepaid’ (prabayar), perkara ini dalam perhatian KKMM. Kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat berkenaannya,” kata Gobind menerusi catatan di Twitter rasmi beliau, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab aduan seorang pengguna Twitter yang menyuarakan masalah  tersebut di laman media sosial itu.

Pelaksanaan SST yang bermula hari ini menyaksikan segelintir pengguna melahirkan rasa tidak puas hati apabila nilai akhir kad tambah prabayar telefon bimbit yang dibeli mereka telah dipotong dengan sejumlah amaun berikutan SST.

Perkhidmatan prabayar tersebut dikenakan caj enam peratus yang tertakluk di bawah SST.

-- Bernama

Advertisement