Anda di sini

Piala Dunia 2018

Advertisement

Fakta dan angka Piala Dunia FIFA

 

KUALA LUMPUR: Berikut beberapa fakta menarik dan angka mengenai Piala Dunia FIFA:

  • Dua puluh dari 32 pasukan yang layak akan membuat penampilan berturut-turut selepas kejohanan terakhir sebelum ini di Brazil pada 2014
  • Iceland dan Panama akan membuat penampilan sulung pada Piala Dunia FIFA
  • Iceland layak buat kali pertama pada 2018, menjadi negara terkecil (dari segi penduduk) untuk layak beraksi pada Piala Dunia 
  • Sejumlah 64 perlawanan akan berlangsung di 12 venue – Arena Samara, Stadium Nizhny Novgorod, Arena Volgograd, Arena Ekaterinburg, Arena Mordovia, Arena Rostov, Arena Kazan, Stadium Kaliningrad, Stadium Fisht, Stadium Saint Petersburg, Stadium Spartak dan Stadium Luzhniki
  • Sebelas bandar raya terlibat dalam penganjuran Piala Dunia FIFA di Rusia -- Kaliningrad, Kazan, Krasnodar, Moscow, Nizhny Novgorod, Rostov-on-Don, Saint Petersburg, Samara, Saransk, Sochi, Volgograd, Yaroslavl dan Yekaterinburg
  •  Perlawanan akhir akan berlangsung pada 15 Julai di Stadium Luzhniki di Moscow
  • Maskot rasmi adalah serigala diberi nama Zabivaka, yang bermaksud "sang pencetak gol" dalam bahasa Rusia
  • Brazil adalah pasukan paling banyak merangkul kejuaraan Piala Dunia FIFA (1958, 1962, 1970, 1994, 2002)
  • Hanya legenda Brazil, Pele yang memenangi tiga kali Piala Dunia – 1958, 1962, 1970
  • Piala Dunia FIFA 2018: Gianluigi Buffon terlepas peluang muncul pemain dengan penyertaan paling banyak (enam kali) selepas Itali gagal layak ke kejohanan berkenaan
  • Penjaring gol tertua pada Piala Dunia FIFA adalah Roger Milla dari Cameroon, yang berusia 42 tahun apabila beliau menjaringkan gol ketika menentang Rusia pada Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat
  • Penyerang Jerman, Miroslav Klose mencatat rekod sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah Piala Dunia FIFA dengan 16 gol  
  • Legenda bola sepak Itali, Dino Zoft adalah pemain tertua menjulang pada Piala Dunia FIFA pada usia 40 tahun
  • Trofi berprestij Piala Dunia FIFA, yang sebelum ini dikenali sebagai Jules Rimet dicuri selama tujuh hari sebelum berlangsung edisi 1996 
  • Piala Dunia didominasi oleh dua benua – Eropah (11 kali) dan Amerika Selatan (9 kali)
  • Piala Dunia 2018: Pada usia 45 tahun, penjaga gol Mesir Essam El-Hadary dijangka memecahkan rekod sebagai pemain tertua beraksi pada kejohanan Piala Dunia 
  • Bekas penyerang Ireland Utara, Norman Whiteside adalah pemain termuda dalam sejarah beraksi pada Piala Dunia FIFA. Semasa Piala Dunia 1982 di Sepanyol, Whiteside membuat penampilan sulung pada usia 17 tahun, 1 bulan dan 10 hari dalam aksi menentang Yugoslavia
  • Brazil (1970) dan Sepanyol (2010), hanya pasukan yang memenangi Piala Dunia dengan rekod layak ke kejohanan itu 100 peratus
  • Belanda adalah pasukan paling banyak membuat penampilan pada perlawanan akhir Piala Dunia tanpa kemenangan (1974, 1978, 2010)
  • Perlawanan paling dicemari dengan 16 kad kuning dan empat kad merah ketika perlawanan antara Portugal dan Belanda ketika pusingan peringkat 16 pasukan semasa Piala Dunia 2006 di Jerman
  • Gol paling banyak dijaringkan pada perlawanan Piala Dunia adalah 12 gol ketika Austria menewaskan tuan rumah, Switzerland 7-5 pada suku akhir Piala Dunia 1954
  • Menukar jersi dengan pemain pasukan lawan pernah dilarang secara rasmi pada Piala Dunia 1986 kerana FIFA tidak mahu pemain “mendedahkan dada mereka” di atas padang
  • Belum pernah pasukan tuan rumah tersingkir pada pusingan pertama sehinggalah Afrika Selatan menimpa nasib tersebut pada edisi Piala Dunia FIFA 2010 
  • Kehadiran paling ramai pada perlawanan Piala Dunia adalah ketika perlawanan akhir antara Uruguay dan Brazil dengan 173,850 penonton memenuhi Stadium Maracana di Rio de Janeiro pada 16 Julai 1950
  • Gol paling pantas pada perlawanan Piala Dunia dijaringkan pemain Turki, Hakan Sukur selepas 10.89 saat perlawanan bermula ketika menentang tuan rumah, Korea Selatan semasa perlawanan penentuan tempat ketiga pada 2002. - BERNAMA
     

PIALA DUNIA: 25 peratus rakyat Malaysia pilih Brazil

 

KUALA LUMPUR: Dua puluh lima peratus rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan Piala  Dunia FIFA 2018, percaya pasukan gergasi dari Amerika Selatan, Brazil mampu mencipta sejarah dengan menjulang kejuaraan bola sepak tersebut buat kali keenam.

Menurut kajian dijalankan agensi penyelidikan pasaran global, Ipsos terhadap 1,000 rakyat Malaysia berumur 16 hingga 64 tahun, 19 peratus yakin juara bertahan, Jerman mampu menjadi pasukan ketiga selepas Itali (1934 & 1938) dan Brazil (1958 & 1962) untuk mengekalkan kejuaraan, manakala 11 peratus memilih Sepanyol.

Jika dibandingkan dengan pendapat global (19,766 temu bual dari 27 negara), 23 peratus percaya  Jerman yang diberi jolokan ‘The Mannschaft’ bakal mempertahankan gelaran, diikuti 21 peratus sokongan untuk Brazil dan 11 peratus kepada Sepanyol.

Kajian yang dijalankan  dari 20 April hingga 4 Mei 2018 itu, turut mendedahkan keghairahan Piala Dunia boleh mengakibatkan peminat sanggup terlepas kerja atau sekolah semata-mata untuk menonton perlawanan-tersebut, apabila 24 peratus responden secara global mengakui perkara itu, lebih satu peratus berbanding rakyat Malaysia (23 peratus).

Lebih separuh rakyat Malaysia (51 peratus) merupakan peminat tegar Piala Dunia, dengan 24 peratus berhasrat untuk menonton setiap perlawanan yang ditayangkan, manakala 27 peratus akan menonton perlawanan melibatkan pasukan kegemaran mereka.

Menonton Piala Dunia menjadi pengalaman sosial kepada rakyat Malaysia apabila sembilan dari 10 rakyat (88 peratus) berkata akan menonton bersama keluarga dan/atau rakan-rakan mereka.

Perkembangan teknologi digital dilihat tidak berapa menggugat kepentingan siaran televisyen ketika kejohanan paling berprestij dunia itu yang bakal membuka tirai di Rusia pada malam ini, apabila 64 peratus rakyat Malaysia mahu menyaksikan Piala Dunia menerusi televisyen, berbanding 24 peratus merancang menonton menggunakan peranti mudah alih.

Mengejutkan apabila hanya sembilan peratus penduduk negara tuan rumah Piala Dunia kali ini, Rusia menganggap diri mereka sebagai peminat bola sepak, manakala satu pertiga (35 peratus) menyatakan mereka hanya kadang-kadang menonton bola sepak.

Sementara itu, 36 peratus responden dari negara paling besar di dunia itu menyatakan bahawa mereka sama sekali tidak pernah mengikuti bola sepak.

“Mungkin kebanyakan rakyat Malaysia memilih Brazil berbanding Jerman kerana bakat dan kebolehan teknikal mereka. Ia juga akan menjadi satu penebusan besar buat Brazil berikutan kekalahan besar 1-7 kepada Jerman pada edisi lalu di negara sendiri,” kata Pengarah Operasi Bersekutu Ipsos, Michael Looi dalam kenyataan.

Kajian itu dijalankan menerusi sistem Panel Dalam Talian Ipsos di 27 negara termasuk Argentina, Australia, Belgium, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Itali, Jepun, Mexico, Romania, Arab Saudi, Serbia, Afrika Selatan, Turki, England dan Amerika Syarikat.

Piala Dunia 2018 akan berlangsung dari 14 Jun hingga 15 Julai.

Ringkasan Fakta:

Pasukan yang akan memenangi Piala Dunia

-----------------------------------------------------------

Global: Jerman (23 peratus), Brazil (21 peratus), Sepanyol (11 peratus)

Malaysia: Brazil (25 peratus), Jerman (19 peratus), Sepanyol (11 peratus)

Sikap rakyat Malaysia terhadap Piala Dunia 2018

------------------------------------------------------------------

- 24 peratus akan menonton sebanyak mana perlawanan yang boleh

- 27 peratus hanya menonton perlawanan melibatkan pasukan kegemaran

- 32 peratus menonton sesekali hanya bila pasukan terkemuka bermain

- 16 peratus tidak menonton sebarang perlawanan.

- 88 peratus mahu menonton dengan keluarga dan kawan-kawan

- 70 peratus mahu menonton bersama rakan sekerja

- 61 peratus menonton di televisyen

- 24 peratus menonton menggunakan peranti mudah alih

Langkah mungkin dilakukan rakyat Malaysia ketika Piala Dunia

------------------------------------------------------------------------------------

- 64 peratus membeli produk bertemakan Piala Dunia

- 49 peratus menonton perlawanan di bar atau restoran

- 35 peratus membawa azimat yang membawa nasib baik semasa perlawanan

- 23 peratus terlepas kerja atau sekolah demi menonton perlawanan. 

-- BERNAMA
 

Perincian Piala Dunia 2018 siaran RTM dikongsi Selasa ini

 

PUTRAJAYA: Perincian berhubung penyiaran perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 oleh stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) termasuk berkaitan penajaan akan dikongsi Selasa ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata satu sidang media berhubung perincian tersebut seperti jumlah tajaan, bilangan perlawanan yang akan disiarkan dan keuntungan yang dijana akan diadakan di The Glass House, Seputeh, Kuala Lumpur.

"Semua orang teruja untuk tahu mengenai hal itu, jadi kita akan bawakan pasukan dari RTM bagi menjawab segala perkara berkaitan siaran bola sepak tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa kementerian itu, di sini semalam.

Beliau mendedahkan setakat ini Maxis Berhad adalah penaja utama rancangan itu.

Sebelum ini, Gobind mengumumkan kerajaan melalui RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan dengan kos sebanyak RM30 juta untuk membeli hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia bermula 14 Jun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 27 perlawanan akan ditayangkan secara langsung, manakala bakinya disiarkan melalui siaran tertunda.

Sebelum ini, Menteri Kewangan. Lim Guan Eng mengesahkan kerajaan tidak akan membuat sebarang pembayaran kerana pihaknya berjaya mencari penaja untuk membiayai kos bernilai RM30 juta bagi siaran langsung Piala Dunia itu. 

Ditanya kemungkinan terdapat penambahan jumlah tayangan siaran langsung, Gobind berkata beliau telah mengarahkan RTM untuk melihat perkara tersebut jika boleh dilakukan. 

“Yang pasti perlawanan pembukaan dan perlawanan akhir akan disiarkan oleh RTM,” katanya. 

Piala Dunia 2018 akan berlangsung di 12 lokasi di Rusia dengan perlawanan pertama dijadual bermula pada 14 Jun ini.

Terdahulu, Gobind menyampaikan sumbangan duit raya kepada 14 anak yatim dan anak kurang upaya serta 82 kakitangan kementerian dalam kalangan gred 14 dan ke bawah. - BERNAMA 
 

Advertisement