Anda di sini

rabies

Advertisement

Dua kes terbaharu disyaki rabies di Sarawak

 


KUCHING: Dua kes terbaharu disyaki rabies dalam kalangan manusia di Sarawak dilaporkan hari ini, melibatkan dua lelaki warga emas yang tinggal di bandar raya ini. 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah, seorang lelaki, 74 telah meninggal dunia pada Jumaat sementara seorang lagi, 64, masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.

"Kedua-dua kes disyaki rabies ini masih menunggu pengesahan ujian makmal. Spesimen klinikal telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan sedang diproses," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata, warga emas yang meninggal dunia itu pernah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 24 November apabila mengalami sakit di bahagian kiri badan.

Pada keesokan harinya, beliau dihantar ke HUS untuk rawatan lanjut kerana keadaannya bertambah teruk sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 28 November 2018.

"Beliau telah meninggal dunia pada 7 Disember 2018 pukul 3:15 pagi dengan penyebab kematian sebagai klinikal rabies," katanya sambil menambah siasatan mendapati pesakit tidak mempunyai sejarah digigit oleh haiwan. 

Beliau bagaimanapun membela seekor anjing dan seekor kucing yang diberi vaksin anti-rabies pada tahun 2018 ini dan haiwan-haiwan tersebut kelihatan normal dan tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit rabies.

Mengenai pesakit yang berusia 64 tahun, Dr Noor Hisham berkata beliau digigit di betis oleh seekor anak anjing yang juga menggigit isterinya di ibu jari pada September lalu, iaitu seminggu selepas pasangan suami isteri berkenaan memungut dan memelihara haiwan berkenaan.

Katanya, anak anjing itu kemudian dilepaskan di kawasan Matang dan status terkininya tidak diketahui. 

"Selepas digigit, pesakit hanya mencuci luka gigitan tersebut dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan. 

"Pada 27 November 2018, pesakit mengalami sakit lutut serta lemah pada anggota bawah badan dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta," katanya sambil menambah lelaki itu tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing kepada pengamal perubatan swasta yang merawat. 

Pada 2 Disember 2018, beliau mendapatkan rawatan di HUS apabila keadaannya tidak bertambah baik. 

"Pesakit dimasukkan ke wad di mana beliau menunjukkan gejala kekeliruan dan dipindahkan ke Wad Penyakit Berjangkit untuk pemerhatian lanjut," katanya sambil menambah isteri beliau tidak mengalami sebarang gejala dan vaksin anti-rabies telah mula diberikan.

Sejak 30 Jun 2017 sehingga hari ini, jumlah kes yang disahkan rabies di kalangan manusia di Sarawak adalah 14 orang termasuk 13 kematian dan satu kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi.

Sehingga 7 Disember 2018, Kerajaan Sarawak mengisytiharkan 56 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies. 

Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies di kalangan haiwan.

 

KKM sahkan mangsa terbaharu rabies maut

 

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengesahkan seorang lelaki berusia 21 tahun yang dijangkiti penyakit rabies telah meninggal dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata ia sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat rabies di Sarawak sebanyak 13 kes sejak pengisytiharan wabak pada 30 Jun 2017.

Katanya, seorang lagi pesakit masih dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi. 

"Pesakit berusia 21 tahun tersebut telah meninggal dunia pada pagi 4 Disember 2018 di Hospital Umum Sarawak. 

"Punca kematiannya adalah Rabies Encephalomyelitis," katanya sambil menzahirkan takziah kepada keluarga beliau.

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan pada 28 November lalu mengesahkan kes jangkitan terbaharu itu di Sarawak selepas menerima ujian sampel klinikal pada sehari sebelum. 

Katanya, pesakit pernah digigit seekor anjing tidak bertuan pada 4 Oktober namun dia tidak mencuci luka gigitan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan tetapi sebaliknya hanya membeli ubat sapu luka di farmasi.

Pada 21 November 2018, pesakit mengalami sakit di bahagian belakang badannya dan mengadu jatuh sehari sebelumnya namun tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing.

Katanya, pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) apabila mengalami lemah kedua-dua kakinya pada 24 November.

"Pesakit telah dimasukkan ke wad dan pemeriksaan mendapati beliau mempunyai gejala hidrofobia, aerofobia dan kekeliruan," katanya lagi.

KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, agensi-agensi lain serta negara jiran seperti Indonesia bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan rabies dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
 

 

Lagi korban rabies di Sarawak 

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan lanjut.


KUCHING: Seorang lelaki berusia 21 tahun yang merupakan individu ke-14 dijangkiti penyakit rabies di Sarawak, meninggal dunia hari ini.

Menurut sumber, mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 24 November meninggal dunia sekitar tengah hari tadi.

Ia menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu yang ke-13 di negeri ini, di mana seorang lagi pesakit sedang dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi.

Identiti mangsa serta kenyataan rasmi dari pihak berkenaan bagaimanapun belum dapat diperolehi setakat berita ini ditulis. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan lalu mengesahkan kes jangkitan terbaharu itu di Sarawak selepas menerima ujian sampel klinikal pada 27 November lalu.

Katanya, pesakit pernah digigit seekor anjing tidak bertuan, yang status vaksinasi serta kesihatan haiwan tidak diketahui, pada 4 Oktober namun dia tidak mencuci luka gigitan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan tetapi sebaliknya hanya membeli ubat sapu luka di farmasi.

Pada 21 November 2018, pesakit mengalami sakit di bahagian belakang badannya dan mengadu jatuh sehari sebelumnya namun tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing.

Katanya, pesakit telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) apabila mengalami lemah kedua-dua kakinya pada 24 November.

"Pesakit telah dimasukkan ke wad dan pemeriksaan mendapati beliau mempunyai gejala hydrophobia, aerophobia dan kekeliruan," katanya lagi.

Sehingga 25 November 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 54 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies. Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan.
 

  • oleh
  • RM22.8j untuk program basmi rabies di Sarawak tahun depan

     

    KUCHING: Sebanyak RM22.8 juta diluluskan oleh kerajaan negeri bagi meneruskan program dan aktiviti kawalan penyakit rabies di negeri ini pada tahun 2019.

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak RM20 juta dibelanjakan untuk pelbagai program dan aktiviti dalam usaha mengawal dan membasmi rabies.

    Beliau yang juga Menteri Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, perbelanjaan itu bertujuan untuk memberi vaksinasi sekurang-kurangnya 70 peratus dari anggaran 220,000 ekor anjing di Sarawak.

    "Ini untuk memberi imuniti komoditi yang baik dan untuk secara efektif menghentikan penyebaran rabies di kalangan penduduk anjing dengan itu menghalang penghantaran virus ke manusia.

    "Program vaksinasi berjaya di bandar-bandar kecil seperti Serian, Samarahan, Sri Aman dan Sarikei di mana Jabatan Perkhidmatan Veterinar dapat mencapai lebih daripada 70 peratus di kawasan liputan mereka.

    "Sehingga kini, kira-kira 110,000 anjing di seluruh negeri telah diberikan vaksin," katanya pada ucapan penggulungan Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

    Uggah berkata program pengawasan itu kini disokong dengan kemudahan ujian rabies mereka sendiri di Makmal Diagnostik Veterinar Negeri.

    Ini, katanya, membolehkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan rabies dalam tempoh yang lebih pendek.

    "Daripada jumlah sampel 838 yang diambil dalam program pengawasan kami, 258 anjing dan 15 kucing positif untuk rabies," katanya.

    Sarawak juga mewujudkan jalur imun (immunity belt) 10 kilometer dari Telok Melano ke Lubok Antu serta Ba'Kelalan di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia, katanya.

    "Dalam jalur imun ini, semua anjing dikehendaki menjalani vaksin setiap tahun untuk melindungi mereka daripada mendapat rabies dari anjing daripada sempadan.

    "Saya yakin dengan semua usaha bersepadu ini yang dijayakan oleh semua orang, wabak ini dapat dikawal," tambahnya lagi.

  • oleh
  • 102,076 ekor haiwan diperiksa di Sarawak untuk menghapuskan rabies

    KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak menjalankan pemeriksaan ke atas 102,076 ekor anjing dan kucing serta haiwan peliharaan dalam operasi pemantauan di seluruh negeri sebagai langkah mencegah dan menbendung wabak rabies.

    Pengarahnya, Dr Adrian Susin Ambud ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, memberitahu Utusan Borneo bahawa 838 sampel diambil dan diuji dimana sejumlah 273 kes disahkan positif.

    "Daripada 273 kes positif, 258 kes adalah melibatkan anjing manakala 15 lagi kucing," katanya.

    Dr Adrian berkata pada masa ini, sebanyak 47 kawasan di Sarawak diisytiharkan positif rabies dengan kes terbaru yang melibatkan sampel dari Julau yang disahkan pada 2 November.

    Beliau berkata jabatan itu melakukan yang terbaik untuk menghentikan penyebaran rabies dengan menghalang pergerakan kucing dan anjing dari kawasan yang dijangkiti dengan bantuan polis.

    "Polis membantu kami melakukan sekatan jalan raya, dan setakat ini seorang lelaki ditangkap kerana membawa anjing dari kawasan yang dijangkiti tanpa permit dan denda RM500," katanya.

    Dr Adrian juga mendedahkan bahawa mereka telah memberi suntikan vaksin kepada 102,000 ekor kucing dan anjing sejak penyakit rabies dikesan dan kempen suntikan rabies akan diteruskan dari semasa ke semasa. 

    "Kami ingin merayu kepada orang ramai untuk mengkembiri haiwan peliharaan dan memvaksin haiwan peliharaan mereka bagi membantu kami menghapuskan ancaman rabies," katanya.
     

  • oleh
  • Rabies: 70 peratus populasi anjing perlu disuntik untuk dapat imuniti mencukupi

    Dr. Adrian (kiri) memberi suntikan vaksin kepada salah seekor anjing di sini.
    Dr. Adrian (kiri) memberi suntikan vaksin kepada salah seekor anjing di sini.
    Dr. Jackie (kiri) memberi suntikan rabies kepada salah seekor anjing dengan bantuan pemilik anjing.
    Dr. Jackie (kiri) memberi suntikan rabies kepada salah seekor anjing dengan bantuan pemilik anjing.
    Pemilik anjing beratur sementara menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin anti rabies percuma.
    Pemilik anjing beratur sementara menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin anti rabies percuma.
    Hujan renyai tidak mematahkan semangat pemilik anjing untuk mendapatkan vaksin anti rabies untuk haiwan peliharaannya.
    Hujan renyai tidak mematahkan semangat pemilik anjing untuk mendapatkan vaksin anti rabies untuk haiwan peliharaannya.

    KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) melaksanakan operasi pemvaksinan anti rabies di semua kawasan wabak penyakit anjing gila di negeri ini, kata Pengarahnya, Dr Adrian Susin Ambud. 

    Sekurangnya 70 peratus populasi anjing perlu disuntik untuk mendapat imuniti yang mencukupi di kalangan anjing.

    Menurut beliau, setakat ini sebanyak 36 kawasan di bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei disahkan anjing positif wabak tersebut.

    "Sibu masih lagi bebas daripada wabak ini dan pihak kita telah menyuntik lebih daripada 75,000 ekor anjing vaksin rabies secara percuma di dalam lebih daripada 100 aktiviti program itu di sini," katanya ketika ditemui pada Program Vaksinasi Rabies di Balai Raya Kpg Desa Wira Lot di sini, hari ini. 

    Dr Adrian turut menasihatkan pemilik anjing di kawasan positif wabak untuk membawa haiwan peliharaan mereka bagi mendapatkan suntikan pertama vaksin rabies atau suntikan tahunan vaksin yang sama. 

    Setiap ekor anjing yang disuntik akan diberikan kad vaksinasi sebagai pengesahan dan perlu dikurung selama sebulan untuk memantau simptom jangkitan, jika ada.

    Program yang sama akan dianjurkan di Metrocity di Jalan Matang pada 8 September ini.

    Sehingga jam 2.30 petang tadi, pasukan JPVS yang diketuai Dr. Jackie Peter telah memvaksinkan sejumlah 651 ekor anjing peliharaan 358 orang pemilik, yang mana 327 ekor mendapat suntikan pertama vaksin dan vaksin tahunan sebanyak 324 ekor.
     

  • oleh
  • Budak 5 tahun maut dipercayai akibat rabies

     

    KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dari Batu Enam Jalan Penrissen maut dipercayai akibat jangkitan rabies, malam tadi.

    Kanak-kanak tersebut dilaporkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 7 malam.

    Difahamkan, mangsa digigit anjing liar di bahagian muka sekitar hujung Julai lalu dan telah mendapatkan suntikan vaksin anti rabies.

    Bagaimanapun, tahap kesihatan kanak-kanak tersebut dikatakan semakin merosot sehingga terpaksa dimasukkan ke wad di HUS pada 2 Ogos lalu. 

    Jika disahkan rabies, kanak-kanak tersebut merupakan mangsa ke-13 yang terkorban akibat rabies di Sarawak.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang lelaki berusia 44 tahun dari Jalan Matang, yang meninggal dunia pagi Selasa, sebagai mangsa ke-12 yang maut akibat rabies.

    Beliau berkata mangsa dimasukkan ke wad HUS pada 16 Ogos.

    "Berdasarkan maklumat yang diterima, beliau tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain namun pernah memukul seekor anjing liar yang telah menggigit isterinya pada 13 Januari 2018. 

    "Ketika itu, pesakit mempunyai luka terbuka di tangan kanan beliau. Dilaporkan bahawa anjing tersebut kemudiannya telah mati," katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Rabies: Dua kawasan baharu diisytihar di Sarawak

     

    KUCHING: Kampung Mapu Kijabu, Tebedu di Serian dan Kilometer 0.2 Jalan Sakar-Sebangkoi, Jakar di Sarikei dikenal pasti sebagai kawasan baharu jangkitan wabak rabies di Sarawak.

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membuat pengumuman tersebut, hari ini.

    "Memandangkan kampung tersebut berada diluar 10 kilometer radius kawasan diisytiharkan wabak, maka ia adalah lokasi ke-32 dan ke-33 rabies," katanya dalam satu kenyataan.

    Sehingga kini, jumlah keseluruhan kawasan diisytihar dijangkiti wabak rabies adalah 33 kawasan di lima bahagian iaitu Kuching (5), Samarahan (3), Serian (22); Sri Aman (1); dan Sarikei (2).

    Kampung Selarat di Lundu kawasan ke-31 rabies

     

    KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengisytiharkan Kampung Selarat, Sematan di Lundu sebagai satu lagi kawasan baharu wabak rabies.

    Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kampung itu berada di luar 10 kilometer radius kawasan yang diisytihar terjejas wabak rabies.

    "Maka kawasan ini adalah merupakan kawasan ke-31 wabak rabies," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kawasan lain yang terjejas adalah Kuching (4), Samarahan (3), Serian (21), Sri Aman (1), dan Sarikei (1).
     

    Advertisement