Anda di sini

Projek Pan Borneo

Advertisement

Pan Borneo kekal lebuh raya tanpa tol - Baru Bian 

 

KOTA KINABALU: Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak akan kekal sebagai lebuh raya tanpa tol, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian (gambar).

Beliau berkata sebaik mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan, Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai sebarang niat untuk mengenakan kutipan tol bagi Lebuh Raya Pan Borneo.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa Lebuh Raya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol. Ini janji kami (kerajaan Persekutuan),” katanya dalam sidang media berhubung kemajuan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa pembinaan lebuh raya tanpa tol tidak dapat diwujudkan.

Berita berkaitan: Lebuh raya tanpa tol tidak mungkin diwujudkan - Dr M

Baru berkata kenyataan perdana menteri itu adalah merujuk kepada lebuh raya di Semenanjung, dan menurutnya, model pembangunan serta pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo adalah berbeza dengan lebuh raya di Semenanjung.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Persekutuan komited untuk meneruskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak sekali gus memastikan lebuh raya itu dapat disiapkan mengikut masa dijanjikan demi keselesaan rakyat di negeri berkenaan.

Di Sabah, Baru berkata, sebanyak 12 daripada 35 pakej dalam fasa pertama lebuh raya itu telah dimulakan dan baki pakej akan dibina secara berperingkat mengikut kedudukan kewangan negara.

Justeru, katanya kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi menilai semula kos keseluruhan pembinaan lebuh raya berkenaan, namun, perbincangan itu tidak melibatkan perubahan jajaran Pan Borneo.

“Proses pengambilan tanah menjadi antara punca berlaku kelewatan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, dan kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah itu,” katanya.

-- Bernama 


 

Keputusan pengurangan kos projek Pan Borneo diumum tidak lama lagi

Baru menjawab pertanyaan media selepas merasmikan pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Sarawak 2018 di Dewan Suarah Sibu, hari ini.

SIBU: Keputusan mengenai pengurangan kos bagi projek mega Lebuh Raya Pan Borneo, yang kini sedang dikaji semula dari segi aspek teknikal dan kewangan, akan diumumkan tidak lama lagi.

Menteri Kerja, Raya Baru Bian berkata perkara itu akan dimaklumkan selepas mendapat persetujuan antara pihak pemegang berkepentingan dan kerajaan persekutuan mengenai pengurangan kos.

"Kami berharap mereka (pemegang berkepentingan) akan 'give and take' mengenai perkara ini, memandangkan keadaan kewangan negara pada masa kini. 

"Kita harap mereka memahami," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Sarawak 2018 di Dewan Suarah Sibu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika kadar pengurangan kos projek mega berkenaan akan diumumkan berikutan keputusan kerajaan untuk menilai semula pelaksanaan projek tersebut.

Ahli Parlimen Selangau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba'Kelalan itu memberitahu, Kementerian Kewangan telah bertemu dengan pihak-pihak yang berkaitan terutamanya wakil dari Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) untuk berunding mengenai pengurangan kos.

Baru-baru ini dilaporkan projek mega yang menelan kos RM29 bilion itu sedang disemak semula dari aspek teknikal dan kewangan.
 

  • oleh
  • Henti sebar fitnah Pan Borneo - Fadillah

     

    KUCHING: Dakwaan kononnya kontraktor utama dianugerahkan projek bernilai RM27 billion sedangkan kos projek hanyalah RM12.5 bilion hari ini disanggah oleh bekas Menteri Kerja Raya Malaysia.

    Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) dilantik sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) untuk melaksanakan projek Pan Borneo di negeri Sarawak sahaja, tegas Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar).

    “Sebenarnya, peruntukan RM27 bilion adalah untuk membina keseluruhan Projek lebuhraya Pan-Borneo meliputi 936km di Sarawak dan 727km di Sabah sedangkan LBU hanya terlibat di Sarawak sahaja,” tegas Fadillah.  

    Beliau turut menafikan sebarang salah laku kerana pelaksanaan sesebuah projek berskala besar di negara ini perlu melalui proses semakan pengurusan nilai, bermula di peringkat Unit Perancang Ekonomi (EPU) / Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Majlis Ekonomi Negara (EC) sebelum ke Jemaah Menteri. 

    Justeru bagi Projek Pan Borneo yang dikategorikan berskala besar,  ianya perlu melalui proses berkenaan.

    “Sehubungan itu dakwaan yang cuba mengaitkan saya ketika menjadi Menteri di Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam proses pemberian kontrak Lebuhraya Pan Borneo kepada syarikat Project Delivery Partner (PDP) Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana KKR tidak memainkan peranan dalam memutuskan projek,” tegas beliau.

    Katanya, pihak yang menyebarkan dakwaan sedemikian di media sosial dan melalui aplikasi WhatsApp seharusnya menyemak fakta sebenar sebelum menyebarkan fitnah seperti itu.

    Fadillah dalam kenyataan media kepada Utusan Borneo berkata terdapat empat jawatankuasa yang memantau pelaksanaan projek Pan Borneo Sarawak iaitu;

    i) Jawatankuasa Pemandu dipengerusikan oleh KSN

    ii) Jawatankuasa Eksekutif dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri

    iii) Jawatankuasa Tender dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri

    iv) Jawatankuasa Kawalan Kos dipengerusikan oleh SUT MIDT

    “Kementerian Kerja Raya hanya bertindak sebagai “checker” untuk memantau pematuhan dalam proses pelaksanaan projek berkenaan,” kata Fadillah.

    “Manakala bayaran kepada Kontraktor dan PDP dibayar setelah disahkan oleh konsultan jawatankuasa kewangan dan dibayar oleh Kementerian Kewangan bukannya oleh Kementerian Kerja Raya,” jelas Fadillah.

    Berhubung dakwaan kononnya kontraktor utama tidak membayar subkontraktor, Fadillah berkata semenjak kerja-kerja bagi sektor Telok Melano – Sematan bermula pada  September 2015 sehingga April 2018, sejumlah RM2.077 billion telah dibayar kepada kontraktor pakej-pakej Pan Borneo di Sarawak mengikut segala terma dan syarat yang dipersetujui bersama.
     

    Advertisement