Anda di sini

Jamal Yunos

Advertisement

Jamal mengaku tidak bersalah tinggalkan negara secara haram 

Jamal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan meninggalkan negara ini secara haram, Mei lalu. - Gambar Bernama
Jamal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan meninggalkan negara ini secara haram, Mei lalu. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini atas pertuduhan meninggalkan negara ini secara haram, Mei lalu.

Jamal, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali.

Mengikut pertuduhan, Jamal didakwa tanpa sebab yang munasabah telah meninggalkan Malaysia tanpa melalui laluan yang dibenarkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Puteri, di sini, pada 25 Mei lalu mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen  pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap Jamal.

Bagaimanapun, peguam Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakili Jamal memohon jaminan munasabah berdasarkan hukuman yang diperuntukkan atas kesalahan ini adalah denda maksimum RM10,000.

"Anak guam saya turut menghadapi beberapa kes lain di mahkamah ini dan sudah membayar jaminan lebih RM20,000, oleh itu mohon pertimbangan mahkamah," katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept untuk  sebutan semula kes.

Pada 25 Mei lalu, Jamal menghilangkan diri selepas didakwa di hospital itu atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, tahun lepas.

Jamal dimasukkan ke hospital itu kerana masalah tulang belakang dan pertuduhan terhadapnya dibacakan di hospital berkenaan.

Pada 11 Julai lalu, Jamal didenda maksimum RM400 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Majistret Shah Alam.

-- Bernama 
 

Pecah botol arak depan bangunan SUK, Jamal didenda RM400

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin turut memerintahkan Jamal yang dikawal ketat oleh 20 pegawai dan 40 anggota polis, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin turut memerintahkan Jamal yang dikawal ketat oleh 20 pegawai dan 40 anggota polis, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. - Foto Bernama

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini mendenda Ketua Umno BahagianSungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos sebanyak RM400 kerana memecahkan sejumlah botol arakmenggunakan penukul besi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini, tahun lepas.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin mengenakan hukuman itu selepas Jamal, 48, yang hadir ke mahkamah memakai sut lengkap hitam, menukar pengakuannya kepada bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan Jamal yang dikawal ketat oleh 20 pegawai dan 40 anggota polis, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Bekas calon ketua pemuda Umno itu yang sebelum ini menghilangkan diri sejak sebulan lepas sebelum ditangkap Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) di Jakarta Selatan pada 2 Julai lalu, membayar denda tersebut.

Pada 25 Mei lepas, Jamal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan SUK pada 5 Okt tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Haziqah Zulkifli mengendalikan pendakwaan sementara Jamal diwakili peguam Datuk Mohd Imran Tamrin. - Bernama
 

Kediaman Jamal Md Yunos dipecah masuk

 

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan empat lelaki yang dikatakan memecah masuk kediaman Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos (gambar) di Ampang di sini pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 8.30 pagi itu daripada seorang pengurus pengawal keselamatan di kediaman Jamal  pagi  semalam.

“Pengadu dari syarikat keselamatan yang mengawal kediaman Jamal telah dimaklumkan seorang pengawal keselamatan yang mendakwa kediaman berkenaan dimasuki empat lelaki yang mana salah seorang dari suspek menutup muka dan mengambil barangan.

“Barangan yang dicuri termasuk satu beg pakaian besar, cermin mata pelbagai jenama, tiga telefon bimbit dan beberapa barangan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati hanya seorang pengawal keselamatan yang berkawal di kediaman terbabit ketika kejadian.

Hamzah berkata setakat ini jumlah kerugian belum dapat dipastikan dan pengadu membuat laporan polis untuk perlindungan syarikat keselamatan serta bagi tuntutan insurans sekiranya ada.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

Sementara itu, Jamal, 54, dalam kenyataan media hari ini berkata beliau telah dimaklumkan mengenai  rumahnya yang telah diceroboh oleh empat individu.

Jamal berkata ini merupakan kali kedua rumahnya dicerobohi perompak dan menyerahkan kepada "pihak tertentu" untuk siasatan selain meminta peguamnya untuk melakukan sesuatu di bawah undang-undang yang ada. - BERNAMA

Polis akui ada unsur cuai anggotanya ketika jaga Jamal di hospital

 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui ada unsur kecuaian pegawai dan anggotanya yang mengawal Datuk Seri Jamal Yunos (gambar) di sebuah hospital swasta di Ampang  sehingga beliau dapat menghilangkan diri.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi berkata, PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang ditugaskan menjaga Jamal.

“Mereka yang ditugaskan menjaga Jamal ketika itu akan disiasat dan diambil tindakan tatatertib,” katanya.

Mazlan berkata, polis juga telah menghubungi pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mengesan Jamal dan berharap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu dapat dikesan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Jamal dalam satu rakaman suara yang tular di media sosial berkata, PDRM tidak perlu menyusahkan pihak Interpol bagi memburunya kerana beliau masih berada dalam negara ini.

“Apa yang saya buat bukanlah satu jenayah yang boleh mengancam keselamatan kerana kesalahan yang saya buat adalah kesalahan kecil,” katanya dalam rakaman kira-kira dua minit itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan waran tangkap terhadap  Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Jamal dilapor menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei dengan kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.

Jamal, 48, didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor pada 5 Okt lepas. - BERNAMA
 

Jamal hubungi peguam, sedia bekerjasama dengan polis

Jamal menerusi peguamnya menjelaskan, beliau bergegas keluar dari hospital setelah selesai proses discaj untuk mengejar urusan waktu pejabat yang lain. -Sumber Foto :  Facebook Jamal Yunos Dsjy

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunus yang dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini pada Jumaat lepas telah menghubungi kumpulan peguamnya.

Peguamnya Datuk Mohd Imran Tamrin berkata “kehilangan” Jamal disebabkan pada ketika itu beliau percaya dan beranggapan proses ikat jamin telah selesai dan sempurna.

"Beliau telah menjelaskan bahawa pada petang hari kejadian beliau bergegas keluar dari hospital setelah selesai proses discaj untuk mengejar urusan waktu pejabat yang lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya Jamal memaklumkan bahawa beliau sedia bekerjasama dengan pihak polis bagi menyempurnakan proses ikat jamin.

Mohd Imran berkata anak guamnya itu juga memaklumkan bahawa beliau masih belum sihat sepenuhnya dan dalam proses penyembuhan.

Katanya Jamal akan hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses ikat jamin dan memberikan kerjasama kepada pihak polis.

"Pihak peguam percaya telah berlaku sedikit salah faham sehingga situasi beliau dieksploitasi dengan tanggapan negatif. Beliau tidak melarikan diri dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta bersedia untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya," kata Mohd Imran.

Beliau berkata pihak peguam juga telah memaklumkan kepada pihak polis mengenai perkembangan berkenaan.

Prosiding pendakwaan Jamal, 48, yang dituduh melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri  di Shah Alam, Selangor tahun lepas, dijalankan di Hospital Pakar Ampang Puteri kerana beliau sedang dirawat di hospital itu bagi masalah sakit belakang.

Kehilangan Jamal dikatakan disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.

Sementara itu, Jamal menerusi satu rakaman suara yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp berkata beliau bukan menghilangkan diri, sebaliknya berlaku salah faham kerana beranggapan proses ikat jamin telah selesai.

Menurutnya beliau bergegas keluar dari hospital itu kerana mengejar masa untuk mengeluarkan wang Tabung Haji bagi membiayai kos reman dan sebagainya. 

 Bagaimanapun, katanya setelah berjaya mengeluarkan wang, beliau menerima panggilan sedang diburu pihak polis kerana didakwa melarikan diri dari hospital berkenaan. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor  SAC Fadzil Ahmat ketika dihubungi mahu Jamal segera tampil bagi melengkapkan proses jaminannya.

"Jamal belum sempurnakan urusan dokumentasi bagi proses ikat jamin, dia perlu tampil segera untuk lengkapkannya," katanya. - BERNAMA


 

Jamal hilang mungkin disebabkan masalah komunikasi - Peguam

 

KUALA LUMPUR: Isu Datuk Seri Jamal Md Yunus (gambar) yang dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini semalam berlaku disebabkan masalah komunikasi, kata peguamnya Datuk Mohd Imran Tamrin.

Mohd Imran berkata ia merupakan pengalaman  pertama Jamal  dalam  menghadapi  prosedur pertuduhan di luar mahkamah dan beliau percaya berlaku kesilapan tanpa niat untuk lari dari tahanan.

Prosiding pendakwaan Jamal, 48, yang dituduh melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri  di Shah Alam, Selangor tahun lepas, dijalankan di Hospital Pakar Ampang Puteri kerana beliau sedang dirawat di hospital itu bagi masalah sakit belakang.

“Saya percaya mungkin berlaku sedikit 'miscommunication' dan anak guam kami beranggapan proses ikat jamin tersebut telah sempurna.

“Saya khuatir beliau dalam keadaan trauma atau tekanan kerana situasi dan keadaan ini adalah sesuatu yang baharu untuk beliau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Imran berkata pihak beliau telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Ampang Jaya pada 5 petang semalam dan berusaha selama hampir 10 jam untuk membantu polis mengesan  Jamal  bagi melengkapkan proses berkenaan namun gagal.

Sehubungan itu  beliau meminta Jamal menghubungi pihak peguam atau hadir ke IPD Ampang Jaya bagi menyempurnakan proses ikat jamin tersebut.

“Saya  percaya pihak polis  akan memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya tanpa perlu ada sebarang tangkapan,” katanya yang turut memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat terutamanya polis, mahkamah dan hospital.

Kehilangan Jamal dikatakan disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang. - BERNAMA

Jamal Md Yunos direman tiga hari

 

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md  Yunos (foto fail) direman tiga hari bagi membantu siasatan kes berkaitan senjata api.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata ahli politik itu ditahan reman bermula hari ini sehingga Jumaat.

“Proses reman Jamal dibuat di hospital selepas pukul 10 pagi ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Jamal ditahan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, susulan satu laporan yang diterima polis pada 12 Mei lalu menyatakan Jamal dengan sengaja mempamerkan senjata apinya dalam satu gambar yang kemudiannya tular.

Penahanan dilakukan di hospital tersebut memandangkan pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia berkenaan sedang menerima rawatan di situ. - BERNAMA

Advertisement