Anda di sini

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Advertisement

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan usaha melangkaui perbezaan politik

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menganggap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai satu usaha melangkaui perbezaan politik dan mahu semua pihak tanpa kira fahaman politik menjadikan ia sebagai misi nasional terpenting.

Jawatankuasa Imunisasi PH dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan negeri PH serta Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negerinya akan memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan untuk menjayakan program berkenaan.

“Jawatankuasa Imunisasi Pakatan Harapan telah mengkaji Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah dilancarkan Perdana Menteri dan secara dasarnya mengalu-alukan perancangan kerajaan dalam melaksanakan program imunisasi ini. 

“Kejayaan melaksanakan program ini adalah penting untuk memulihkan ekonomi, mengurangkan jangkitan COVID-19 dan memulihkan kehidupan rakyat,” menurut jawatankuasa berkenaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini mengumumkan bahawa vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad, sementara pelaksanaan program itu pula akan mula dilancarkan secara berfasa mulai 26 Feb.

Mengulas lanjut, Jawatankuasa Imunisasi PH turut menyeru supaya wakil Ahli Parlimennya dimasukkan dalam jawatankuasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk menunjukkan bahawa program imunisasi ini adalah sesuatu usaha yang bersifat "bipartisan" dan demi kepentingan negara. - Bernama 

312,390 dos vaksin COVID-19 akan tiba dalam penghantaran pertama - Khairy

Khairy menjawab pertanyaan media selepas majlis pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya oleh Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama
Khairy menjawab pertanyaan media selepas majlis pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya oleh Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 akan diterima dalam penghantaran pertama ke Malaysia, pada 21 Februari depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata vaksin berkenaan akan diterbangkan dengan penerbangan MASKargo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ia akan diasingkan sebelum dihantar ke pelbagai tempat penyimpanan vaksin di seluruh negara.

“Seperti diumumkan oleh PM @MuhyiddinYassin, kita akan menerima penghantaran vaksin Pfizer pertama pada 21 Februari..

"Pihak tentera dan polis akan mengawal dan menjamin keselamatan vaksin sejak dari awal hingga ke peringkat akhir," katanya dalam catatan di Twitternya.

Khairy berkata, terdapat vaksin lain yang melalui proses kawal selia di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Semoga kita dapat menambahkan vaksin lain pada fasa pertama," tambahnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini, berkata beliau akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama-sama pertugas barisan hadapan.

Fasa pertama bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos, bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya.

Sementara fasa ketiga, bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun depan. - Bernama 

Vaksin COVID-19: Kerajaan sediakan lima kaedah pendaftaran

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan lima kaedah pendaftaran menerusi dalam talian atau secara manual untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di negara ini.

Menurut Buku Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan VaksinCOVID-19 (JKJAV) hari ini, dua kaedah secara dalam talian adalah pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my.

Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah yang membolehkan orang ramai mendaftar iaitu dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta, atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Maklumat janji temu seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas SMS," demikian menurut buku itu.

Proses vaksinasi bagi mereka yang mendaftar secara dalam talian mahupun manual adalah sama, merangkumi 18 langkah.

Bagaimanapun, bagi inidividu yang menerima vaksin jenis satu dos, langkah vaksinasi tamat pada Langkah 9 dan Sijil Imunisasi Vaksin COVID-19 Digital akan diberikan, manakala penerima vaksin jenis dua dos proses tamat di Langkah 18.

Berikut adalah proses vaksinasi COVID-19:

Langkah 1 : Pendaftaran secara dalam talian (MySejahtera dan di www.vaksincovid.gov.my) atau secara manual (talian hotline, fasiliti klinik kesihatan dan program bantuan)

Langkah 2 : Terima tarikh janji temu

Langkah 3 : Hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV)

Langkah 4 : Saringan suhu dan gejala

Langkah 5: Daftar kod QR dan semakan identiti

Langkah 6: Konsultasi dan mengisi borang kebenaran

Langkah 7: Terima suntikan dan sahkan pemerimaan vaksin (Dos 1)

Langkah 8: Pemerhatian selama 30 minit selepas suntikan.

Langkah 9: Terima kad vaksin dan Sijil Imunisasi Vaksin COVID-19 (bagi penerima jenis vaksin satu dos)

Langkah 10: Pemantauan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) COVID-19

Langkah 11: Terima tarikh janji temu (suntikan dos kedua)

Langkah 12: Hadir ke PPV

Langkah 13: Saringan suhu dan gejala

Langkah 14: Daftar kod QR dan semakan identiti

Langkah 15: Terima suntikan dan sahkan pemerimaan vaksin (Dos 2)

Langkah 16: Pemerhatian selama 30 minit selepas suntikan.

Langkah 17: Terima Sijil Imunisasi Vaksin COVID-19 Digital dan kemas kini kad vaksin (bagi dafta manual)

Langkah 18 : Pemerhatian kesihatan diri untuk sebarang kesan sampingan.

Individu yang mengalami kesan sampingan suntikan boleh membuat laporan di fasiliti kesihatan terdekat, aplikasi MySejahtera dan di portal laporan ConSERF NPRA di www.npra.gov.com.

Sementara itu, sehingga hari ini, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin wabak itu.

Menurut buku berkenaan, daripada lima pengeluar vaksin itu, Pfizer-BioNTech telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Jan lepas, manakala empat calon vaksin COVID-19 masih sedang diproses untuk kelulusan NPRA.

Bekalan vaksin daripada lima pembekal itu akan diterima oleh Malaysia secara berperingkat bermula Februari tahun ini dan tertakluk kepada kelulusan pendaftaran PBKD.

Vaksin dua dos merangkumi vaksin dari syarikat Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac) dan CanSinoBIO, manakala vaksin satu dos daripada Sputnik V. - Bernama 

Vaksin COVID-19: Saringan sejarah alahan, kesihatan sebelum suntikan - Muhyiddin

 
 Muhyiddin ketika sidang media secara maya selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, hari ini. - Gambar Bernama
Muhyiddin ketika sidang media secara maya selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Saringan sejarah kesihatan dan alahan individu akan dijalankan terlebih dahulu untuk memastikan kesesuaian menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Mereka yang tidak sesuai, tidak diberi suntikan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata selepas seseorang diberi suntikan vaksin, pemantauan akan dibuat selama 15 hingga 30 minit di pusat pemberian vaksin, sebelum mereka dibenarkan pulang, bagi memastikan tiada reaksi alahan yang serius berlaku sejurus menerima suntikan.

Beliau berkata vaksin berkenaan mungkin mempunyai kesan sampingan ringan seperti bengkak di tempat suntikan, namun kesan seperti itu dipercayai akan pulih dengan sendiri.

Mengambil perkembangan negara-negara lain yang telah melaksanakan program vaksinasi COVID-19 dengan selamat, beliau berharap tidak berlaku perkara luar biasa di Malaysia yang memerlukan kerajaan mengkaji semula perkara berhubung program vaksinasi berkenaan.

"Jadi kita harap dengan keadaan yang diperhatikan berlaku di banyak negara, maka demikian juga diharap berlaku di Malaysia. Seperti mana saya telah melawat Indonesia dan berjumpa dengan Jokowi (Presiden Indonesia Joko Widodo) yang sudah menerima vaksin, (beliau) nampak sihat," katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan akan memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin berkenaan untuk memastikan program imunisasi itu boleh diteruskan sehingga satu peringkat semua rakyat  yang layak menerima vaksin berkenaan.

Ditanya mengenai sasaran 80 peratus penduduk di negara ini menerima vaksin COVID-19 memandangkan ramai yang meragui keberkesanannya, Muhyiddin berkata kerajaan tidak akan mewajibkan pengambilan vaksin itu seperti yang dilaksanakan di negara-negara lain.

"Orang ramai perlu memahami bahawa mereka akan menghadapi kesulitan dalam jangka panjang termasuk larangan perjalanan kerana kebanyakan negara mungkin melarang orang yang tidak divaksin masuk (ke negara mereka).

"Sekiranya anda tidak divaksin, mungkin ada kekangan untuk bergerak ke sana sini," katanya.

Muhyiddin berkata kejayaan program imunisasi penting kepada ekonomi kerana sektor tertentu seperti pelancongan dapat beroperasi semula. - Bernama 
 

Ahli Parlimen, ADUN terima vaksin COVID-19 fasa pertama 

Muhyiddin ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut hadir Khairy (kanan) dan Dr Adham (kiri). - Gambar Bernama 
Muhyiddin ketika melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut hadir Khairy (kanan) dan Dr Adham (kiri). - Gambar Bernama 

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menjadi antara penerima vaksin COVID-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memandangkan Ahli Parlimen dan ADUN biasanya berdamping rapat dengan masyarakat di akar umbi.

"Oleh sebab bentuk kerja mereka begitu rupa maka, kita setuju Ahli Parlimen dan ADUN tak kira pihak mana, akan diberi vaksin dalam fasa pertama untuk mereka menjalankan tugas secara lebih berkesan dan selamat," katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini. Turut serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang merupakan Pengerusi Bersama JKJAV.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berfasa akan bermula pada 26 Februari ini dan Perdana Menteri akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Muhyiddin berkata beliau telah meminta Dr Adham dan Khairy untuk berbincang dengan pemimpin parti politik bagi mendapatkan persetujuan mereka dan memahami keperluan menerima vaksinasi COVID-19 berkenaan.

Ditanya mengenai permintaan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya petugas media dan guru turut dimasukkan sebagai penerima vaksin COVID-19 fasa pertama, Muhyiddin berkata kerajaan akan mempertimbangkan permintaan daripada pelbagai kumpulan masyarakat.

"Jika kami dapati mereka berisiko sekiranya tidak divaksin, maka kami akan mempertimbangkan mereka sebagai antara penerima pertama program vaksinasi," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata kerajaan memperuntukkan 300,000 dos untuk petugas barisan hadapan kakitangan perubatan dan kesihatan dalam fasa pertama program vaksinasi manakala 200,000 dos untuk barisan hadapan daripada kalangan anggota keselamatan, pegawai kebajikan dan ahli politik.

Sebelum ini dilaporkan, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam tiga fasa menyasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin secara percuma.

Fasa pertama bermula Februari hingga April untuk 500,000 petugas barisan hadapan manakala fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya.

Sementara fasa ketiga, bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari tahun depan. - Bernama

Malaysia mulakan program vaksinasi COVID-16 pada 26 Feb 

 

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk memulakan program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakannya pada 26 Feb, dalam usaha melindungi penduduk daripada jangkitan COVID-19. 

Penghantaran pertama vaksin dijadualkan tiba pada 21 Feb.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin itu pada 26 Feb, bersama-sama petugas barisan hadapan, di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung sehingga Februari tahun depan.

Beliau menjelaskan proses berkenaan semasa melancarkan Buku Panduan mengenai program imunisasi itu yang menerapkan pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat. Buku panduan dengan slogan Lindung Diri, Lindung Semua, boleh dimuat turun menerusi laman web www.vaksincovid.gov.my.

Buku panduan itu memperincikan program imunisasi berkenaan dan akan menjadi sumber rujukan kepada penggubal dasar dan pelaksana serta rakyat, kata beliau.

“Saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech akan sampai di Malaysia pada 21 Feb 2021.

“Selanjutnya, roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Feb 2021, di mana saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan,” kata perdana menteri semasa melancarkan buku panduan itu secara maya yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial.

Muhyiddin berkata program imunisasi itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa sehingga 22 Feb tahun depan dengan fasa pertama bermula pada 26 Feb hingga April 2021, fasa kedua mulai April hingga Ogos 2021 dan fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022.

Menurut buku panduan tersebut, 500,000 penduduk akan menerima suntikan pada fasa pertama yang terdiri daripada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan sektor awam dan swasta serta petugas barisan hadapan dalam perkhidmatan penting dan keselamatan.

Sehingga 9.4 juta penduduk akan dilindungi pada fasa kedua yang terdiri daripada petugas dalam perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan penting dan keselamatan serta mereka yang berumur 65 dan ke atas, kumpulan berisiko yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serta orang kurang upaya.

Kira-kira 13.7 juta penduduk pula disasarkan menerima suntikan itu dalam fasa ketiga yang terdiri daripada mereka yang berumur 18 dan ke atas (warganegara dan bukan warganegara). Keutamaan diberikan kepada zon merah, kuning dan hijau COVID-19.

Muhyiddin berkata program imunisasi menyeluruh ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 sekali gus diharap dapat menamatkan pandemik COVID-19.

“Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga orang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti.

“Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu Lindung Diri, Lindung Semua,” katanya.

Perdana Menteri berkata apabila semua orang telah dilindungi dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, ia akan memberikan impak positif termasuk membolehkan sektor ekonomi dan pelancongan kembali dibuka. 

“Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan. Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu.

“Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19.

“Pastinya, satu lembaran baru bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua rakyat supaya jangan berlengah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin dan hadir pada waktu yang telah ditetapkan untuk menerima dos pertama dan dos kedua.

Menurut buku panduan itu yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, pendaftaran boleh dibuat aplikasi MySejahtera atau laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my. serta menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta, atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Vaksin berkenaan akan ditempatkan di 54 lokasi seluruh negara dan akan dilaksanakan di 605 lokasi.

Setakat bulan ini, Malaysia memperoleh 66.7 juta dos vaksin COVID-19 melalui kemudahan COVAX dari lima pengeluar iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V. - Bernama

Program imunisasi disambut baik, langkah wajar bendung COVID-19

 

KUCHING: Rakyat menyambut baik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta berharap suntikan vaksin berkenaan mampu membendung penularan pandemik di Malaysia.

Tinjauan Utusan Borneo hari ini mendapati rata-rata mereka yang ditemui bersetuju dengan pelan Program Imunisasi COVID-19 yang akan dilakukan secara berperingkat mulai hujung bulan ini.

MOHD ROZLAN
MOHD ROZLAN

Mohd Rozlan Abdullah berkata, program pengagihan imunisasi itu diharap dapat disegerakan terutama kepada golongan yang berisiko termasuk warga emas dan barisan hadapan.

“Suntikan vaksin ini mungkin menjadi antara kaedah untuk mengurangkan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Menurut Roslan yang berusia 85 tahun itu, dia sedia menawarkan diri mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara sukarela apatah lagi dirinya menghidap penyakit kencing manis dan gaot.

FERRANDO
FERRANDO

Ferrando Edmond, 27, yang bertugas sebagai jururawat berkata, pelan itu diharap mampu membuka minda rakyat mengenai usaha kerajaan untuk melindungi rakyatnya.

Beliau yang sudah mendaftar diri secara sukarela mendapatkan vaksin menganggap pelan imunisasi itu wajar dilakukan segera seperti dilakukan di beberapa negara lain.

“Program ini sangat baik terutama bagi petugas barisan hadapan seperti kami. Lagipun vaksin ini terbukti berkesan kerana ada beberapa rakan sejawatan di Arab Saudi sudah mendapatkan suntikan vaksin kedua.

“Saya juga berpendapat bahawa vaksin ini amat sesuai diberikan kepada umum tanpa mengira peringkat umur kerana rawatan kesihatan adalah hak semua rakyat,” tambahnya.

AUDREY ISIS
AUDREY ISIS

Audrey Isis Raymond Kunsin, 34, berkata, perasaan kurang percaya terhadap langkah pengagihan vaksin perlu dielak.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya itu mengetahui terdapat dalam kalangan rakyat bimbang suntikan vaksin menyebabkan kesan sampingan terhadap kesihatan.

Namun, beliau berpendapat, setidak-tidaknya kerajaan telah berusaha membendung COVID-19 daripada terus menular.

“Bagi saya pemberian vaksin untuk Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah satu langkah yang wajar. 

“Cuma, ada segelintir rakyat yang takut dengan kesan sampingan oleh vaksin ini sebab sangat baharu. Tapi biar kerajaan berusaha untuk memastikan rakyat boleh hidup dalam situasi rasa selamat seperti sebelum pandemik,” tegasnya.

DANIEL
DANIEL

Daniel Wee, 22, pelajar universiti swasta di Kuching pula berkata, pemberian suntikan  vaksin kepada seluruh rakyat adalah bagus kerana buat masa ini tiada cara lain untuk menghentikan COVID-19.

“Ini untuk kebaikan semua rakyat. Namun saya berharap golongan muda diberikan vaksin COVID-19  terlebih  dahulu atau mereka yang tidak mempunyai penyakit kronik kerana pemberian kepada kepada warga emas dilihat berisiko,” ujarnya.

KARL
KARL

Sementara itu, Karl Terence, 27, pembantu tadbir daripada agensi swasta berharap pemberian vaksin itu akan mendapat sokongan dan kerjasama daripada semua rakyat. 

“Malah, saya sedia menawarkan diri untuk mendapat suntikan ini jika diberi peluang kerana tahu, dengan pengambilan vaksin ini bukan sahaja dapat melindungi diri bah kan juga orang di sekeliling,” katanya.

Baginya warga emas belum sesuai diberikan kerana khuathir akan melemahkan sistem daya tahan badan atau mendatangkan kesan sampingan terhadap golongan terbabit.

Pada 4 Februari lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan  tiga fasa  mulai hujung bulan ini.

Fasa pertama dari Februari hingga April adalah untuk kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu, sementara fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga pula adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.
 

  • oleh
  • Advertisement