Anda di sini

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Advertisement

Pendaftaran vaksinasi COVID-19 tiada had tamat, sehingga capai sasaran - Khairy

 Aplikasi MySejahtera antara lima kaedah pendaftaran untuk vaksinasi COVID-19 yang akan mula dibuka kepada orang ramai pada 1 Mac ini. - Gambar Bernama
Aplikasi MySejahtera antara lima kaedah pendaftaran untuk vaksinasi COVID-19 yang akan mula dibuka kepada orang ramai pada 1 Mac ini. - Gambar Bernama

SEPANG: Pendaftaran untuk vaksinasi COVID-19 tidak akan ditamatkan sehingga mencapai sasaran 80 peratus rakyat yang telah menerima vaksin, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

"Pendaftaran akan sentiasa dibuka dan tidak akan ditutup sehingga selesai sasaran kita iaitu 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia (menerima vaksin)," kata beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech, di sini hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti beberapa kaedah yang boleh digunakan orang awam untuk mendaftarkan diri, selain pihaknya juga akan mengenal pasti kumpulan sasar bagi memastikan mereka memperoleh vaksinasi itu.

Sementara itu mengenai status vaksin lain yang akan diterima negara, Khairy berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sedang berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai vaksin berkenaan sebelum diluluskan.

"Contohnya bagi vaksin Sputnik V, (NPRA) telah meminta maklumat tambahan daripada Duopharma Biotech Bhd dan Gamaleya National Research Institute of Epidemiology and Microbiology, Rusia.

"Saya jamin, NPRA sedang melakukan yang terbaik untuk menyegerakan proses kelulusan peraturan bagi vaksin yang lain,” katanya.

Khairy berkata vaksin Sinovac dijadual tiba pada 27 Februari ini, namun ia masih menunggu kelulusan NPRA, manakala vaksin AstraZeneca dijadual tiba Mac ini. 

Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin COVID-19.

Ia termasuk vaksin dua dos merangkumi vaksin dari syarikat Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac) serta CanSinoBIO, dan vaksin satu dos daripada Sputnik V.

Selain itu, kerajaan juga dijangka menandatangani kontrak pemerolehan vaksin COVID-19 Johnson & Johnson dari Amerika Syarikat dalam masa terdekat. - Bernama 

Vaksin COVID-19: Pasport vaksin untuk pengesahan terima suntikan

 

SEPANG: Kerajaan bercadang mengeluarkan pasport vaksin sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Ketika ini, kita cadangkan dua kaedah iaitu dipaparkan (terima suntikan) di aplikasi MySejahtera dan dokumen secara fizikal iaitu dalam bentuk pasport yang boleh diterima negara lain,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di sini hari ini, Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang memperhalusi cadangan tersebut.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata skim perlindungan untuk memberi pampasan kepada penerima vaksin COVID-19 yang mendapat kesan sampingan serius, akan diwujudkan.

“Skim ini akan memberi pampasan ex-gratia kepada mana-mana penerima suntikan vaksin COVID-19 yang mengalami kesan sampingan serius, yang boleh dikaitkan dengan pemberian vaksin itu,” katanya, sambil menambah perkara itu diputuskan Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas minggu lepas. - Bernama

Vaksin tiba, buka lembaran baharu Malaysia perangi COVID-19 dalam fasa seterusnya

Pesawat MH604 membawa 312,390 dos vaksin COVID-19 itu mendarat pada pukul 10.07 pagi. - Gambar Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19
Pesawat MH604 membawa 312,390 dos vaksin COVID-19 itu mendarat pada pukul 10.07 pagi. - Gambar Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19

SEPANG: Vaksin COVID-19 yang ditunggu-tunggu untuk melindungi penduduk di Malaysia, selamat tiba apabila pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.

Pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang sebagai simbolik bahawa vaksin tersebut adalah untuk rakyat Malaysia, membawa 312,390 dos vaksin COVID-19 itu mendarat pada pukul 10.07 pagi.

Dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) iaitu cabang kargo syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd, penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu menggunakan pesawat Airbus 330-300 bagi membawa vaksin COVID-19 tersebut.

Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.

Antara yang hadir menyaksikan detik bersejarah ketibaan vaksin tersebut adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. 

Selesai proses pemindahan, trak syarikat logistik itu diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan.

Perjalanan vaksin itu dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh syarikat farmaseutikal itu dan DHL, peneraju dalam industri logistik, melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin itu berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang di Jerman iaitu Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

Kementerian Kesihatan  (KKM) mewakili kerajaan Malaysia telah memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd pada 11 Jan lepas (2021) untuk pembelian vaksin Pfizer-BioNTech itu, setelah memulakan perbincangan pada penghujung tahun 2020.

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari lepas.

Ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 itu merancakkan momentum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu program vaksinasi terbesar di negara ini yang akan bermula 26 Februari ini.

Program imunisasi itu dibahagikan kepada tiga fasa dengan yang pertama bermula 26 Feb hingga April 2021, melibatkan petugas barisan hadapan sektor awam dan swasta serta pertugas dalam perkhidmatan penting dan pertahanan serta keselamatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos 2021, bagi baki petugas kesihatan serta dalam perkhidmatan penting dan pertahanan, kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Fasa ketiga pula bermula dari Mei 2021 hingga Februari 2022, untuk golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara, dengan keutamaan kepada mereka yang berada dalam zon merah, diikuti zon kuning dan hijau.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menawarkan diri untuk menerima suntikan vaksin berkenaan pada hari pertama pelaksanaan program itu pada 26 Februari, bersama-sama petugas barisan hadapan.

Program vaksinasi terbesar dengan tema 'Lindung Diri, Lindung Semua' adalah strategi kerajaan untuk memastikan sebanyak mungkin penduduk di Malaysia menerima vaksin COVID-19 bagi menyelamatkan nyawa.

Sejak pandemik itu dilaporkan di Malaysia pada 25 Januari 2020, sebanyak 1,051 kes kematian dilaporkan di negara ini akibat COVID-19 setakat Sabtu (20 Feb 2021). Virus itu dilaporkan telah menjangkiti 280,272 orang, dengan 244,753 orang telah sembuh. - Bernama 

Vaksin COVID-19 pertama untuk Malaysia tiba pagi ini

Persiapan penerimaan Vaksin Pfizer-BioNTech di KLIA pada 17 Februari lalu. - Gambar Bernama
Persiapan penerimaan Vaksin Pfizer-BioNTech di KLIA pada 17 Februari lalu. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Setelah lebih setahun negara 'berperang' dengan pandemik COVID-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini, akhirnya pada pagi ini, vaksin yang menjadi harapan dalam menangani wabak tersebut bakal 'mendarat' di bumi Malaysia.

Detik bersejarah ini dijangka berlaku kira-kira 10 pagi apabila kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd (MASKargo).

Perjalanan vaksin ini adalah dari kilang Pfizer di Belgium dengan penerbangan membawa vaksin itu akan berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

Ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu akan disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Menteri  Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), turut meramalkan cuaca pagi dan petang ini di daerah Sepang dan Putrajaya baik iaitu minimum 23 darjah Celcius hingga 33 darjah Celcius.

Dengan ketibaan vaksin tersebut, Malaysia akan dapat memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, iaitu program vaksinasi terbesar yang pernah dilakukan di negara ini dan ia akan dilancarkan  dalam tempoh lima hari lagi (26 Feb).

Selaku antara negara terawal di Asia Tenggara selepas Singapura yang akan menggunakan vaksin berkenaan bagi membentuk imuniti terhadap jangkitan virus COVID-19, harapan yang lebih besar bagi 32 juta rakyat Malaysia ialah dapat 'membebaskan' negara daripada belengu penyakit itu, supaya situasi kembali seperti sediakala.

Pastinya vaksin yang telah diakui keberkesanannya dan mendapat kelulusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) itu diharap berjaya 'menampan' rakyat daripada menjadi mangsa virus berbahaya itu.

Mengikut perancangan, fasa pertama pada 26 Februari ini, penerimanya merupakan petugas barisan hadapan iaitu anggota KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain- lain yang ditetapkan kerajaan. 

Sebanyak 600 lokasi vaksinasi seluruh negara telah ditetapkan dengan tujuh vaksinator (petugas menyuntik vaksin) akan disediakan di setiap lokaliti atau kawasan.

Fasa pertama program imunisasi yang bermula Februari hingga April itu akan diikuti  fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama-sama petugas barisan hadapan.

Pada 11 Jan lepas, perjanjian untuk penghantaran fasa pertama vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b ke seluruh negara dimeterai antara kerajaan, melalui KKM dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd.

Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) membabitkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung Februari, meliputi 20 peratus populasi Malaysia dengan dua dos seorang. - Bernama

Program imunisasi kebangsaan akan perkukuh sektor perniagaan dan pelaburan negara - MITI

 
Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula minggu depan akan dapat mengukuhkan keyakinan dalam sektor perniagaan dan pelaburan negara, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali menzahirkan keyakinan program vaksinasi secara menyeluruh di peringkat kebangsaan itu akan memberi impak positif kepada operasi perniagaan komuniti dan industri di Malaysia. 

"Program ini dijangka membantu mempercepatkan lagi pembukaan dan pemulihan aktiviti ekonomi secara menyeluruh. 

"Ini secara langsung akan meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. 

Pada Selasa, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada 26 Februari, 2021, sejurus selepas penghantaran pertama vaksin yang dijadualkan tiba pada 21 Februari.  

Program imunisasi ini akan dijalankan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama bermula pada 26 Februari hingga April 2021; fasa kedua mulai April hingga Ogos 2021 manakala fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022.  

Pada 11 Januari lepas, Malaysia melalui Kementerian Kesihatan (KKM) telah menandatangani perjanjian bersama Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd untuk penghantaran fasa pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech BNT1262b.  

Perjanjian tersebut melibatkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang meliputi 20 peratus populasi Malaysia dengan pemberian dua dos kepada setiap orang. - Bernama

Kerajaan tubuh CITF, urus Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Khairy pada sidang media yang diadakan secara maya di pejabatnya hari ini. Turut sama, Mohammad. - Gambar Bernama
Khairy pada sidang media yang diadakan secara maya di pejabatnya hari ini. Turut sama, Mohammad. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas dikenali sebagai Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk menguruskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata CITF akan diketuai oleh beliau sendiri selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan membuat laporan kepada Jemaah Menteri.

Beliau berkata pasukan pengurusan CITF pula akan diselia oleh dua pengarah bersama iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Keong dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.

"Struktur CITF menekankan kepada tindakan bersepadu pelbagai kementerian dan badan kerajaan bagi memastikan PICK dapat dilaksanakan dengan kemas, lancar dan teratur dalam mencapai objektifnya.

"Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bertindak sebagai urus setia CITF,” katanya pada sidang media mengenai penyelarasan CITF di sini hari ini.

Sidang media itu turut diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom.

Mengulas lanjut, Khairy berkata CITF telah mengadakan mesyuarat pertama semalam bagi memperincikan penyelarasan bidang tugas, struktur kerja dan perancangan keseluruhan PICK.

Menurutnya, dalam mesyuarat itu MKN turut membentangkan kertas kerja berkaitan Pusat Kawalan CITF di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah serta mekanisme penyelarasan yang menghubungkan pelbagai peringkat ini.

Beliau berkata menerusi CITF, perkhidmatan kesihatan yang merangkumi bidang tugasan pengurusan logistik vaksin; pendaftaran; mengenal pasti kategori penerima vaksin; pemantauan pasca vaksinasi; pentadbir vaksin; pusat imunisasi di fasiliti KKM dan pengurusan sumber manusia akan diselaraskan dengan perkhidmatan bukan kesihatan.

“Perkhidmatan bukan kesihatan bertanggungjawab bagi pengurusan logistik (utiliti, tempat letak kereta, ICT dan peralatan bukan ICT); dokumentasi, rekod dan pendaftaran; pengurusan maklumat geodata raya; komunikasi strategik; pentadbir pusat vaksin di fasiliti awam; pengurusan pengangkutan penerima vaksin; pengurusan sumber manusia; bahagian dan agensi dan sukarelawan.

“Bagi tujuan pentadbiran, Bilik Gerakan CITF telah diwujudkan di Aras 3, Blok F1, Parcel F, Presint 1, Putrajaya,” katanya.

Khairy berkata pasukan beruniform termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan terlibat sepanjang PICK berlangsung. - Bernama

COVID-19: Kerajaan akan tandatangan kontrak pemerolehan vaksin Johnson & Johnson

Khairy pada sidang media yang diadakan secara maya di pejabatnya hari ini. - Gambar Bernama
Khairy pada sidang media yang diadakan secara maya di pejabatnya hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menandatangani kontrak pemerolehan vaksin COVID-19 Johnson & Johnson dari Amerika Syarikat dalam masa terdekat, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata setakat ini, makluman klinikal mengenai vaksin itu amat positif dan Jemaah Menteri berdasarkan syor Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), membuat keputusan untuk membeli vaksin tersebut.

“Kita masih lagi dalam proses rundingan dan dalam masa terdekat saya difahamkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba akan tandatangan kontrak untuk kita perolehi vaksin dari Johnson & Johnson.

“...dan selepas itu baru kita akan hantar ke Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan penilaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai penyelarasan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bertujuan menguruskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, hari ini.

Beliau berkata, vaksin Johnson & Johnson merupakan vaksin satu dos.

Dalam pada itu beliau memberi jaminan bekalan vaksin COVID-19 yang merangkumi dua dos akan disimpan dengan selamat, bagi mereka yang telah menerima dos awal.

“Kita ada dasar di bawah JKJAV iaitu bila kita menerima vaksin, kita kena simpan vaksin dos kedua bagi mereka yang telah menerima vaksin sebelumnya.

“Kita ikut saranan pembekal vaksin Pfizer yang menyarankan dos kedua diberi selepas 21 hari dan kita tidak mahu mengambil pendekatan seperti United Kingdom yang melanjutkan tempoh dos kedua AstraZeneca dari sebulan ke sembilan hingga 12 minggu,” katanya.

Vaksin dua dos merangkumi vaksin dari syarikat Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac) dan CanSinoBIO, manakala vaksin satu dos daripada Sputnik V. 

Malaysia juga dijadual menerima vaksin Pfizer-BioNTech seminggu lebih awal iaitu pada 21 Februari ini.

Khairy berkata vaksin yang diterima akan disimpan di pusat simpanan vaksin di bawah seliaan KKM, dan anggota polis akan menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan vaksin berkenaan.

“Saya percaya PDRM dan ATM akan bantu bukan hanya di pusat simpanan vaksin, malah sewaktu konvoi penghantaran vaksin ke seluruh negara, memandangkan vaksin menjadi bahan yang amat bernilai sekarang,” kata Khairy.

Mengenai pemerolehan picagari ‘low dead-volume’ Khairy berkata, kerajaan telah mendapatkan jumlah picagari yang diperlukan bagi melaksanakan suntikan vaksin Pfzer-BioNTech.

“Sebahagian daripada penghantarannya telahpun dilakukan dan kita berharap untuk menerima lebih banyak penghantaran, sewaktu kita memulakan fasa pertama,” katanya.

Dr Adham dilaporkan sebagai berkata yang MOH memerlukan 12 juta picagari low dead-volume untuk menyuntik 20 peratus daripada populasi atau enam juta penerima program vaksin fasa pertama.

Beliau berkata, picagari jenis itu diperlukan dan sesuai untuk vaksin kerana ia boleh mengelakkan pembaziran dan memaksimumkan jumlah dos vaksin yang diberikan, terutamanya pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan masalah yang dijangkakan kerajaan ketika pelaksanaan program pemvaksinan itu, menteri itu berkata, ia mungkin di bahagian logistik di mana kerajaan mengadakan kempen ke seluruh negara.

“Kita perlu memastikan mengenai logistik terutamanya vaksin Pfizer itu perlu disimpan pada suhu negatif 70 dan 80 darjah Celsius secara berterusan, supaya tidak berlaku pembaziran vaksin tersebut.

“Kami telah membincangkan mengenai pergerakan logistik vaksin itu dengan banyak dan tentunya kami akan memulakkannya pada 21 Februari, apabila vaksin Pfizer tiba di mana ia akan diedarkan ke seluruh negara,” katanya. - Bernama

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dapat kembalikan keyakinan pelabur - MEF

 

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dapat mengembalikan keyakinan pelabur untuk mengekalkan pelaburan berimpak tinggi mereka di Malaysia, menurut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF). 

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan (gambar) berkata susulan itu kadar pelaburan asing dan domestik dalam negara turut dapat ditingkatkan, seterusnya menjana hasil positif untuk ekonomi negara.

“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan diharapkan dapat mengembalikan keyakinan para pengguna dan mula berbelanja untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan pasaran dalam negara,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau berkata majikan dan orang awam perlu memainkan peranan penting dalam memastikan program imunisasi yang akan dilaksanakan kelak berjalan lancar. 

“MEF berharap penduduk di Malaysia termasuk warganegara, warga asing yang berdaftar dan tidak berdaftar serta penduduk suaka politik dapat menerima manfaat melalui program imunisasi ini," katanya. 

Pada Selasa, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada 26 Feb, 2021 sejurus selepas penghantaran pertama vaksin yang dijadualkan tiba pada 21 Feb. 

Program imunisasi ini akan dijalankan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama bermula pada 26 Feb hingga April 2021; fasa kedua mulai April hingga Ogos 2021 manakala fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022. 

Selain itu, Shamsuddin berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac tahun lepas, keadaan perniagaan amat terjejas dan dengan lebih 32,000 perniagaan ditutup serta lebih 100,000 pekerja hilang punca pendapatan. 

Justeru, beliau berharap Majlis Pekerjaan Negara akan dapat menetapkan dasar proaktif yang boleh membantu majikan sektor swasta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. - Bernama 

605 lokasi bakal dijadikan pusat pemberian vaksin 

 Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 605 lokasi untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi membolehkan program vaksinasi itu dilaksanakan, yang dijangka bermula akhir bulan ini.

Menurut Buku Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini, PPV sementara seperti stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai, universiti serta fasiliti bersesuaian, juga akan dibuka mengikut keperluan dan lokasi itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad, sementara pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan mula dilancarkan secara berfasa pada 26 Feb.

Pada masa yang sama, menurut dokumen yang disediakan JKJAV itu, sebanyak 54 lokasi juga akan dijadikan sebagai Pusat Simpanan Vaksin.

“Proses penghantaran dan penyimpanan vaksin di lokasi itu akan melibatkan operasi bersepadu pelbagai agensi kerajaan menerusi KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta pihak berkuasa keselamatan yang lain.

“Setakat ini, KKM berjaya melaksanakan latihan penghantaran vaksin di Klinik Kesihatan Belaga yang merupakan kawasan pedalaman di Sarawak dan Hospital Bintulu pada 29 sehingga 30 Jan lepas, sebagai langkah persiapan rapi sebelum proses imunisasi dilaksanakan,” demikian menurut dokumen tersebut.

Sementara itu, vaksin yang akan diberikan hanya meninggalkan kesan sampingan yang ringan dan bersifat sementara seperti sakit, bengkak atau kemerahan di tempat suntikan, penat, sakit kepala, menggigil, sakit sendi, demam, loya dan bengkak kelenjar limfa.

Buku itu turut menyatakan pemantauan kesan sampingan dan kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) akan dijalankan secara pengawasan diperketatkan, dengan penerima vaksin yang akan diberi notifikasi dan peringatan berjadual melalui aplikasi MySejahtera, bagi melaporkan sebarang masalah dialami.

Pelaporan AEFI juga boleh dibuat oleh petugas kesihatan melalui sistem sedia ada, dan penyiasatan bagi kes yang serius akan dijalankan dengan teliti. Bagi tujuan itu juga, satu jawatankuasa pakar khas turut ditubuhkan bagi menilai kes-kes itu dan isu keselamatan berkaitan vaksin COVID-19.

Program imunisasi itu akan dilaksanakan secara bersepadu melibatkan petugas daripada KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pasukan keselamatan, petugas kesihatan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pendaftaran bagi sukarelawan serta maklumat mengenai program imunisasi, boleh diperoleh menerusi laman sesawang http://vaksincovid.gov.my.

Selain itu, bagi membantu masyarakat untuk mengetahui dan memahami perincian serta maklumat tentang program berkenaan, advokasi dan khidmat sokongan akan dilakukan dengan melibatkan pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam soal ini, PBT berperanan membina keyakinan masyarakat setempat terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin, selain membantu urusan logistik di pusat vaksinasi bergerak mengikut keperluan masyarakat. - Bernama 

Vaksin COVID-19: Agensi kerajaan, NGO, ketua masyarakat digerak galak rakyat daftar

Muhyiddin menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, hari ini.
 - Gambar Bernama 
Muhyiddin menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, hari ini.
 
Turut hadir Khairy (kiri) dan Dr Adham (kanan) - Gambar Bernama 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penglibatan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat akan digerakkan untuk menggalakkan masyarakat mendaftar diri bagi menerima vaksinasi COVID-19.

Beliau berkata turut digerakkan ialah ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk masyarakat Orang Asli.

"Saya yakin dan percaya dengan adanya segala sokongan maka segala usaha kita untuk memerangi wabak COVID-19 akan berjaya dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini dapat berjalan lancar," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku panduan program imunisasi itu, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Mengenai proses mengambil alih sementara aset, fasiliti dan sumber milik swasta di bawah proklamasi darurat, Muhyiddin berkata kerjasama yang diberikan pihak swasta adalah amat baik sekali.

"Mereka bersedia memberikan segala bentuk bantuan dan sokongan, sebagai contoh hospital swasta kesemuanya telah bersedia untuk membantu menyediakan segala kemudahan mereka seperti katil, peralatan, doktor, jururawat dan pegawai perubatan lain.

"Oleh sebab itu, walaupun di bawah proklamasi darurat, peruntukan itu telah disediakan tetapi respons yang agak baik itu tidak memerlukan kita menguatkuasakan apa yang ada dalam ordinan (darurat) itu," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata terdapat protokol di pusat vaksinasi bagi memastikan dos vaksin COVID-19 tidak terbuang begitu sahaja kerana ada negara melaporkan pembaziran setelah penerima tidak muncul atau kekurangan peralatan seperti jarum suntikan.

"Dos berlebihan yang belum digunakan kerana penerima tidak muncul akan diberikan kepada anggota keselamatan dan sukarelawan di pusat vaksinasi supaya tidak berlaku pembaziran," katanya.

Mengulas mengenai isu yang sama, Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan telah menjalankan latihan penghantaran pada 29 Januari untuk memastikan vaksin dapat dihantar dengan selamat ke pusat vaksinasi terutama di daerah terpencil.

Beliau berkata 600 tempat vaksinasi itu akan dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan seperti bekalan elektrik dan peti sejuk suhu ultra rendah (ULTF).

Difahamkan Kabinet telah bersetuju bahawa Kementerian Kesihatan akan menyediakan skim kecederaan vaksin khas yang akan diumumkan kelak.

Singapura telah memperkenalkan program bantuan kewangan kecederaan vaksin untuk vaksinasi COVID-19 dengan pembayaran sekali antara S$10,000 (RM30,000) hingga S$225,000 (RM685,000) diberikan kepada individu yang terjejas teruk atau meninggal dunia akibat pengambilan vaksin COVID-19. - Bernama 

Advertisement