KUALA LUMPUR: Sebanyak 215,395 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama, 482,808 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini adalah 698,203.
Menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata Selangor kekal sebagai negeri tertinggi menerima suntikan dos pertama vaksin iaitu 67,931, diikuti Perak (49,365) dan Sabah (45,185).
Kuala Lumpur pula merekodkan sebanyak 44,499, Sarawak (43,862), Johor (37,494), Pahang (33,588), Pulau Pinang (32,425), Kedah ((29,089), Terengganu (23,887), Negeri Sembilan (23,325), Kelantan (22,149), Melaka (12,906), Perlis (9,840), Putrajaya (4,873) dan Labuan (2,390).
Sementara itu, Sarawak mencatat jumlah individu teramai telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 iaitu 25,236, kemudian Selangor (23,515) dan diikuti Sabah (19,839).
Seterusnya adalah Kuala Lumpur (19,226), Perak (16,669), Pahang (16,550), Johor (16,497), Kelantan (15,234), Kedah (13,650), Terengganu (13,039), Negeri Sembilan (10,539), Pulau Pinang (9,330), Melaka (6,024), Perlis (4,465), Putrajaya (3,295) dan Labuan (2,287).
Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pula adalah 7,501,094 atau 30.92 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,055,553 pendaftaran.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Program akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kurang upaya.
Sementara fasa ketiga yang dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 adalah untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. - Bernama
PUTRAJAYA: Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik, akan bermula 19 April ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, notis janji temu bagi suntikan vaksin akan diberikan mulai 5 April, dua minggu awal sebelum tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS).
Khairy berkata, setakat semalam (28 Mac), kira-kira dua juta individu dalam golongan fasa kedua telah berdaftar menerusi MySejahtera, daripada sasaran sembilan juta orang.
“Sementara menunggu pendaftaran golongan fasa kedua dan bila bekalan vaksin mencukupi, mereka yang telah berdaftar di bawah fasa ketiga, akan didahulukan untuk menerima suntikan vaksin.
“Sekiranya pendaftaran fasa kedua perlahan atau rendah, kita tidak akan tunggu dan proses vaksinasi bagi fasa ketiga akan dipermudahkan,” katanya pada sidang media perkembangan program imunisasi COVID-19, di sini hari ini.
Fasa ketiga membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas dan dijadual berlangsung bermula Mei ini.
Beliau berkata, keputusan mempercepatkan fasa ketiga tidak bermakna yang kerajaan telah berputus asa dengan mereka yang masih belum mendaftar pada fasa kedua.
“Jika mereka yang difasa kedua lewat mendaftarkan diri untuk vaksinasi, terdapat algoritma pada MySejahtera untuk menolak mereka ke atas senarai giliran menunggu untuk menerima suntikan,” kata Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sedang menimbangkan untuk menetapkan tarikh akhir bagi pendaftaran vaksin COVID-19, beliau berkata cadangan itu sedang dalam perbincangan.
“Sekiranya pihak kami mendapati bahawa cadangan tersebut boleh memberi kesan positif kepada jumlah pendaftaran, maka pengumuman mengenai tarikh itu akan dibuat kelak,” katanya.
Setakat ini, katanya seramai 7,235,436 individu telah mendaftar di aplikasi MySejahtera, manakala 580,765 individu telah divaksinkan di bawah program imunisasi itu.
Lima negeri tertinggi bagi pemberian vaksin adalah Selangor yang mendahului dengan 75,317 dos, diikuti Perak 59,305 dos, Sarawak (57,034), Sabah (52,223) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (50,512), katanya.
Khairy berkata Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah mengenal pasti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar, yang akan dibuka di kawasan stadium, perkarangan stadium dan dewan persidangan besar.
“Ia akan diwujudkan terutamanya di bandar besar, kerana kalau kita bergantung kepada fasiliti Kementerian Kesihatan sahaja, memang tidak mencukupi,” katanya dengan memberikan contoh Sunway Pyramid Convention Centre yang akan digunakan sebagai PPV.
Sementara itu Khairy berkata, AstraZeneca akan menghantar jadual penghantaran vaksin mereka minggu ini. - Bernama
REMBAU: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac hari ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menerima suntikan dos pertama vaksin keluaran China tersebut di Hospital Rembau pada 1.30 tengah hari.
Beliau tiba di hospital itu pada kira-kira 1.25 tengah hari dan melalui tiga stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum disuntik dengan vaksin berkenaan oleh Ketua Penyelia Jururawat Hospital Rembau Salha Abd Samad di stesen keempat dan seterusnya diletak di bawah pemerhatian di stesen kelima.
Stesen pertama ialah untuk saringan gejala dan suhu, diikuti stesen kedua untuk pendaftaran bagi mengesahkan kehadiran untuk suntikan vaksin COVID-19 dan stesen ketiga bagi proses konsultasi dan persetujuan imunisasi.
Turut menerima suntikan pertama vaksin Sinovac hari ini ialah 10 petugas barisan hadapan di Negeri Sembilan.
Khairy sebelum ini memaklumkan negara menerima sejumlah 100,000 dos vaksin Sinovac pada Isnin lepas dan bakal menerima jumlah yang sama 22 Mac ini.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua” dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari lepas dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin itu. Beliau menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech. - Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin selesai menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya di Presint 18, di sini hari ini.
Suntikan dos kedua itu dilakukan selepas 21 hari beliau menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan pada 24 Februari lepas.
Muhyiddin tiba di klinik itu kira-kira 3 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera sebelum dibawa ke bilik vaksinasi untuk pendaftaran dan menerima suntikan vaksin berkenaan.
Turut menerima suntikan ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Selepas menerima suntikan, Muhyiddin mengemas kini aplikasi MySejahtera untuk menunjukkan beliau telah melengkapi dos pengambilan vaksin COVID-19.
Beliau kemudian dibawa ke bilik pemantauan untuk menunggu kira-kira 15 hingga 30 minit bagi dipantau sekiranya berlaku reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain.
Selain Muhyiddin dan Dr Noor Hisham, turut menerima suntikan dos kedua hari ini adalah empat petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mereka ialah Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis yang sebelum ini juga menjadi antara penerima terawal vaksin semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan pada 24 Feb lepas.
Dr Tan, 30, Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya manakala Sheilla Mellissa, 31, jururawat di klinik kesihatan tersebut.
Khairul Asraf, 44, bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Putrajaya dan Clement, 36, pemandu di pejabat sama.
Kesemua proses vaksinasi itu dilakukan oleh Ketua Jururawat Kesihatan di PKD Putrajaya Lina Ibrahim dan jururawat di Klinik Kesihatan Presint 9, Mazirah Mokhtar, kedua-duanya pemvaksin yang sama semasa Muhyiddin menerima dos pertama pada 24 Februari.
Sehingga semalam seramai 346, 508 terdiri daripada petugas barisan hadapan telah menerima dos pertama vaksin.
Perdana Menteri dan Dr Noor Hisham sebelum ini menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. - Bernama
PUTRAJAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan pembentangan dan tatacara perolehan vaksin COVID-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata beliau bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah membentangkan maklumat dan perincian lanjut berkenaan perolehan vaksin kepada PAC pada 5 Januari lepas meskipun kerajaan masih terikat dengan 'non-disclosure agreement' atau perjanjian kerahsiaan yang dimeterai bersama syarikat pengeluar vaksin.
Dalam kenyataan balas kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan program imunisasi itu hari ini, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata butiran serta kertas perjanjian juga telah ditunjukkan kepada PAC.
“PAC menerusi kenyataan pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, dari parti DAP telah menyatakan bahawa PAC berpuas hati dengan pembentangan dan tatacara perolehan vaksin COVID-19," katanya serta menambah terdapat juga wakil PKR dalam PAC itu.
Anwar dilaporkan telah membangkitkan beberapa persoalan berkenaan program imunisasi itu antaranya masalah ketelusan dalam mendapatkan vaksin, mengenai RM3 bilion bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin dan parameter yang diguna pakai dalam membuat keputusan bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin.
Mengenai andaian kerajaan tidak memberi perhatian terhadap vaksin Sputnik V dari Rusia, Khairy berkata ia tidak benar memandangkan vaksin Sputnik V sememangnya terdapat dalam potfolio pembelian vaksin COVID-19 negara dan kini sedang dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran.
Bagi persoalan berkenaan penglibatan penyelidik tempatan dalam pembangunan vaksin pula, Khairy berkata kementeriannya (MOSTI) telah membiayai penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin tempatan bagi penyakit COVID-19 menerusi MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF).
Pembiayaan itu diberikan kepada dua kumpulan penyelidik iaitu dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), katanya.
Mengakui Malaysia tidak mempunyai fasiliti lengkap pembuatan vaksin, Khairy berkata: "Justeru, dalam rundingan pembelian vaksin COVID-19 dengan beberapa pembekal, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara pada masa hadapan."
Khairy berkata beliau akan membentangkan maklumat lanjut berkenaan program imunisasi itu pada sesi taklimat kepada Ahli Parlimen tidak lama lagi dan surat jemputan kepada mereka untuk menghadirinya telah dihantar. - Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia akan meneruskan proses penerimaan dan pembelian vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca memandangkan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata Malaysia telah menerima maklumat daripada AstraZeneca berhubung kesan vaksinasi dan setakat ini, tiada data menunjukkan kaitan langsung antara pemberian suntikan vaksin itu dengan kes darah beku yang menyebabkan kematian di beberapa negara.
“Buat masa ini, tidak ada pendirian lain berhubung penerimaan dan pembelian AstraZeneca kerana ia masih kekal (seperti dahulu)," katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini bersama dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beberapa negara seperti Denmark, Norway, Iceland dan Thailand dilaporkan menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan laporan berlaku pembentukan darah beku ke atas beberapa individu selepas menerima suntikan.
Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata pihaknya akan meneliti data klinikal mengenai AstraZeneca serta insiden di luar negara bagi membolehkan pakar membuat rumusan mengenai isu penggunaan vaksin itu.
Dr Adham pula berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) melakukan penelitian rapi terhadap apa jua vaksin COVID-19 yang akan digunakan di Malaysia.
“Kita percaya dengan NPRA dan untuk vaksin AstraZeneca ini, kita lihat terhadap kualiti serta keselamatan vaksin itu sendiri,” katanya.
Vaksin AstraZeneca telah diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lepas.
Khairy turut memaklumkan Malaysia akan menerima tambahan vaksin Pfizer-BioNTech secara berperingkat bagi menjayakan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Beliau berkata proses penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech hari ini melibatkan 83,070 dos dan sebanyak 124,020 dos akan diterima pada 22 Mac manakala 125,190 lagi diterima pada 26 Mac.
“Secara kumulatifnya, Malaysia akan menerima 1,000,350 dos vaksin dan ini melengkapkan penghantaran untuk suku tahun pertama,” katanya sambil menambah sejumlah 100,000 dos vaksin jenis Sinovac juga akan diterima hari ini.
Ditanya mengapa Malaysia membuat perolehan vaksin COVID-19 dalam jumlah yang besar, Khairy berkata langkah itu adalah bagi memudahkan proses mitigasi iaitu mengurangkan risiko kelewatan penghantaran vaksin ke Malaysia.
“Terdapat kemungkinan kita perlu beri ‘booster shot’ iaitu satu lagi dos pada tahun depan sekiranya wabak ini masih ada, (jadi) ada baiknya kita ada stok,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga sedang melihat kemungkinan memberikan vaksin COVID-19 kepada golongan remaja.
Katanya pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca sedang menjalankan ujian klinikal ke atas individu berumur lingkungan 12 hingga 16 tahun.
Khairy juga berpendapat semua vaksin COVID-19 yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sewajarnya diterima oleh semua negara dan disertakan dalam pasport vaksin.
“Kalau kita nak guna kelulusan regulatori masing-masing, susah. Sekurang-kurangnya jika vaksin itu mempunyai kebenaran WHO untuk digunakan semasa kecemasan, maka semua negara patut boleh menerimanya,” katanya.
Beliau berkata Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Eropah (EU) serta beberapa negara lain berhubung isu pasport vaksin.
Khairy berkata demikian ketika ditanya kemungkinan kesukaran rakyat negara ini untuk ke negara di benua itu ekoran laporan mengenai cadangan pasport vaksin EU hanya sah dengan vaksin diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).
Daripada lima dalam portfolio vaksin Malaysia, EU telah mengiktiraf Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca manakala Sputnik V sedang dalam pertimbangan EMA.
Vaksin lain dalam portfolio Malaysia ialah Sinovac dan CanSinoBIO. - Bernama
KUCHING: Lebih sejuta rakyat Sarawak telah mendaftar diri di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sejak dilancarkan bulan lalu.
Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, sejumlah 1,033,643 orang di Sarawak telah mendaftar bagi menerima vaksin yang mana sekarang fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan.
Daripada jumlah itu, jelasnya, 615,208 rakyat Sarawak telah mendaftar di Pejabat-pejabat Residen di seluruh negeri manakala 418,435 orang lagi menerusi aplikasi MySejahtera.
"Seramai 1,033,643 rakyat Sarawak telah mendaftarkan diri untuk menerima vaksin COVID-19 setakat ini, terima kasih kepada anda semua," katanya dalam hantaran di akuan rasmi Facebooknya malam semalam.
Dr Sim yang juga penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, pihaknya mensasarkan untuk melihat sejuta orang lagi mendaftar bagi pelan vaksinasi itu di negeri ini.
Tegasnya, ini bagi memastikan negeri ini mencapai sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus atau dua juta rakyat Sarawak menerima vaksin.
"Setakat ini, vaksin menunjukkan hanya sesuai untuk mereka berusia 18 tahun dan ke atas yang mana 99 peratus rakyat di negeri ini berusia 18 tahun dan ke atas harus diberi vaksin bagi mencapai keimunan kelompok.
"Kita mahu vaksinasi ini dijalankan dengan cepat mungkin dan seramai mungkin bukan hanya untuk menurunkan kes harian kita tetapi juga mencegah mutasi COVID-19 ke varian lain," ujarnya.
Menurut beliau lagi, kerajaan negeri harus meneruskan kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) berhubung akses penghantaran vaksin dan alternatif lain.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sarawak untuk terus kekal berdisiplin dan melakukan tanggungjawab masing-masing bagi bersama-sama memerangi penularan wabak COVID-19 di negeri ini.
KUALA LUMPUR: Seramai 166,363 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah divaksinkan setakat semalam (8 Mac), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata daripada jumlah itu, Sarawak kekal merekodkan jumlah suntikan dos pertama vaksin tertinggi dengan 25,271 individu, diikuti Pahang (15,521); Selangor (15,357) dan Johor seramai 13,746 orang.
“Kuala Lumpur seramai 13,681 individu; Sabah (13,474); Kelantan (13,149); Perak (12,952); Kedah (9,358); Terengganu (9,081); Pulau Pinang (6,487); dan Negeri Sembilan (5,981).
"Sementara di Melaka seramai 4,411 orang; Perlis (3,062); Putrajaya (2,573) dan Labuan seramai 2,259 individu telah divaksin,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik di Twitternya, hari ini.
Pada 24 Februari lepas, PICK dilancarkan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Noor Hisham menjadi antara individu pertama menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19, jenis Pfizer-BioNTech. - Bernama
SETELAH lebih setahun berperang dengan wabak COVID-19, akhirnya vaksin yang menjadi sinar harapan dalam menangani pandemik itu akhirnya tiba di bumi Malaysia pada 21 Februari lepas.
Tanggal 24 Februari pula menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya.
Antara yang turut terawal menerima vaksinasi ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Di samping rakyat Malaysia yang gembira dengan Program tersebut, kebanyakan pemain industri juga turut menarik nafas lega kerana mereka yakin ianya dapat memulihkan ekonomi negara ini dan seterusnya mampu mengembalikan kehidupan seperti sediakala.
Malaysia memperoleh 66.7 juta dos vaksin COVID-19 melalui Fasiliti COVAX daripada lima pengeluar. Vaksin berkenaan ialah Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.
Semua yang layak menerima vaksinasi digalakkan untuk mendaftar dan harapan ini turut disuarakan oleh Perdana Menteri sendiri kerana ia penting untuk memastikan Malaysia mencapai sasaran membentuk imuniti berkelompok.
Namun, berdasarkan data kajian 'COVID-19 World Symptom Survey' yang dikendali Facebook dan University of Maryland, Amerika Syarikat, kadar responden dari Malaysia yang sanggup divaksinasi adalah 74.39 peratus setakat 6 Feb lalu.
Kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia pula dilihat masih ragu-ragu dan berpendirian atas pagar sama ada untuk menerima atau menolak suntikan vaksin COVID-19.
UJIAN KLINIKAL SEBELUM KELULUSAN VAKSIN
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata kegusaran dalam kalangan masyarakat perlu ditangani segera dengan memberi maklumat secara berterusan supaya dapat memupuk pemahaman mengenai kepentingan vaksin COVID-10.
Menurut beliau, kerajaan sudah menyediakan pelbagai platform untuk mendidik dan memberi maklumat sahih kepada orang ramai tentang vaksin bagi menyakinkan mereka bahawa ia selamat dan tidak memudaratkan kesihatan mereka.
"Buku panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, portal-portal rasmi serta maklumat daripada kementerian dan agensi berkaitan merupakan platform terbaik untuk rujukan tentang vaksin," katanya ketika menjadi panel Program Webinar 'Mengapa, Kenapa dan Keperluan Vaksinasi COVID-19', baru-baru ini.
Beliau menambah, faktor lain yang menjadi kegusaran rakyat ketika ini ialah aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanannya, selain status halal terhadap vaksin itu.
"Namun, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) menjalankan ujian serta penyelidikan dengan rapi, sebelum memberi kelulusan, begitu juga dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah mengesahkan vaksin adalah halal.
"Keberkesanan setiap jenama vaksin adalah berbeza dan masing-masing mempunyai kelebihan dan keunikan bagi kegunaan dalam keadaan tertentu. Semmuanya perlu didaftarkan di bawah NPRA terlebih dahulu.
"Tidak semudah itu NPRA menerima apa-apa vaksin masuk ke dalam negara, walaupun vaksin sudah diluluskan oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom, namun apabila mahu masuk ke Malaysia, ia tidak semestinya akan diluluskan serta-merta tanpa menjalankan penyelidikan terlebih dahulu," tegasnya.
Pakar Ortopedik, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Dr Muhamad Aizat Mohamed Saat pula berkata, bukan semua penerima vaksin akan menunjukkan kesan sampingan dan jika ada pun, ia adalah minimum.
"Mereka tidak perlu risau kerana selepas menerima vaksin, setiap penerima akan dipantau rapi menerusi aplikasi MySejahtera dan kerajaan turut menubuhkan satu jawatankuasa pakar khas yang bertanggungjawab meneliti kesan sampingan selepas divaksin.
"Namun demikian, jika mereka mempunyai sebarang alahan terhadap vaksin ataupun sedang dalam 'medication', mereka disarankan untuk merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum mendapatkan vaksin," katanya.
Beliau menambah, kesan sampingan yang dialami ini adalah seperti tanda-tanda seseorang mendapat jangkitan selesema. Namun, ia akan menghilang dalam tempoh beberapa hari selepas disuntik dan ia hanyalah kesan sampingan yang bersifat ringan.
"Sebenarnya, kesan sampingan yang dialami ini adalah tanda bahawa tubuh badan anda sedang bertindak balas selepas menerima suntikan vaksin dan menunjukkan bahawa sistem imun anda berfungsi dengan baik," katanya.
Menurut Dr Muhammad Aizat, bagi penghidap penyakit tidak menular (NCD) seperti kencing manis dan darah tinggi, mereka juga tidak perlu risau terhadap kandungan vaksin yang mungkin menjejaskan kandungan gula dalam darah dan tekanan darah.
"Kandungan gula dan garam dalam vaksin itu sangatlah minimum dan ia adalah perlu dalam vaksin bagi mengekalkan kandungan dalam vaksin tersebut, ia tidak akan meningkatkan kandungan gula dan garam dalam tekanan darah mereka apabila divaksinasi," jelasnya.
PEMANTAUAN RAPI TERHADAP GOLONGAN BERISIKO TINGGI
Pengerusi Pusat Dialisis Lestari, Koperasi Warga USM Kelantan Berhad, Prof. Madya Dr Mohamed Saat Ismail berkata memandangkan pesakit mereka adalah golongan berisiko tinggi, pihaknya akan memastikan mereka mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum mendapatkan vaksin.
"Pemantauan rapi harus dilakukan sekiranya mereka dibenarkan untuk mendapatkan vaksin kerana pada masa yang sama mereka juga turut mengambil ubat-ubatan dan menjalankan rawatan dialisis, selain kesan-kesan sampingan selepas vaksin.
"Selain itu, kami juga turut akan memberi penerangan tentang kepentingan vaksin COVID-19 bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko itu," katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Homage (care service provider for elderly), PC Gan berkata, pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan terutamanya kepada warga emas yang berada di rumah.
Menurut beliau, bukan semua warga emas yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi COVID-19 mempunyai gajet untuk membantu pemantauan rapi selepas mereka menerima vaksin.
Justeru, penjaga turut memainkan peranan penting dalam membantu memantau keadaan mereka seperti reaksi kepada vaksin berkenaan serta gejala selepas vaksinasi.
Beliau berkata, 'Home Nurse' serta penjaga perlu mengetahui langkah yang perlu diambil jika warga emas yang diberi 'lampu hijau' oleh doktor yang merawat mereka untuk mengambil vaksin, menunjukkan gejala selepas vaksinasi.
"Dalam aplikasi 'MySejahtera', seboleh-bolehnya wujudkan platform untuk 'home nurse' dan penjaga untuk mengemaskini maklumat warga emas yang telah divaksin bagi memudahkan KKM memperolehi data dan memberikan bantuan perubatan sekiranya menunjukkan gejala," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa, tidak dapat dinafikan ada juga dalam kalangan warga emas yang risau terhadap kesan sampingan vaksin itu.
Oleh yang demikian, katanya, penjaga juga bertanggungjawab untuk mendidik mereka terhadap kesedaran pengambilan vaksin dengan menunjukkan testimonial dan maklum balas positif dari negara yang telah menerima vaksin.
RUANGAN SISI
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilaksanakan secara berperingkat terbahagi kepada tiga fasa, dan akan memberi manfaat kepada 80 peratus atau 26.5 juta rakyat Malaysia di mana vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma.
Fasa pertama (Februari-April 2021) melibatkan Kumpulan utama 1, petugas barisan hadapan, merangkumi pertugas kesihatan kerajaan dan swasta; dan Kumpulan utama 2, petugas barisan hadapan yang merangkumi perkhidmatan penting dan pertahanan. Kedua-dua kumpulan ini melibatkan anggaran 500,000 orang.
Fasa kedua (April hingga Ogos 2021) pula dibahagi kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan utama 1 melibatkan baki kakitangan penjaga kesihatan serta perkhidmatan penting dan pertahanan; Kumpulan utama 2 terdiri daripada warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi dan orang kelainan upaya (OKU). Kumpulan ini melibatkan sekitar 9.4 juta orang.
Fasa ketiga (Mei 2021 hingga Februari 2022) melibatkan penduduk berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara). Keutamaan diberikan kepada zon merah, zon kuning dan kemudian zon hijau. Anggaran sasaran 13.7 juta orang/lebih.
KUALA LUMPUR: Hospital swasta seperti Hospital Pantai telah digunakan sebagai pusat vaksinasi bagi petugas kesihatan swasta untuk Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Khairy, yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata kerajaan akan memasukkan lebih banyak hospital swasta bagi Fasa 2 dan 3 seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Usaha giat akan dilakukan untuk memberi 75,000 ke 150,000 suntikan sehari untuk fasa seterusnya,” katanya dalam ciapan menerusi akaun Twitter hari ini.
Beliau mengulas ciapan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menyarankan kerajaan untuk membabitkan sektor swasta dalam 'Kerjasama Awam-Swasta’ yang berkesan dan telus untuk pemberian vaksin COVID-19, jika kapasiti hospital awam tidak mencukupi.
Dr Dzulkefly berkata ia untuk memastikan kejayaan program imunisasi dan mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok dengan lebih cepat.
Malaysia memulakan PICK pada 24 Februari lepas melalui tiga fasa bermula dengan Fasa 1 dari Februari hingga April ini melibatkan 500,000 petugas barisan hadapan.
Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berusia 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU) melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Feb 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang. - Bernama