Anda di sini

darurat

Advertisement

Darurat: Tanggungjawab Ahli Parlimen tidak berubah - Azhar

 

KUALA LUMPUR: Kedudukan dan tanggungjawab semua ahli Parlimen sebagai wakil rakyat tidak berubah serta berterusan dalam tempoh Proklamasi Darurat, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun (gambar). 

Azhar berkata ini kerana penggantungan sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan bermakna kedua-duanya dibubarkan. 

"… hanya proses perundangan Dewan Rakyat tidak dapat dilaksanakan sepanjang tempoh darurat. 

"Oleh yang demikian, semua aktiviti apa-apa Kaukus atau Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia serta semua Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditubuhkan masih boleh diteruskan, kecuali aktiviti tersebut dikekang oleh apa-apa ordinan yang bakal digubal oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa-kuasa baginda dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Beliau berkata Parlimen Malaysia akan menunggu Ordinan Darurat yang akan digubal oleh Yang di-Pertuan Agong. - Bernama  

Badan kehakiman terus berfungsi sepanjang tempoh darurat - PM

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

"Badan kehakiman akan terus menjadi mercu keadilan di negara kita dan saya tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah," katanya dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata dalam tempoh berkenaan juga, kuasa eksekutif Persekutuan akan meliputi perkara dalam kuasa perundangan negeri kecuali bagi hukum syarak dan adat Melayu, undang-undang atau adat anak negeri di Sabah dan Sarawak, agama, kewarganegaraan serta bahasa iaitu selaras dengan Fasal 6A Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata kerajaan juga komited untuk memastikan amalan tadbir urus terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat ini.

Sementara itu, perdana menteri berkata kuasa-kuasa perlu di bawah Ordinan Darurat juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan bagi tempoh pandemik ini.

"Suatu ordinan boleh dimasyhurkan untuk memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain kuasa yang sedia ada, mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau undang-undang penguatkuasaan lain berkaitan," katanya.

 Beliau berkata ATM juga akan diperuntukkan kuasa untuk membantu melaksanakan fungsi berhubung dengan kesihatan awam dan pegawai awam yang berkaitan semasa pandemik COVID-19 ini.

Selaras dengan Proklamasi Darurat itu, beliau berkata aspek kawalan sempadan negara juga akan diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap pendatang tanpa izin dan sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan negara. - Bernama 

PM Muhyiddin rayu rakyat kekal tenang, beri kepercayaan kepada kerajaan

Kelihatan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka di tempat awam ketika tinjauan di ibu kota hari ini. - Gambar Bernama
Kelihatan orang ramai mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka di tempat awam ketika tinjauan di ibu kota hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu rakyat Malaysia agar kekal tenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada kerajaan untuk membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.

Beliau turut menyeru semua ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan agama, belia, mahasiswa dan setiap lapisan masyarakat supaya bersatu dan berganding bahu dalam menghadapi situasi yang amat sukar ini.

"Yang penting, matlamat kita hanyalah satu, iaitu kita mesti menang dalam memerangi COVID-19. Marilah kita mengamalkan disiplin kendiri dengan lebih ketat sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan darurat yang berkuat kuasa ini.

"Mudah-mudahan kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 dengan segera dan seterusnya mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan negara kita yang sedang terbeban dengan peningkatan kes positif COVID-19 saban hari,” katanya dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Muhyiddin juga memberi amaran, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang cuba mengganggu-gugat usaha kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Mewakili pihak kerajaan, beliau menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memperkenankan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani pandemik itu dengan lebih berkesan. - Bernama 

Darurat: Sebarang bentuk pilihan raya tidak akan diadakan - Muhyiddin

Orang awam mendengar Pengumuman Khas Darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melalui peranti digital. - Bernama
Orang awam mendengar perutusan khas darurat oleh Muhyiddin hari ini melalui peranti digital. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata beliau tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya, namun perkara utama yang menghalang beliau daripada menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk pilihan raya diadakan ialah pandemik COVID-19. 

"Keputusan ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa. Dalam konteks ini adalah menjadi kewajiban saya sebagai ketua kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara daripada jangkitan COVID-19.

"Ini adalah kemaslahan paling utama yang dituntut agama Islam," katanya dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini. 

Bagaimanapun, Muhyiddin memberi komitmen tegas bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya selamat untuk diadakan. 

"Dalam keadaan biasa, pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi disytiharkan kosong, pilihan raya negeri juga mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan

"Sedangkan kita tahu rakyat pada masa ini tidak mahu pilihan raya diadakan untuk mengelakkan wabak COVID-19 merebak seperti PRN Sabah baru-baru ini ," katanya. 

Muhyiddin berkata selepas Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan kelak memperakukan bahawa pilihan raya telah selamat diadakan, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak mentadbir negara dan menjaga kebajikan rakyat.

"Ini adalah komitmen dan aku janji yang akan saya tunaikan, insya-Allah," katanya. 

Menurutnya, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat.

"Bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin juga berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan darurat, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia. - Bernama 

Darurat bukan rampasan kuasa tentera, kerajaan awam berfungsi seperti biasa

Muhyiddin ketika perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini. - Gambar Bernama
Muhyiddin ketika perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Pengisytiharan Proklamasi Darurat bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, malah sepanjang tempoh itu kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa termasuk dalam membendung penularan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri berkata perintah berkurung tidak akan dilaksanakan sepanjang tempoh darurat dan jentera pentadbiran serta perkhidmatan awam kerajaan persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan perisytiharan darurat ini.

“Dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan awam akan terus berfungsi. Pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong bukanlah rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung tidak  akan dilaksanakan,“ katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Jemaah Menteri dalam nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berpendapat bahawa darurat seluruh negara perlu diisytiharkan memandangkan kes jangkitan semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat. 

“Kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan rakyat tidak lumpuh.

“Ordinan Darurat diisytiharkan bagi meningkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam ketika negara berdepan dengan penularan pandemik COVID19.

"Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh darurat ini, jika Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa.  

“Dalam konteks ini, beberapa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan membendung wabak COVID-19 yang merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19,” katanya.

Muhyiddin berkata, sehubungan itu, kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan yang lebih inklusif daripada pihak swasta  termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban ditanggung terutamanya hospital awam.

Tegasnya, menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti.  

Perdana Menteri berkata suatu ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan akta ini dalam membendung penularan COVID-19.

“Ini termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak COVID-19,” katanya.

Muhyiddin berkata untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan menerusi kuasa ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan proklamasi lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan. - Bernama 

Kronologi darurat di Malaysia

 

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Ia merupakan darurat yang kesembilan pernah diisytiharkan dalam sejarah negara ini.

Pakar Perlembagaan Persekutuan Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150(1) jika darurat besar kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya telah wujud.

Di bawah Perkara 150 (2), Yang di-Pertuan Agong juga boleh membuat proklamasi darurat sekiranya baginda berpuas hati ancaman darurat besar, atas sebab keselamatan negara, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam hampir berlaku.

“Terdapat tiga asas atau alasan boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membuat pengisytiharan darurat iaitu, ancaman ke atas keselamatan negara, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata sekiranya proklamasi dibuat semasa Majlis Parlimen tidak bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan undang-undang, yang dinamakan Ordinan, sekiranya Baginda berpuas hati hal atau keadaan tertentu, menyebabkan perlu bagi baginda mengambil tindakan serta merta.

Bagaimanapun kuasa berkenaan tertakluk pada Perkara 150 (6A) iaitu tidak boleh memperluas kuasa Parlimen berkaitan dengan hukum syarak, adat Melayu, adat-adat anak Negeri, serta tidak bercanggah dengan peruntukan sedia ada agama, warganegara dan bahasa.

Berikut adalah kronologi pengisytiharan darurat:

Darurat Tanah Melayu (1948-1960)

Darurat Tanah Melayu telah diisytiharkan British di Malaya (Semenanjung Malaysia) dari tahun 1948 hingga 1960 bagi menangani pemberontakan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1964)

Konfrontasi Indonesia-Malaysia merupakan konflik yang berlaku akibat penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia.

Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan darurat apabila tentera Indonesia menceroboh masuk ke sempadan Malaysia.

Sarawak (1966)

Kerajaan mengisytiharkan proklamasi Darurat di Sarawak pada 14 Sept 1966, susulan krisis politik melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Ketua Menteri Sarawak pertama Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

Rusuhan Kaum 13 Mei (1969)

Peristiwa 13 Mei merupakan insiden rusuhan kaum pada tahun 1969 susulan pilihan raya umum Malaysia pada tahun itu.

Parlimen telah digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di dalam negara.

Kelantan (1977)

Darurat telah diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Yahya Petra yang juga Sultan Kelantan ketika itu pada 8 Nov 1977.

Pengisytiharan itu dibuat susulan krisis politik melibatkan Menteri Besar Kelantan Datuk Muhammad Nasir.

Jerebu (1997, 2005, 2013)

Selain darurat yang berpunca daripada isu politik dan konflik antara kaum, darurat jerebu juga pernah diisytihar pada 1997 (Sarawak), 2005 (Klang) dan 2013 (Muar dan Ledang).

Darurat itu dilaksanakan susulan pencemaran udara yang berbahaya dan tidak sihat.

Darurat Parlimen Batu Sapi (2020)

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi pada 18 Nov 2020.

Pengisytiharan itu sekali gus membatalkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat penularan pandemik COVID-19.

Darurat Parlimen Gerik dan DUN Bugaya (2020)

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah pada 16 Dis 2020.

Ia sekali gus membatalkan dan menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) dua kerusi berkenaan yang dijadualkan serentak pada 16 Jan 2021.

Pengisytiharan Proklamasi Darurat (2021)

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos, sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

-- Bernama

Agong isytihar darurat bendung COVID-19 di Malaysia

 

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya.

Ahmad Fadil berkata perkenan itu telah mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berhubung cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat ketika menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 5.30 petang semalam (11 Jan) untuk membendung dan melandaikan kes positif COVID-19 harian yang kini mencecah empat angka.

Beliau berkata Seri Paduka memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata perkenan Al-Sultan Abdullah berkenaan turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang dipersembahkan semasa sesi taklimat itu. 

Menurut statistik, 15 hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 70 peratus dengan di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh (83 peratus).

Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula melebihi 70 peratus.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri masih mengharungi bencana banjir.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan COVID-19 di negara ini. Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ia akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara,” katanya.

Setakat semalam, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia adalah 28,554 kes menjadi jumlah kes positif  sebanyak 138,224. Sebanyak 2,232 kes baharu dilaporkan semalam.  

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi keselamatan dan kepentingan bersama. 

Semalam perdana menteri mengumumkan penguatkuasaan PKP di enam negeri - Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, selama 14 hari bermula 13 Januari.

Pada masa sama, enam negeri lagi - Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak.

Al-Sultan Abdullah menitahkan rakyat supaya berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan semua perintah ditetapkan kerajaan dan agensi yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan PKP.

“Seri Paduka menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat jitu dan kerjasama rakyat jelata seperti yang telah dipamerkan semasa pelaksanaan PKP pada tahun lepas, kita mampu sekali lagi membendung penularan wabak COVID-19 dengan berkesan,” menurut Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya vaksin COVID-19 yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Seri Paduka menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan yang bersabung nyawa dan bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah serta masa dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak COVID-19.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat untuk bersama-sama Seri Paduka mendoakan semoga Malaysia sentiasa dilindungi daripada segala bentuk ancaman dan wabak COVID-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Yang di-Pertuan Agong turut mengajak seluruh rakyat mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan. - Bernama 

Advertisement