Anda di sini

Penyakit Parkinson

Advertisement

Kehidupan lebih berkualiti untuk pesakit Parkinson

Gambar hiasan
Gambar hiasan

DENGAN usia yang sudah menjangkau 64 tahun, K.H. Wong sentiasa mengamalkan gaya hidup yang aktif dan beranggapan beliau sentiasa dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun, kira-kira empat tahun lalu, sewaktu menyertai trek ke Kem Pangkalan Annapurna di Nepal, Wong yang sememangnya kaki hiking mendapati cara beliau berjalan agak ganjil kerana seakan mengheret kaki kirinya.

“Bila saya dapati isteri saya (yang turut bersama beliau) berjalan lebih pantas daripada saya, saya sudah jangka ada yang tak kena dengan diri saya,” kongsi Wong, seorang pesara perniagaan dan kini tinggal di Petaling Jaya.

Sekembalinya dari ekspedisi itu, beliau berjumpa doktor yang memberitahu bahawa simptom yang dialaminya - di samping mengheret kaki kiri, Wong juga tidak dapat menghayun tangan kirinya seluas tangan kanannya - menunjukkan tanda awal Penyakit Parkinson (PD).

"Pada mulanya, saya tak terima apa yang doktor cakap. Saya percaya saya sihat, aktif dan tak ada penyakit kronik, jadi macam mana dapat Penyakit Parkinson,” katanya.

Ini pula kisah Alice Low, 80, yang tinggal di Subang Jaya. Wanita ini pernah menjalani kehidupan yang aktif dan sebelum ini membantu suaminya menguruskan sebuah pub di Petaling Jaya selama 10 tahun. Lebih empat tahun lalu, sesuatu berlaku yang mengubah kehidupannya. Ketika sedang memandu, beliau berasa tangannya menggigil dan menyebabkan roda stereng bergegar.

Low tahu apa yang dialaminya bukan petanda yang baik. Dia berjumpa doktor dan kemudian, pakar neurologi yang mengesahkan apa yang ditakutinya - dia menghidap PD.

Seorang lagi pesakit PD ialah James Kwan, 62, dari Petaling Jaya. Beliau bersara daripada jawatan sebagai pengarah urusan syarikat pengiklanan dua tahun lalu.

Beliau juga mengalami masalah dengan kaki kirinya apabila terpaksa mengheret kakinya itu ketika berjalan.

Kwan berjumpa dengan pakar neurologi yang mengesahkan beliau mengalami PD peringkat awal, selepas menjalami pelbagai ujian untuk menyingkirkan gangguan neurologi yang lain.

TERAPI SENAMAN

Penyakit Parkinson (PD) adalah gangguan neurodegeneratif yang boleh menyebabkan tremor (menggigil pada tangan, lengan, kaki, rahang dan muka); stiffness (kekakuan atau pun kejang pada anggota dan belakang); slowness (pergerakan yang perlahan) dan ketidakstabilan postur (kemerosotan keseimbangan dan koordinasi badan).

Secara mudah, PD berlaku apabila sel saraf atau neuron di kawasan otak yang mengawal pergerakan mengalami kemerosotan dan/atau mati. Lazimnya neuron menghasilkan kimia otak yang penting dikenali sebagai dopamin dan apabila neuron mati atau merosot, ia menghasilkan dopamin yang sedikit, yang menyebabkan masalah pergerakan, dikaitkan dengan PD.

Wong, Low dan Kwan mempunyai PD tetapi mereka berkongsi satu perkara yang sama iaitu sikap positif untuk menangani gangguan otak yang boleh menjadi lebih teruk.

Ketiga-tiga mereka kini bukan sahaja perlu menerima hakikat menghidap PD tetapi melakukan sesuatu untuk memperlahankan kesan penyakit itu agar mereka boleh menikmati kehidupan yang ceria.

Dua kali seminggu, mereka akan berjumpa di sebuah gimnasium kecil dipanggil Kupuna Community Fitness – terutamanya untuk warga emas, terletak di Pusat Perniagaan Taipan di USJ10. Di gimnasium ini, mereka menyertai sesi senaman secara berkumpulan dibuat sesuai untuk mereka yang mengalami PD.

Rutin senaman terdiri daripada senaman asas untuk meningkatkan pergerakan dan memperlahankan kemerosotan otot. Bagi mereka yang menghidap PD, jisim otot berkurangan pada kadar yang lebih cepat berbanding warga emas normal.

Menurut jurulatih mereka, Yvonne Thomas, yang berkhidmat sebagai jurulatih peribadi dan kecergasan sejak 2008, latihan berfungsi yang tetap juga memperbaiki ketidakseimbangan otot, yang jika dibiarkan, boleh memburukkan imbangan pesakit PD.

Yvonne, 58, dan suaminya, Eric Lim, 60, yang menubuhkan Kupuna Community Fitness pada tahun 2016, tidak mendakwa mereka pakar dalam PD tetapi Yvonne begitu bersungguh-sungguh mahu membantu mereka yang mempunyai keperluan khas.

“Sebagai jurulatih kecergasan, saya banyak menumpukan masa dan usaha untuk menganjurkan sesi latihan untuk mereka yang menghidap PD supaya mereka melakukan senaman dalam keadaan ceria, dan dapat meningkatkan muru kehidupan mereka, “ kata Yvonne. Sesi senaman beliau berdasarkan program PD Amerika atau Britain.  

KEHIDUPAN LEBIH BERKUALITI

Yvonne mempunyai lima orang yang menghidap PD menyertai program latihannya yang dibuat pada setiap Rabu dan Jumaat. Beliau hanya mengenakan yuran bulanan sebanyak RM159 seorang.

Menurut Wong yang secara tetap mengikuti sesi latihan tersebut sejak setahun lalu, pergerakannya semakin baik dan beliau mampu bermain badminton, golf dan pingpong serta berenang.

Malahan beliau juga mendaki Bukit Gasing di Petaling Jaya sebanyak dua atau tiga kali seminggu "meskipun saya tidak sepantas sebelum ini. Kegiatan fizikal menjadikan saya bermotivasi, sekiranya tidak, saya akan menjadi murung mengenangkan penyakit saya."

Selepas Low didiagnos dengan PD, beliau menjadi murung selama setahun dan pada tahun 2017, anak perempuannya memperkenalkannya kepada Yvonne. 

Low, yang juga seorang tukang masak yang hebat mempunyai saluran memasaknya sendiri di YouTube dikenali sebagai Grandma Alice’s Kitchen, yang dimulakan pada awal tahun ini.

Pergerakan fizikalnya juga semakin baik, malahan beliau kini boleh memanjat tangga untuk ke pusat Kupuna Community Fitness, tanpa perlu dibantu - sesuatu yang beliau tidak dapat lakukan sebelum menyertai program latihan tersebut.

“Saya menjadi semakin gembira, emosi saya juga semakin baik," katanya, sambil menambah, beliau sentiasa menunggu tiba harinya untuk ke sesi latihan berkumpulan di gim berkenaan.

Pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila gim ditutup, pergerakan Low mula menjadi perlahan kerana kurang senaman tetapi beliau semakin pulih apabila gim dibuka semula sekitar Jun lepas.

Menurut Yvonne: “Ada perbezaan apabila mereka secara konsisten melakukan senaman. Pergerakan menjadi terhad apabila mereka tidak bersenam secara kerap."

Kwan, yang juga menyertai program senaman di gim itu sejak setahun lalu berkata, beliau berasa lega apabila beliau mendapat tahu tentang Kuppuna Community Fitness yang menyediakan kemudahan untuk mereka yang mempunyai keperluan khas.

“Orang seperti saya terpaksa menerima hakikat keadaan kami akan bertambah teruk setiap masa yang berlalu. Doktor saya menyuruh saya menjalani kehidupan saya sebaik mungkin dan saya tahu kalau duduk sahaja tak buat apa-apa, tidak akan membantu saya. Bersenam dapat membantu pergerakan saya. Hidup saya lebih ceria, " katanya.

TINGKATKAN KEYAKINAN

Menjelaskan lebih lanjut latihan berfungsi untuk mereka yang menghidap PD, Yvonne berkata ia melibatkan prgram rejimen asas yang memperbaiki kekuatan serta kemahiran otot motor, termasuk otot tangan, kaki dan muka yang terjejas akibat bradikinesia atau pergerakan yang perlahan.

“Otot menjadi kurang tegar dengan senaman yang konsisten. Semua pergerakan untuk mereka yang mempunyai PD  diperluaskan termasuk untuk senaman otot muka untuk memperlahankan kesan seperti yang dapat dilihat pada kes PD, " katanya.

Beliau mengesyorkan senaman selama sejam untuk tiga hingga lima kali seminggu untuk mereka yang mempunyai PD supaya otot mereka lebih kuat dan fleksibel serta memperlahankan ketidakseimbangan postur, kekakuan dan terpaksa mengheret kaki."

Selain daripada kesan fizikal senaman, satu lagi manfaat mereka yang menghidap penyakit yang menimbulkan kelemahan seperti PD ialah meningkatkan keyakinan dan harga diri, serta peluang untuk berinteraksi dengan orang lain yang mengalami keadaan yang sama.

“Senaman berkumpulan yang berasaskan komuniti terutamanya penting untuk mereka kerana senaman merangsang pengeluaran hormon yang dapat menyekat berlakunya kemurungan memandangkan PD boleh menyebabkan kemurungan, " katanya.

Senaman yang kerap juga merangsang pengeluaran "hormon kegembiraan" iaitu dopamin, yang bertanggungjawab untuk pergerakan serta koordinasi motor neuro anggota badan.

Penghasilan dopamin merosot dengan cepat bagi mereka yang menghidap PD dan sebab itulah senaman amat penting untuk meningkatkan paras dopamin dan mengelakkan penyakit itu daripada menjadi teruk dengan cepat.

Menurut Yvonne, buat masa ini, kegiatan untuk kesihatan yang melibatkan komuniti masih kurang dan apa yang berlaku, mereka yang mempunyai penyakit dinasihatkan tinggal di rumah dan menunggu ahli terapi datang untuk menguruskan mereka.

"Kita perlukan lebih banyak sesi latihan secara komuniti untuk mereka yang berdepan dengan stigma sosial dan disisihkan daripada program senaman kerana keadaan kesihatan mereka, " katanya, sambil menambah, beliau dan suaminya merancang untuk membuka pusat kecergasan untuk membantu mereka yang mempunyai keperluan khas. - Bernama 

  • oleh
  • Advertisement