Anda di sini

kebakaran rumah panjang

Advertisement

Rumah panjang ranap terbakar di Belaga, 24 keluarga hilang tempat berteduh

Api sedang marak memusnahkan rumah panjang Uma Lesong pagi Sabtu.

BELAGA: Kira-kira 24 keluarga di Uma Lesong di Sungai Batu Keling, Empangan Bakun hilang tempat berteduh apabila rumah panjang berkenaan musnah dalam kebakaran sekitar 10 pagi pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Christus Buson berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3 petang sebelum bergerak ke lokasi yang terletak tujuh jam perjalanan dari bandar Bintulu dengan menggunakan Jalan Bintulu-Bakun.

Pasukan itu katanya yang diketuai beliau selaku komander operasi bersama tiga lagi pegawainya telah bergerak ke lokasi kejadian dan bermalam berhampiran Empangan Bakun.

"Pasukan bomba akan meneruskan perjalanan ke lokasi kejadian keesokan hari (hari ini) dengan menggunakan bot Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) yang mengambil masa tiga jam perjalanan menyusuri penempatan terbabit yang terletak di hulu Sungai Baloi," ujarnya ketika dihubungi.

Jelasnya, kesemua mangsa yang seramai 150 penduduk kini menetap di khemah sementara yang didirikan sementara menunggu bantuan susulan tiba.

Menurutnya, tidak ada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kita turut difahamkan bahawa api meranapkan keseluruhan struktur bangunan rumah panjang selama empat jam yang mana api terkawal sepenuhnya pada jam 2 petang," jelas beliau.

Uma Lesong secara amnya terletak 308 kilometer dari bandar Bintulu yang mana mengambil masa tujuh jam perjalanan dengan menggunakan Jalan Bintulu-Bakun dan disambung semula dengan menyusuri Empangan Bakun menuju ku Hulu Sungai Baloi.

  • oleh
  • Dua rumah panjang terbakar di Pasai Siong Tengah

    Api marak memusnahkan rumah panjang berkenaan.
    Api marak memusnahkan rumah panjang berkenaan.

    SIBU: Dua blok rumah panjang terbakar dalam kejadian kebakaran di Rumah Jelian Nayor dan Rumah Douglas Langi, Pasai Siong Tengah, dekat sini, hari ini. 

    Kebakaran itu dikatakan bermula dari Rumah Jelian yang mempunyai 28 buah pintu dan merebak ke Rumah Langi (21 pintu) yang terletak bersebelahan.

    Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima laporan kebakaran rumah panjang lebih 40 pintu pada jam 1.54 tengah hari.

    Bomba memadamkan sisa kebakaran rumah panjang, hari ini.
    Bomba memadamkan sisa kebakaran rumah panjang, hari ini.

    Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah diketuai Suna Kaha dikerahkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran di lokasi yang terletak kira-kira 25 minit dari balai.

    Pasukan itu turut dibantu anggota dari BBP Sibu yang diketuai Shahrulnizam Waillie.

    "Kebakaran telah menyebabkan 48 pintu terbakar manakala sebuah lagi terselamat. Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah 80 peratus," katanya. 

    Katanya, kebakaran itu turut menjejaskan 15 buah motosikal, tiga buah kereta, sebuah lori tiga tan, dan sebuah van.

    "Kebakaran terkawal pada jam 3.15 petang," katanya sambil menambah, pihak bomba menjalankan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan sisa kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

    Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.

    Difahamkan, Rumah Jelian mempunyai 260 penghuni manakala jumlah penghuni Rumah Langi belum dapat dipastikan. 

  • oleh
  • Rumah panjang terbakar, 180 penghuni hilang tempat berteduh di Engkilili

    KUCHING: Sebuah rumah panjang 18 pintu yang didiami kira-kira 180 penghuni musnah dalam kebakaran di Rumah Naga Tagee, Rasau di Engkilili, Sri Aman hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi selepas menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.13 petang.

    Bomba giat memadamkan kebakaran rumah panjang di Rasau, hari ini. - Gambar ihsan JBPM
    Bomba giat memadamkan kebakaran rumah panjang di Rasau, hari ini. - Gambar ihsan JBPM

    Tambahnya, beberapa anggota dari BBP Betong dan Pasukan Bomba Sukarela Engkelili turut dikejarkan bagi memberi bantuan. 

    "Setibanya bomba di lokasi, kebakaran telah pun memusnahkan 100 peratus bahagian ruai dan ruang tamu rumah panjang berkenaan, manakala bahagian dapur dapat diselamatkan apabila terdapat ruang pemisah antara dapur dan ruang tamu yang terbakar," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

    Sehingga berita ini ditulis, difahamkan kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran masih dijalankan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    "Siasatan lengkap akan dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran," katanya. 

  • oleh
  • Rumah panjang di Julau terbakar

    JULAU: Rumah Chat, Nanga Bilat yang terletak pada jarak lebih kurang 20 minit dari pekan Julau dilaporkan terbakar, hari ini.

    Rumah panjang itu dikatakan terbakar pada jam 1 tengah hari.

    Seorang penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kejadian ketika dihubungi media hari ini memberitahu, rumah panjang tersebut mempunyai 20 pintu bilik.

    Api sedang marak dalam kejadian kebakaran rumah panjang di Rumah Chat hari ini.
    Api sedang marak dalam kejadian kebakaran rumah panjang di Rumah Chat hari ini.

    "Api merebak begitu pantas sekali hingga menyebabkan penduduk tidak sempat untuk menyelamatkan harta benda mereka.

    "Hanya dalam tempoh lima belas minit sahaja, secara keseluruhan bahagian atas rumah tersebut yang dibina dari bahan kayu telah dijilat api," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Dom.

    Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor (BBP) dikerahkan ke lokasi tersebut untuk menjalankan kerja-kerja pemadaman.
     

    (KEMAS KINI BERMULA DI SINI)

    Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, anggaran kemusnahan rumah panjang 20 pintu tersebut yang menempatkan 142 orang penghuni adalah kira-kira 80 hingga 90 peratus.

    "Komander operasi juga mengatakan tiada sumber air di lokasi kejadian dan yang ada cuma kolam kecil sahaja," katanya dalam satu kenyataan.

    Menurutnya lagi, bomba mengambil masa 1 jam 24 minit untuk tiba di lokasi yang terletak kira-kira 71 kilometer dari balai.

    Turut hadir di lokasi, Ketua BBP Bintangor Nicholas Belulin dan pegawai penyiasatan JBPM Zon 4 Sibu Jackson Anyie Ngau dan Ismuni Tepo.

    "Pihak bomba masih menjalankan operasi pemadamkan," katanya lagi.

    Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

  • oleh
  • Bomba: 8 kes kebakaran rumah panjang di Sarawak dari Januari hingga Mei

    Api marak memusnahkan Rh Dingon Megong, Skim Sekuau di Kilometer 45, Jalan Oya pada 10 Februari lalu. 
    Api marak memusnahkan Rh Dingon Megong, Skim Sekuau di Kilometer 45, Jalan Oya pada 10 Februari lalu. 

    KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan kes kebakaran melibatkan 38 buah pintu rumah panjang di Sarawak direkod sepanjang tempoh Januari hingga Mei lepas. 

    Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nor Hisham Mohammad berkata daripada jumlah itu, tiga kes dicatatkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 18 Mac.

    Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kes kebakaran berkenaan.

    Beliau berkata hasil siasatan mendapati kebanyakan kebakaran berpunca daripada aktiviti memasak dan penggunaan peralatan elektrik.

    Katanya, sejumlah RM2 juta kerugian dicatatkan dalam tempoh lima bulan itu, menurun berbanding RM6 juta dalam tempoh sama pada 2019 yang menyaksikan tujuh kes kebakaran rumah panjang melibatkan 102 pintu direkodkan.

    Nor Hisham berkata JBPM kini giat menjalankan aktiviti kesedaran awam secara berterusan dalam bentuk kempen, ceramah, latihan, program khas ‘Fire Summer Camp’, Program ‘Fire Point’ bagi mengurangkan berlakunya kes kebakaran dan meningkatkan kapasiti penghuni untuk menangani insiden jika berlaku kebakaran rumah panjang. 

    "Penghuni rumah panjang juga dinasihatkan supaya sentiasa memantau aktiviti memasak dan sentiasa ingat-mengingatkan sesama jiran tetangga untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada Bernama hari ini. - Bernama 

    Rumah Daniel Lawi di Undop terbakar

    Api marak memusnahkan rumah panjang tersebut.
    Api marak memusnahkan rumah panjang tersebut. - Gambar ihsan bomba

    SRI AMAN: Sebuah rumah panjang terbakar di Rumah Daniel Lawi, Kampung Guntung Hulu, Undop, hari ini.

    Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman diketuai Chimian Duyu dikerahkan ke lokasi susulan menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.31 petang.

    Setakat ini, jumlah pintu bilik dan penghuni yang terjejas belum dapat dipastikan.

    Kemas kini bermula di sini

    Pemandangan dari atas kebakaran yang meranapkan rumah panjang tersebut.
    Pemandangan dari atas kebakaran yang meranapkan rumah panjang tersebut. - Gambar ihsan bomba

    Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak Tiong Ling Hii berkata kebakaran itu meranapkan keseluruhan blok rumah panjang 17 buah pintu bilik yang menempatkan 84 penghuni termasuk tiga kanak-kanak. 

    Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke lapan rumah persendirian yang terletak berhampiran sekitar 6.50 petang.

    Katanya, Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) turut memberi rawatan awal kepada seorang wanita menghidap asma yang pengsan akibat terhidu asap.

    "Dia dibawa ke Hospital Sri Aman untuk mendapat rawatan lanjut," katanya lagi.

    Menurut Tiong, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.15 selepas kebakaran padam sepenuhnya dan keselamatan penduduk berhampiran terjamin.

    Beliau menambah, bomba turut mewujudkan Pusat Sehenti Pasca Insiden kepada mangsa yang terlibat dengan kebakaran.

    Difahamkan, rumah panjang itu pernah terlibat dengan bomba komuniti pada tahun 2016 dan mempunyai alat pemadam api sebanyak tujuh unit.

    Sebelum ini, kebakaran akibat lintar pintas di pernah berlaku di pintu rumah nombor 7 pada 2017 namun sempat dipadamkan menggunakan satu alat pemadam api. 

    "Hari ini, penduduk cuba memadamkan api menggunakan enam alat pemadam api namun kebakaran gagal dipadamkan," katanya lagi.

    Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Gambar ihsan bomba
    Gambar ihsan bomba

    1,300 hilang tempat tinggal dalam 14 kes kebakaran rumah panjang tahun ini

     

    KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak merekodkan sebanyak 14 kes kebakaran rumah panjang membabitkan 341 pintu pada tahun ini untuk tempoh Januari hingga semalam.

    Penolong Pengarah Operasi Negeri, Tiong Ling Hii berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 181 pintu telah musnah keseluruhannya menyebabkan lebih 1,300 orang hilang tempat tinggal.

    Menurutnya, 12 daripada 14 kes tersebut mencatatkan kerugian dianggarkan melebihi RM10 juta dan dua kes lagi masih dalam siasatan.

    "Berdasarkan rekod, 12 kes kebakaran rumah panjang adalah berada 30 hingga 187 kilometer (km) daripada balai bomba yang terdekat dan daripada jumlah tersebut, sembilan kes melibatkan kebakaran 100 peratus dan tiga lagi hanya terbakar 10 peratus kerana api berjaya dipadamkan oleh penghuni menggunakan alat pemadam api.

    "Anggaran kerugian bagi 12 kes tersebut adalah sebanyak RM10,116,500 dan jumlah harta benda yang berjaya diselamatkan adalah RM12,993,500," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Bercakap mengenai punca kebakaran, Tiong memberitahu lapan daripada kes kebakaran tersebut adalah berpunca daripada aktiviti memasak.

    "Manakala empat lagi disebabkan lintar pintas dan dua kes lagi masih dalam siasatan," katanya.

    Betong merekodkan jumlah kes kebakaran rumah panjang terbanyak iaitu tiga kes, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri masing-masing dua kes dan satu kes lagi di Mukah. 

    "Bagaimanapun, hanya satu kematian iaitu seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) berusia 43 tahun dan empat kecederaan direkodkan dalam 14 kes kebakaran rumah panjang tersebut," kata Tiong.
     

    Rumah Andrew Lawai terbakar, 20 penghuni hilang tempat berteduh

    Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran
    Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran

    SIBU: Seramai 20 orang penghuni rumah panjang tujuh pintu hilang tempat berteduh susulan kejadian kebakaran di Rumah Andrew Lawai, Jalan Jagoi Lama di Pakan, malam tadi.

    Dalam kejadian sekitar pukul 8.50 malam itu, kebanyakan penghuni baharu selesai makan malam apabila mereka dikejutkan jeritan kebakaran daripadda penghuni yang ternampak bahagian dapur salah sebuah bilik rumah panjang tersebut sedang terbakar.

    Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, seramai sembilan anggota diketuai Samsawi Mohamad dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dikerahkan ke lokasi susulan menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.50 malam. 

    "Setiba di lokasi kejadian, pasukan BBP Bintangor mendapati rumah panjang terbabit sedang dijilat api yang merebak cepat ke seluruh rumah panjang separuh kekal itu," katanya dalam satu kenyataan.

    Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur sebuah bilik sebelum api merebak dengan pantas dan mengakibatkan rumah panjang itu musnah 90 peratus.

    Anggota bomba menjalankan pemadaman secara 'defensive' kerana api merebak cepat ke seluruh rumah panjang tersebut.

    Pasukan BBP Bintangor terpaksa menggunakan satu aliran dua nosel air sepanjang 200 kaki daripada tangki air jentera bomba disebabkan 
    tiada pili dan sumber air terbuka bomba di lokasi.

    Mereka juga terpaksa menggunakan jentera untuk berulang-alik mengisi air dari pili yang terdekat yang terletak 500 meter dari lokasi kebakaran

    Pasukan sokongan dari BBP Sarikei yang diketuai oleh Miian Paimin dengan kekuatan sembilan anggota juga turun padang untuk membantu melakukan pemadaman. 

    Kebakaran berjaya dikawal sekitar 9.30 malam dan operasi tamat pada pukul 11.55 malam.

    Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

    Mangsa terdiri daripada 18 orang dewasa dan dua orang kanak-kanak kemudian ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Meradong dan Julau, Pakan.

    Punca sebenar dan kerugian harta benda masih dalam siasatan.

  • oleh
  • Rumah panjang terbakar di Belawai

     


    MUKAH: Sebuah rumah panjang tujuh pintu musnah dalam satu kebakaran di Kampung Stalon di Belawai, Isnin malam.

    Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis dikerahkan ke lokasi menggunakan bot susulan menerima panggilan pada pukul 8.06 malam.

    "Maklumat awal daripada pelapor memaklumkan sebuah rumah panjang tujuh pintu terbakar hampir 100 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, jumlah sebenar penghuni belum diketahui dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

    Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

    Rumah panjang 26 pintu terbakar di Selangau 

    Api marak memusnahkan rumah panjang hari ini.
    Api marak memusnahkan rumah panjang hari ini.

    MUKAH: Sebuah rumah panjang 26 pintu terbakar dalam satu kejadian di Rh Jani, Kerangan Paso, Ulu Mukah di Selangau, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau ketika mengesahkan kejadian berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden sekitar pukul 3 petang tersebut.

    "Semasa kejadian, didapati hanya dua ke tiga penghuni sahaja berada di rumah berkenaan," katanya kepada Utusan Borneo.

    Penghuni lain katanya, ketika itu masih berada di luar kawasan seperti di Pekan Selangau, Mukah dan sebagainya kerana urusan kerja.

    "Punca kejadian masih belum dapat dipastikan dan masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia," jelasnya lagi.

    Jarak perjalanan ke kawasan kejadian dari Pekan Selangau adalah sekitar tiga jam perjalanan melalui jalan balak.

    Jumlah sebenar penghuni terjejas belum dapat dipastikan.

  • oleh
  • Advertisement