Anda di sini

Artikel Hari Malaysia

Advertisement

Affandi, tokoh penyiaran Sarawak yang berdedikasi

 Affandi ketika ditemu bual berkongsi pengalamannya membesar dan berkerjaya dalam era kemerdekaan.
MASIH BERSEMANGAT: Affandi ketika ditemu bual berkongsi pengalamannya membesar dan berkerjaya dalam era kemerdekaan.

MEMBESAR dan berjaya dalam era kemerdekaan bukan suatu yang mudah dicapai, namun Dato Affandi Tahir, 78, telah membuktikan tekad dan semangat juang yang tinggi membolehkannya berjaya dalam kerjaya serta kehidupan.

Anak nelayan dari Kampung Barong, perkampungan kecil nelayan Melanau di Rajang yang dilahirkan pada 17 Julai, 1941 (seperti dalam sijil kelahiran) ini tidak pernah menjadikan kemiskinan sebagai halangan untuk mengejar impiannya.

"Saya memulakan persekolahan di Sekolah Abang Buyuk, Kampung Jerijeh pada 1946, ketika itu umur sebenar saya ialah tujuh tahun dan daripada detik itu saya mula tinggal berjauhan daripada ibu dan ayah kerana perlu tinggal bersama kakak kedua Salimah yang tinggal di situ selepas berkahwin dengan pemuda dari kampung itu," katanya dalam temu bual bersama Utusan Borneo di Kuching, baru-baru ini.

Pada 1954, Affandi melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Batu Lintang, satu-satunya sekolah milik kerajaan kolonial British di Sarawak.

"Ia tidak semudah difikirkan, ayah (Tahir Belabau) mendaftar saya ke Darjah 4 di Sekolah Abang Galau di Rajang, setahun kemudian beliau mahu saya belajar di Sekolah Menengah Batu Lintang tetapi tidak berjaya kerana saya terlewat menduduki ujian kemasukan disebabkan masalah komunikasi.

"Pada 1954 atas pujukan ayah, saya memohon semula tetapi ditolak kerana ketika itu saya berusia 15 tahun, pemohon tidak boleh lebih 13 tahun, ketika itu saya tidak ada sijil kelahiran tetapi berjaya menyakinkan pentadbir sekolah yang saya dilahirkan pada 1941," ceritanya.

Dalam serba kekurangan menjadi pelajar di Sekolah Menengah Batu Lintang (1954-1958), Affandi belajar hidup berdikari dan berkawan dengan semua bangsa.

Masa berlalu dengan pantas, selepas lima tahun di Batu Lintang, Affandi meneruskan persekolahannya di Sekolah Menengah Dragon yang jauh lebih baik.

 Affandi ketika menjalani latihan praktikal di BBC London.
TINGKAT KEMAHIRAN: Affandi ketika menjalani latihan praktikal di BBC London.

Affandi tamat persekolahan di Tingkatan 4 dan peperiksaan Senior Cambridge, namun nasib tidak menyebelahinya kerana beliau gagal dalam peperiksaan itu.

"Bukan kerana saya tidak belajar atau tidak tahu menjawab soalan tetapi ketika itu saya panik dan minda saya tiba-tiba kosong, saya cuba lakukan yang terbaik tetapi gagal.

"Saya malu kerana ketika itu saya masih mendapat biasiswa kerajaan. Saya tidak tahu apa perlu dilakukan. Saya tidak mahu pulang ke kampung kerana malu," katanya.

PELUANG BAHARU

Affandi mengambil sedikit masa untuk mendapatkan semula keyakinan diri dan mula mencari pekerjaan, dengan menghadiri temu duga bagi jawatan Pegawai Tadbir Negeri (SAO) tetapi gagal kerana tidak dapat menjawab soalan berhubung Ordinan Hutan dan Dasar Pendidikan Sarawak yang dikemukakan panel penemu duga yang diketuai Mr William (pegawai British).

"Oleh kerana terdesak mahu bekerja, saya tanpa rasa takut dan segan bertemu semula dengan Mr Wiliam kerana ingin tahu kenapa saya tidak dipilih (untuk jawatan SAO).

"Saya tidak mendapat jawapan yang saya mahu sebaliknya Mr William bertanya jika saya ada memohon pekerjaan lain dan saya memberitahu pernah memohon jawatan sebagai pembantu penyiaran di Radio Sarawak, sekarang dikenali Radio TV Malaysia.

"Tanpa berkata apa-apa beliau mendail telefon dan menghubungi Pengarah Radio Sarawak Peter Ratcliffe, yang kemudian memaklumkan kepada saya bahawa permohonan saya sebagai pembantu penyiaran sedang diproses," katanya.

 Affandi semasa membuat liputan majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri yang pertama Tun Openg selepas penubuhan Malaysia.
KOMITED: Affandi semasa membuat liputan majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri yang pertama Tun Openg selepas penubuhan Malaysia.

Menyambung ceritanya Affandi berkata, beberapa hari kemudian beliau dipanggil menghadiri temu duga iaitu sekitar April 1961 dan beliau seterusnya diminta melapor diri pada 18 April.

"Saya berasa bangga kerana budak kampung seperti saya menjadi penyampai radio. Ketika itu Radio Sarawak satu-satunya stesen radio tempatan manakala juruhebah dan selebritinya amat terkenal.

"Ia boleh didengar penduduk di Kuching, Serian dan Bau menerusi gelombang sederhana (MW).

"Pada masa itu juga ada siaran radio yang boleh didengar menerusi gelombang pendek (SW) seperti Radio Malaya, Radio Republik Indonesia, BBC (British Broadcasting Corporation) dan banyak lagi.

"Radio Sarawak ditubuhkan pada 7 Jun 1954 dan bersiasaran dalam Bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Iban.

"Penyiaran di Sarawak bermula dari awal, tidak ada penyiar atau penyampai, penerbit rancangan dan jurutera berpengalaman," katanya.

Beliau berkata, kakitangan teknikal Radio Sarawak didatangkan dari negara luar dan pekerja dari negeri ini bekerja sambil belajar.

Antara perintis Radio Sarawak ialah Salleh Askor dari Semenanjung Malaysia, manakala Taibi Ali, Ismail Hassan dan Hasanah Daud, orang Sarawak berkhidmat di Perkhidmatan Melayu.

Manakala Perkhidmatan Bahasa Inggeris diterajui Chew Hock Guan dari Singapura dan Perkhidmatan Iban pula Gerusin Lembat (Tan Sri) dan Pancras Eddie.

Affandi antara staff Radio Sarawak yang dipilih menjalani latihan penyiaran profesional selama empat bulan di BBC London bermula 24 September, 1962.

Sepanjang menjalani latihan itu, beliau berpeluang menimba pengalaman di Stesen BBC Glasgow bagaimanapun beliau dipanggil pulang ke tanah air (Sarawak) lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

"Ketika itu perancangan dibuat untuk menyatukan semua negeri di Malaya dan negeri-negeri Borneo (Sabah, Sarawak dan Brunei) dan Singapura bagi membentuk Persekutuan Malaysia.

"Namun penubuhan Persekutuan Malaysia mendapat bantahan dengan berlakunya pemberontakan Brunei dan konfrantasi Indonesia serta ancaman pengganas komunis pada penghujung 1962.

"Sebaik tiba Sarawak, saya terus ditugaskan untuk menerbitkan beberapa program perang psikologi bagi menangani propaganda Indonesia dan Komunis ketika itu," katanya.

Pada masa sama katanya, beliau melakukan tugasan luar dengan mengikut tentera British ke seluruh Sarawak dalam pelbagai misi termasuk ke sempadan Indonesia untuk menemu bual orang yang terjejas akibat insiden pengeboman serta serangan pengganas.

 Affandi menemu bual anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Sejingkat.
DEMI TUGAS: Affandi menemu bual anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Sejingkat.

PERTARUH NYAWA

Beliau menyifatkan tugas itu berbahaya tetapi kerana minat mendalam dan jiwanya didedikasikan kepada tugas, semua itu bukan halangan buatnya.

"Memang berbahaya, kami boleh terkena tembakan pengganas bila-bila masa, tetapi syukur kepada Tuhan, tiada apa-apa yang berlaku.

"Banyak letupan berlaku di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan ketika itu, Radio Sarawak perlu menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan menangani propaganda Indonesia," katanya.

Affandi kemudian menceritakan detik cemas ketika membuat liputan di Biawak, Lundu (sempadan Sarawak-Kalimantan) apabila pengganas mengebom kawasan itu.

"Dalam detik cemas itu, saya menemu bual saksi dan mangsa yang selamat dalam insiden pengeboman.

"Kami bersembunyi di dalam lubang besar kesan pengeboman.

"Semua itu dilakukan tanpa rasa takut demi menyampaikan maklumat terkini kepada umum," katanya.

Selepas dua tahun berkhidmat bersama Radio Sarawak, Affandi meneruskan kerjayanya bersama Radio Malaysia Sarawak selepas penubuhan Malaysia pada 16 September, 1963.

Beliau berpeluang menyaksikan peristiwa penting iaitu Gabenor Kolonial terakhir Sir Anton Alexander Waddel meletak jawatan dan digantikan Tun Abang Haji Openg sebagai Yang di-Pertua Negeri yang pertama.

Pada 1968 Affandi dinaik pangkat sebagai Ketua Perkhidmatan Melayu.

Pada 1976 beliau dilantik sebagai Kontroler Program, tugasnya lebih luas dan mencabar apabila perlu mengawasi semua bahagian program pada tahun sama beliau dilantik Kontroler Bahagian di Stesen kecil RTM Limbang.

Pada Ogos 1980, beliau ditugaskan semula ke RTM Kuching sebagai Timbalan Pengarah Program.

Ketika itulah beliau memperkenalkan Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri, Pertandingan Bintang P. Ramlee dan Pertandingan Bintang Kecil serta banyak lagi.

Selepas berkhidmat selama 35 tahun bersama Radio Sarawak kemudian Radio Televisyen Malaysia, Affandi bersara wajid selepas berkhidmat sebagai Pengarah RTM Johor Kawasan Selatan (1992-1996).

Tidak lama kemudian, beliau menyertai stesen radio swasta Cats FM.

Bermula sebagai penasihat, Affandi kemudianya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif stesen radio swasta itu.

Selepas 12 tahun bersama Cats FM, beliau mengambil keputusan bersara bagi memberi peluang kepada orang baharu untuk mengambil alih jawatan tersebut.

 Affandi ketika berkhidmat bersama Cats FM.
DALAM KENANGAN: Affandi ketika berkhidmat bersama Cats FM.

DUN Sarawak institusi perundangan paling tua di Malaysia

 Tugu ulang tahun ke-100 Council Negeri di tapak asal mesyuarat pertama yang diadakan di sebuah bangunan kayu kecil pada 1867.
PERINGATAN: Tugu ulang tahun ke-100 Council Negeri di tapak asal mesyuarat pertama yang diadakan di sebuah bangunan kayu kecil pada 1867.
 Bangunan DUN yang ikonik ini adalah tempat di mana 82 wakil rakyat berhimpun untuk Sidang DUN. Pada usia 152 tahun, ia merupakan institusi perundangan paling tua di negara ini. – Gambar Muhammad Rais Sanusi
PALING BERPENGALAMAN: Bangunan DUN yang ikonik ini adalah tempat di mana 82 wakil rakyat berhimpun untuk Sidang DUN. Pada usia 152 tahun, ia merupakan institusi perundangan paling tua di negara ini. – Gambar Muhammad Rais Sanusi

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sarawak meraikan ulang tahunnya yang ke-152 pada 8 September tahun ini, menjadikannya institusi perundangan paling tua di negara ini.

Penubuhan sistem dewan undangan negeri paling awal dan paling tua di Malaysia bermula sewaktu pemerintahan Rajah Putih dan ketika itu ia dikenali sebagai Majlis Umum (General Council).

Diadakan di Bintulu pada 8 September 1867, persidangan pertama Majlis Umum dihadiri 21 ahli Majlis Umum Sarawak yang diketuai Rajah Charles Brooke.

Turut hadir adalah lima pegawai British iaitu James B. Cruickshank, William H. Rodway, Alfred R. Houghton, Thomas S. Chapman dan James H. Nelson selain 16 ketua masyarakat tempatan.

Ketua-ketua tempatan, yang datang dari Kuching, Lundu, Lingga, Simanggang, Saribas, Kalaka, Sibu, Mukah, Oya, Matu dan Bintulu, terdiri daripada Datu Bandar, Pangeran Matusin, Pangeran Mathair, Pangeran Abu Bakar, Abang Matassan, Tuan Khatib, Awang Dulla, Mani, Abang Ain, Abang Tek, Abang Apong, Abang Leman, Abang Man, Abang Galau, Abang Ali dan Abang Usop.

Pertama kali bersidang di sebuah bangunan kayu kecil yang terletak tidak jauh dari bangunan Fort Keppel di Bintulu, penubuhan Majlis Umum bertujuan untuk menghimpunkan semua kaum peribumi di dalam satu persidangan yang mengatasi segalanya. 

Selain mendengar ucaptama, mesyuarat itu juga memberi peluang kepada mereka yang hadir untuk mengemukakan pandangan mereka dan bertukar-tukar idea.

Mesyuarat kedua kemudian diadakan di Sibu pada 15 Jun 1868 sebelum ia bersidang di Kuching untuk mesyuarat ketiga pada 11 Oktober 1870, di mana ia telah diadakan sejak itu.

Pada 1903, Majlis Umum kemudian menukar namanya kepada Council Negeri yang menjadi asas perundangan bagi pentadbiran negara.

Ia tidak ada peraturan tetap sehingga September 1941 apabila Rajah Charles Vyner Brooke merangka perlembagaan baharu untuk Council Negeri.

Perlembagaan baharu mengurangkan suara Bumiputera kerana 14 daripada 25 ahli majlis mesti terdiri daripada pegawai kerajaan yang berasal dari Eropah, manakala baki 11 ahli majlis terdiri daripada wakil-wakil Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Council Negeri kekal menjadi sebahagian daripada pentadbiran negara selepas Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada Britain pada Februari 1946 dan Sarawak menjadi jajahan Britain antara 1946 dan 1963.

Sarawak diberi status kerajaan sendiri sehingga 16 September 1963 apabila ia, bersama Sabah, Singapura dan Malay menubuhkan Persekutuan Malaysia.

Majlis berkenaan mengharungi tiga tempoh yang signifikan, iaitu tempoh keluarga Brooke sebagai Rajah Putih, diikuti tempoh penjajahan Britain, dan ketiga, tempoh kemerdekaan menerusi Malaysia.

Pada 1976, Council Negeri dinamakan semula sebagai Dewan Undangan Negeri dan memiliki bangunan tetapnya sendiri di Petra Jaya, Kuching.

Dewan lama bertindak sebagai tempat persidangan DUN selama 33 tahun daripada 36 wakil rakyat pada 1963 kepada 71 wakil rakyat pada 2006.

Dengan pengembangan DUN, dewan terpaksa dipindahkan ke premis lebih besar dan ini membawa kepada pembinaan bangunan DUN baharu tidak jauh dari bangunan lama.

Pada 27 Julai 2009, bangunan ikonik berharga RM300 juta berkenaan dibuka secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu majlis gilang-gemilang yang disaksikan oleh Ketua Menteri ketika itu, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, pemerintah negeri dan pembesar.

Dewan baharu terletak di tingkat lapan pada bangunan sembilan tingkat di mana pada hari ini, Sidang DUN kini dihadiri 82 wakil rakyat, yang juga merupakan DUN terbesar di Malaysia.
 

16 September detik bersejarah yang melahirkan Malaysia

 Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diselang seli laungan rakyat yang hadir selepas tamat membaca pemasyhuran Malaysia pada 17 September, 1963. - Sumber Arkib Negara
DETIK BERSEJARAH: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diselang seli laungan rakyat yang hadir selepas tamat membaca pemasyhuran Malaysia pada 17 September, 1963. - Sumber Arkib Negara

TANGGAL 16 September 1963, maka lahirlah sebuah negara baharu bernama Malaysia.

Ia merupakan detik paling bersejarah yang memperlihatkan penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura.

Penyatuan itu bermula selepas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mencadangkannya pada 27 Mei, 1961 disusuli Mesyuarat Persatuan Parlimen KOMANWEL Cawangan Tanah Melayu di Singapura pada 23 Julai yang memutuskan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia yang dipengerusikan Tun Mohammad Fuad Stephens. 

Penyatuan dan kerjasama kerjasama itu perlu diadakan terutamanya untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau.

 Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengadakan sidang akhbar di kediaman rasmi beliau pada 6 Julai, 1963 bagi mengumumkan keberangkatan ke London untuk menghadiri majlis menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia. - Sumber Arkib Negara
PENGUMUMAN: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengadakan sidang akhbar di kediaman rasmi beliau pada 6 Julai, 1963 bagi mengumumkan keberangkatan ke London untuk menghadiri majlis menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia. - Sumber Arkib Negara

Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. 

Di samping itu, gagasan ini bertujuan mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepat proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak.

 Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj semasa berucap kepada wartawan asing di Hotel Adelphi,Singapura pada 27 Mei, 1961. Pada majlis itu, buat pertama kalinya Tunku menyuarakan cadangan penubuhan Malaysia. - Sumber Arkib Negara
CETUSAN ILHAM: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj semasa berucap kepada wartawan asing di Hotel Adelphi,Singapura pada 27 Mei, 1961. Pada majlis itu, buat pertama kalinya Tunku menyuarakan cadangan penubuhan Malaysia. - Sumber Arkib Negara
  • KRONOLOGI PEMBENTUKAN MALAYSIA

Idea persekutuan wilayah jajahan British di Asia Tenggara telah dimulakan seawal 1 Mei, 1948 oleh Komisioner Jeneral United Kingdom di Asia Tenggara Malcom Macdonald.

Di Borneo, British cuba mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan dengan memupuk pembentukan Persekutuan Borneo Utara dari tahun 1957 hingga 1960.

Bagaimanapun usaha itu gagal apabila bangkitnya parti berhaluan kiri Parti Rakyat Brunei, selain isu meningkatnya pergerakan komunis di Sarawak yang diketuai Parti Komunis Kalimantan Utara atau Organisasi Komunis Klandestin.

 Ahli-ahli Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia bermesyuarat di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Januari 1962. Jawatankuasa ini ditubuhkan pada bulan Julai 1961 dengan tujuan memberi penerangan kepada penduduk Borneo Utara, Sarawak dan Brunei mengenai penubuhan Malaysia. Mesyuarat ini merupakan mesyuarat yang ketiga. - Sumber Arkib Negara
MESYUARAT: Ahli-ahli Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia bermesyuarat di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Januari 1962. Jawatankuasa ini ditubuhkan pada bulan Julai 1961 dengan tujuan memberi penerangan kepada penduduk Borneo Utara, Sarawak dan Brunei mengenai penubuhan Malaysia. Mesyuarat ini merupakan mesyuarat yang ketiga. - Sumber Arkib Negara

Sehubungan itu, idea untuk mewujudkan persekutuan yang lebih besar telah dihidupkan semula apabila ancaman komunis di Singapura semakin menjadi-jadi di bawah kepimpinan parti baharu Barisan Sosialis.

Bagi menentang ancaman komunis di Singapura, kerajaan British mahu penggabungan antara Persekutuan Tanah Melayu dan pihak bukan komunis iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang menguasai Singapura ketika itu.

Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merancang untuk membawa masuk wilayah Borneo Utara meliputi Sabah, Sarawak dan Brunei.

 Gabenor British di Sarawak yang terakhir Sir Alexander Waddell serta isterinya Lady Jean Waddell meninggalkan kediaman mereka Astana menggunakan sampan pada 15 September 1963.
TINGGAL KENANGAN: Gabenor British di Sarawak yang terakhir Sir Alexander Waddell serta isterinya Lady Jean Waddell meninggalkan kediaman mereka Astana menggunakan sampan pada 15 September 1963.

Ekoran daripada itu, sejarah Pembentukan Malaysia bermula dengan:

  • 27 MEI, 1961

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu buat pertama kalinya menyuarakan cadangan penubuhan Malaysia semasa berucap pada wartawan asing di Hotel Adelphi, Singapura.

Memetik ucapan beliau, "Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) hari ini sebagai sebuah negara yang menyedari bahawa ia tidak boleh berdiri sendiri secara berasingan, lebih awal atau lebih lama Malaya sepatutnya mempunyai pemahaman dengan Britain dan orang-orang Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak. Sudah tiba masanya bagi saya mengatakan sekarang bagaimana pemahaman yang lebih dekat ini dapat dibawa, tetapi tidak dapat dielakkan bahawa kita harus memandang ke arah tujuan ini dan memikirkan suatu rencana di mana wilayah-wilayah ini dapat digabungkan bersama dalam kerjasama politik dan ekonomi."

Beliau turut menerima undangan untuk pergi ke London pada November bagi membincangkan bagaimana menyediakan jalan untuk berunding dengan Wilayah Borneo walaupun perkara itu sebenarnya diutarakan pemimpin politik dan masyarakat di Sarawak.

 Stephen Kalong Ningkan bersama-sama dengan Gabenor Negeri Sarawak yang baru iaitu Tun Abang Haji Openg berserta dengan wakil dari Persekutuan Tanah Melayu, Khir Johari memasyhurkan pengisytiharan Pembentukan Malaysia di Padang, Kuching, Sarawak pada 16 September, 1963. - Sumber Arkib Negara
SEPAKAT: Stephen Kalong Ningkan bersama-sama dengan Gabenor Negeri Sarawak yang baru iaitu Tun Abang Haji Openg berserta dengan wakil dari Persekutuan Tanah Melayu, Khir Johari memasyhurkan pengisytiharan Pembentukan Malaysia di Padang, Kuching, Sarawak pada 16 September, 1963. - Sumber Arkib Negara
  • 23 JULAI, 1961

Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC) yang dipengerusikan Donald Stephens ditubuhkan berikutan Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel di Singapura.

Jawatankuasa ini ditubuhkan pada Julai 1961 dengan tujuan memberi penerangan kepada penduduk Borneo Utara, Sarawak dan Brunei mengenai penubuhan Malaysia.

Jawatankuasa mengadakan empat kali mesyuarat untuk membincangkan perkara berkaitan penubuhan Malaysia dengan pertemuan pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, diikuti di Kuching pada Disember 1961 dan kemudian di Kuala Lumpur pada Januari 1962.

Sementara mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962.

Dalam mesyuarat terakhir itu, Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang.
Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia.
Antara perkara lain dipersetujui tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

 Lakaran tentang pembentukan Malaysia. - Sumber media sosial
FAHAMI SEJARAH: Lakaran tentang pembentukan Malaysia. - Sumber media sosial
  • 17 JANUARI, 1962

Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak bertujuan memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak.

Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. 

Suruhanjaya dianggotai lima ahli yang dipengerusikan bekas gabenor Bank England Lord Cobbold.
Ahli-ahlinya terdiri daripada Dato Wong Pow Nee dan Mohd Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston wakil kepada kerajaan British, sementara H.Harris bertindak selaku setiausaha.

Sejak Februari hingga April 1962, Suruhanjaya telah menemui lebih 4,000 orang dan menerima 2,200 memorandum daripada pelbagai pihak daripada parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri da pemimpin kaum dan sebagainya.

Hasil daripada laporan menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia.

Sokongan itu jelas dibuktikan menerusi laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Suruhanjaya Cobbold juga mengesyorkan penubuhan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Persekutuan Tanah Melayu ditukar kepada Persekutuan Malaysia, kuasa autonomi dan jaminan khas dalam beberapa perkara diberi kepada Sabah dan Sarawak serta kedudukan istimewa kaum peribumi Sabah dan Sarawak.

Rakyat Sabah dan Sarawak juga mengkaji beberapa tuntutan yang munasabah untuk menjaga kepentingan mereka sebagai Bumiputera sebelum menyertai Malaysia. 

Tuntutan ini dikenali 20 Perkara Sabah dan syarat Borneo Utara menyertai Malaysia.

Lanjutan daripada laporan Cobbold tersebut, penubuhan Malaysia akhirnya telah ditetapkan pada tarikh 31 Ogos, 1963 beserta dengan syarat bahawa segala perkara berkaitan perlembagaan telah diselesaikan.

Dalam pada itu, wakil-wakil setiap negeri Borneo dibawa melawat dan melihat sendiri keadaan pentadbiran dan kemajuan yang telah dicapai seperti pembangunan luar bandar, peningkatan taraf pendidikan, kemudahan awam dan kesihatan serta hak-hak keistimewaan kaum Bumiputera.

Berikutan itu sebuah jawatankuasa ditubuhkan pada Ogos 1962 iaitu Jawatankuasa Antara Kerajaan yang juga dikenali sebagai Lansdowne Committee (IGC) bagi melaksanakan tanggungjawab berkaitan perkara perlembagaan yang dapat memelihara kepentingan kedua-dua negeri dalam persekutuan baharu tersebut.

Berikutan itu, sebuah penyata telah dikeluarkan oleh jawatankuasa yang menggariskan cadangan-cadangan perlembagaan berkaitan.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada telah dipersetujui menjadi asas kepada Perlembagaan Malaysia.
Selepas mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan wakil-wakil Borneo Utara, IGC menghasilkan draf '20 Perkara' yang menyentuh kepentingan Borneo Utara dalam Malaysia - 20 Perkara yang menjadi asas kompromi ini membabitkan antaranya bahasa, agama, kewangan, undang-undang, perhidmatan awam, pendidikan, perwakilan dalam parlimen dan imigresen. 

Begitu juga dengan Sarawak, kompromi yang dicapai digarap dalam 18 Perkara.
Persefahaman melalui 20 Perkara dan 18 Perkara inilah yang menjadi pengikat dan asas perlindungan kepada hak-hak penduduk Borneo Utara dan Sarawak dalam Malaysia.

  • JULAI 1963

Pada Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.

Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia itu telah ditandatangani wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos, 1963.

Bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha PBB hanya dapat disiapkan pada 14 September. 

Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

16 SEPTEMBER, 1963

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September, 1963.

Upacara gemilang itu telah dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Upacara juga dihadiri anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut.

Tunku kemudiannya melaungkan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diselang seli laungan rakyat yang hadir.

Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan Ahmad Mohammad Said.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri.

Walaupun pada awalnya Hari Malaysia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun mulai 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

Sambutan 50 tahun Hari Malaysia hanya diadakan di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 16 September, 2013.
 

Malaysia, gabungan padu Semenanjung, Sabah dan Sarawak

 Suasana Main Bazaar ketika tahun 1880.
DAHULU: Suasana Main Bazaar ketika tahun 1880.
 Suasana sambutan Hari Kebangsaan pada 1963 di Padang Merdeka Kuching.
HARGAI NEGARA KITA: Suasana sambutan Hari Kebangsaan pada 1963 di Padang Merdeka Kuching.

BAGAI aur dengan tebing, begitulah pentingnya hubungan tiga entiti, Tanah Melayu (Semenanjung), Sabah dan Sarawak yang bersama-sama membentuk sebuah negara yang dipanggil Malaysia.

Penghayatan sejarah penubuhan Malaysia penting kepada rakyat negara ini supaya lebih menghargai jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang rela berjuang, berkorban jiwa raga dan nyawa demi menuntut kemerdekaan serta menyatukan Tanah Melayu dengan Tanah Borneo, Sabah dan Sarawak menjadi negara bernama Malaysia.

Tanpa generasi terdahulu dan pengorbanan mereka, kita tidak mampu menikmati kemajuan serta keindahan alam tanah air mahupun tidur lena di tanah tumpah darah ini.

Justeru, pengetahuan mengenai sejarah negara penting sebagai tunjang kepada pembentukan bangsa sekali gus membawa ke arah pembangunan dan kemajuan yang dinikmati pada hari ini.

JIKU
JIKU

Menurut Ketua Kaum Kampung Entingan Jiku Nader, 69, hubungan tiga negara yang bersatu hati membentuk Malaysia harus dipelihara dan diperkukuhkan agar kemajuan serta keamanan yang dikecapi pada hari ini dapat dikekalkan.

Katanya, banyak perubahan dari segi infrastruktur dan kemudahan yang dinikmati sejak Sarawak bersama-sama membentuk Malaysia terutamanya kawasan di pinggir bandar dan luar bandar di negeri ini.

"Kalau dibandingkan zaman dahulu, tidak banyak pembangunan yang kita capai kerana keadaan yang tidak aman, rakyat hidup dalam ketakutan disebabkan ancaman musuh, tiada kemajuan apatah lagi untuk hidup dengan selesa.

"Tetapi sekarang kita boleh lihat bangunan-bangunan besar dibina, kemudahan asas untuk rakyat dan sebagainya dapat kita nikmati bersama, malah kita bebas untuk bergerak tanpa berasa takut dengan ancaman musuh," katanya.

Tambah Jiku, walaupun terdapat perbezaan ideologi politik ketika ini, ia bukan menjadi alasan untuk rakyat berpecah belah yang boleh mengganggu gugat keamanan dan kestabilan negara.

Tegasnya, apa yang penting adalah kerjasama walaupun terdapat perbezaan, demi memelihara dan menjaga kedaulatan Malaysia.

"Jangan ikut perasaan amarah, kekalkan keharmonian sedia ada dan eratkan lagi tali persaudaraan kita di Sarawak dan Semenanjung walaupun perbezaan pendapat, benda yang remeh temeh jangan diperbesarkan," nasihatnya.

Mengambil contoh pembangunan di Samarahan Jiku berkata, kawasan itu kini pesat membangun malah menjadi Kota Ilmu dengan pelbagai infrastuktur pendidikan dibina di sana.

 Universiti Malaysia Sarawak.
PUSAT ILMU: Universiti Malaysia Sarawak.

"Dahulu tiada universiti di Samarahan, kini ada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Pendidikan Guru Tun Abdul Razak, GiatMARA, Institut Latihan Perindustrian dan sebagainya.

"Inilah kemudahan yang dinikmati bagi membangunkan anak bangsa kita untuk berjaya dalam pendidikan terutamanya di negeri ini," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati generasi muda pada hari ini mengekalkan perpaduan yang sedia ada serta menghayati pembentukan Malaysia demi menjaga dan mempertahankan keamanan dan keharmonian yang dikecapi.

SIM
SIM

Sementara itu, Ketua Kaum Masyarakat Cina Muara Tuang, Sim Mong Chai, 51, berkata, sejak bersama-sama membentuk Malaysia, keadaan landskap pembangunan di Sarawak banyak berubah.

Malah jelasnya, setiap kemajuan yang dibawa tidak meminggirkan mana-mana kaum di negeri ini.

"Seperti sekolah, kerajaan bina sekolah untuk semua kaum demi membangunkan anak-anak Sarawak yang berbilang kaum dan agama.

"Ini termasuk pendidikan untuk anak masyarakat Cina yang mana sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC)turut dapat dinikmati di sini," katanya.

Menyentuh tentang sistem perhubungan pula kata Sim, kalau dahulu masyarakat luar bandar sukar untuk bergerak dan hanya menggunakan pengangkutan air.

"Sekarang dengan adanya sistem perhubungan yang lebih baik iaitu jalan raya kita mudah bergerak dan ini banyak membantu meningkatkan ekonomi penduduk terutamanya dari luar bandar untuk memasarkan hasil pertanian mereka," jelasnya.

ASI
ASI

Manakala menurut Penghulu Kampung Meranek Asi Arbi, 64, jika mengimbau kesusahan rakyat ketika sebelum Malaysia dibentuk, keadaannya sememangnya sukar untuk digambarkan.

Tambahnya, untuk hidup dalam keadaan selesa dan aman seolah-olah hanya satu mimpi.

Namun sejak bersama-sama membentuk Malaysia, keadaan itu telah banyak berubah dan kini rakyat hidup selesa dan aman tanpa perlu berasa takut.

"Perubahan dari segi kemajuan memang amat ketera, kalau dahulu mahu melihat kereta lalu di hadapan rumah sahaja amat payah tetapi sekarang sudah tidak lagi terhitung.

"Selain itu, sekarang peluang pekerjaan amat luas tidak seperti dahulu yang hanya bergantung dengan hasil pertanian dan perikanan.

"Keadaan sebegini harus kita pelihara sebaik-baiknya agar generasi seterusnya dapat menikmatinya," ujarnya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan agar generasi baharu tidak leka dengan kesenangan yang dinikmati pada hari ini.

"Jangan kita leka sehingga kita alpa dengan kesusahan dan pengorbanan orang dahulu untuk memerdekakan tanah air ini.

"Jagalah keamanan dan keharmonian ini sebaik-baiknya demi masa depan anak cucu kita di kemudian hari," tegasnya lagi.

 Penjanaan kuasa daripada hidro diperbaharui di Empangan Murum.
KEMUDAHAN RAKYAT: Penjanaan kuasa daripada hidro diperbaharui di Empangan Murum.
 RH Matan, Gendang dan Selugo, Sungai Katibas disediakan dengan sistem SARES.
NIKMATI KEMUDAHAN: RH Matan, Gendang dan Selugo, Sungai Katibas disediakan dengan sistem SARES.
 Balingian Coal Fired Plant Mukah
BEKALAN ELEKTRIK: Balingian Coal Fired Plant Mukah
 Keadaan Ibu Negeri Sarawak, Kuching yang kian maju.
PESAT MEMBANGUN: Keadaan Ibu Negeri Sarawak, Kuching yang kian maju.
Pemandangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berlatar belakangkan bandar raya Kuching
Pemandangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berlatar belakangkan bandar raya Kuching

Petualangan komunis masih segar dalam ingatan perwira negara

 Dajai (kiri) bersama rakan seperjuangan ketika mengikuti latihan di Kem Tentera Taiping dalam awal penyertaan dalam RRD.
TINGGAL KENANGAN: Dajai (kiri) bersama rakan seperjuangan ketika mengikuti latihan di Kem Tentera Taiping dalam awal penyertaan dalam RRD.

PERISTIWA berdarah serang hendap di Sungai Kedup Bintangor, Sarikei pada 28 Oktober, 1971 tidak pernah lenyap dari ingatan Sarjan (B) Dajai Anggie, 75.

Anak kelahiran Saribas, Betong itu antara penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) yang pastinya tidak akan melupakan detik mencemaskan itu sehingga ke akhir hayatnya.

Bersama rakan seperjuangan dari Batalion 1 Rejimen Renjer Diraja (RRD), Dajai tanpa rasa gentar menentang habis-habisan musuh iaitu petualang komunis yang melakukan serangan hendap ke atas mereka.

"Walaupun Malaysia ditubuhkan pada 16 September, 1963, negara dan Sarawak khasnya masih belum aman sepenuhnya kerana ancaman komunis serta pemberontakan yang menentang pembentukan Malaysia.

"Situasi tegang itu bukan hanya menyaksikan ramai anggota tentera (Rejimen renjer Diraja-RRD) dan Polis (Polis Diraja Malaysia) terkorban tetapi kesengsaraan kepada penduduk Sarawak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu Kawah, Kuching.

Mengimbau detik berdarah itu Dajai berkata, serang hendap di Sungai Kedup, Bintangor berlaku dua minggu selepas Operasi Ngayau Peringkat III dilancarkan dalam daerah Bintangor yang dulunya dikenali sebagai Binatang dan Sarikei.

"Saya bersama 16 lagi anggota tentera dari Kompeni Alpha 1 RRD diberi kawasan tanggungjawab Sektor Bravo 1 yang meliputi kedua-dua daerah tersebut selama lebih kurang seminggu pada 27 Oktober, 1971," beliau memulakan penceritaannya yang pada ketika itu merupakan Sarjan Platun.

 Dajai menunjukkan PGB (kiri) serta pingat-pingat keberanian yang dianugerahkan kepadanya sepanjang berkhidmat sebagai tentera
BANGGA: Dajai menunjukkan PGB (kiri) serta pingat-pingat keberanian yang dianugerahkan kepadanya sepanjang berkhidmat sebagai tentera

Enam belas lagi anggota tentera yang terlibat dalam operasi itu ialah Pegawai Waren Dua (B) Joseph Meling Kilong, Koperal (B) Malang, Koperal (B) John Unjang, Koperal (B) Brawie Rajaie, L/Kpl (B) Unggek Anti, Renjer (B) Ukar Balit, Renjer (B) Rimau Buda), Renjer (B) Sandom, Renjer (B) Nyuak, Renjer (B) Linang, Renjer (B) Balau, Renjer (B) Samabob Sabiran, Renjer (B) Ahsyard, Renjer (B) Liman dan mendiang Renjer Nyabong Bansa.

Menurut beliau, sebaik tiba di kebun getah Skim Meradong, mereka diarah menjejaki komunis diketuai Komander Platun Pegawai Waren Dua (B) Joseph Meling Kilong, menyusuri denai hutan dengan penuh berhati-hati.

Namun sudah lebih enam hari di dalam hutan, kelibat komunis tiada kelihatan seperti dilaporkan sebelumnya dengan bekalan makanan semakin berkurangan ditambah anggota sudah mula keletihan, akhirnya mereka diarah menuju ke satu lokasi di Jalan Pakan, Julau yang terletak dalam kawasan Sungai Kedup.

"Tiba di situ, Sarjan Joseph Mileng telah mengarahkan saya dan Renjer Unggek Anti membuat pemantauan terlebih dahulu dan setelah berjalan hampir lima jam, kami sampai di lokasi yang diarahkan.

"Setelah membuat penelitian, saya mengambil keputusan menempatkan unit kami di satu pondok kosong yang mungkin ditinggalkan penghuninya.

"Namun Renjer Unggek tidak bersetuju kerana nalurinya berasa tidak senang tetapi saya tetap dengan keputusan saya itu," katanya.

Menyambung penceritaannya Dajai berkata, apabila semua unit platunnya sudah tiba pembahagian tugas diberikan dengan mengutamakan kawalan sentri dan pada masa sama menyediakan juadah berbuka puasa ala kadar memandangkan ketika itu bulan Ramadan.

Walaupun hanya tiga anggota beragama Islam, namun sudah menjadi kebiasaan mereka menjamah makanan bersama-sama sewaktu berbuka.

"Mungkin kerana semua kepenatan setelah hampir seminggu di dalam hutan ramai antara kami tidur selepas makan, ada juga yang melakukan tugas sentri sambil menunggu giliran.

"Suasana malam itu sangat gelap dan senyap, melainkan salakan anjing bersahut-sahutan daripada kawasan penempatan kaum Cina berdekatan," katanya.

"Namun ketika subuh sekitar jam 6 pagi, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat di kawasan kami.

"Letupan itu menyebabkan kami terkejut dan bertempiaran mencari tempat berlindung sambil tangan erat memegang senjata masing-masing.

"Selang beberapa minit kemudian, tempat kami mula dihujani peluru musuh dan ketika itulah kami pasti yang kami telah diserang hendap gerila komunis," katanya.

 Dajai (belakang, kiri) bersama anggota tentera yang lain ketika menyertai perbarisan dalam satu majlis ketika dahulu
BERSEDIA: Dajai (belakang, kiri) bersama anggota tentera yang lain ketika menyertai perbarisan dalam satu majlis ketika dahulu


 

Ketika detik cemas itu, Renjer Arshad sempat mencapai alat penghubung dan melaporkan kejadian itu kepada ibu pejabat sebelum set komunikasi mereka ditembak komunis sehingga rosak.

Kini sandaran sepenuhnya pada pihak mereka untuk berjuang habis-habisan. 

"Dalam fikiran ketika itu hanya untuk menumpaskan musuh, nyawa diri sendiri nombor dua.

"Saya dan Sarjan Joseph mengatur strategi untuk menyerang balas yang lebih sempurna dan ketika itu kedengaran sayup-sayup arahan gerila komunis meminta kami menyerah diri.

"Kami tidak menyerah kalah sebaliknya mula mengatur barisan seadanya di sekitar pondok walaupun terpaksa merangkak.

"Saya dengan lantang melaungkan 'Agi Idup Agi Ngelaban' dan dibalas dengan jitu oleh anggota platun," katanya penuh semangat.

Dajai berkata, mereka mula melontar bom tangan berserta tembakan peluru ke arah komunis tanpa henti menyebabkan musuh yang sebelum ini begitu bersemangat mula gentar, malah asakan bertali arus itu menyebabkan mereka cuba mengundur diri.

"Melihat situasi itu, Sarjan Joseph mengarah saya dan Renjer Unggek mengejar mana-mana komunis yang cuba melarikan diri termasuk beliau sendiri yang lain diarah bersiaga di sekitar pondok.

"Renjer Unggek tanpa mempedulikan keselamatan dirinya tetap tidak beralah walaupun satu lawan dua dengan komunis dalam keadaan tercedera terkena tembakan.

"Dia berjaya membunuh kedua-dua komunis tersebut dan mengheretnya hingga ke tepi jalan raya utama.

"Ketika itulah saya, Sarjan Joseph, Lans Koperal John, Renjer Rimau dan Renjer Balau tiba dari arah hutan yang sama," katanya sambil menambah bantuan tiba sekitar pukul 7 pagi untuk menjejak lebihan anggota komunis yang berjaya melarikan diri.

Dalam serangan hendap itu, tiga anggota Platun itu tercedera iaitu Renjer Unggek ditembak di pinggang, Lans Koperal Malang cedera kaki kiri dan Renjer Arshad pada muka.

Operasi Ngayau III diteruskan menyaksikan lima anggota polis berjaya dibunuh namun Renjer Nyambong Bansa terkorban sebagai perwira kerana terkena tembakan peluru musuh di bahagian kepala, katanya.

Atas keberanian serta khidmat bakti cemerlang sewaktu Operasi Ngayau 3, Sarjan Joseph, Koperal Dajai dan Renjer Unggek (pangkat mereka ketika itu) dianugerahkan PGB oleh Yang Dipertuan Agong Sultan Abdul Halim Al-Haj pada 23 Disember, 1971.

KISAH BISOP

 Bisop ketika ditemui di rumahnya di Purai, Undop Sri Aman.
IMBAU KENANGAN: Bisop ketika ditemui di rumahnya di Purai, Undop Sri Aman.

Sarjan (B) Bisop Kunjan, seorang anggota polis, juga mempunyai kisah yang tidak kurang hebatnya saat menentang musuh negara iaitu Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU).

Pada 8 Disember ,1962 ketika itu beliau merupakan Konstabel Polis (PC) berkhidmat di Balai Polis Limbang yang diserang.

Balai Polis Limbang ketika itu diketuai Inspektor Abdul Latiff Basah diserang kumpulan pemberontak tersebut sekitar jam 2 pagi menyebabkan empat anggota polis terkorban dan beberapa orang lagi cedera.

Bisop, 22, ketika itu merupakan seorang penembak terlatih bersama beberapa anggota polis iaitu PC Sanggah Jampang, Koperal Kim Huat dan PC Wan Jamaluddin Tuanku Alek berjuang mempertahankan Balai Polis Limbang dirampas musuh.

"Ketika itu saya sedang tidur. Saya mendengar Wan Jamaluddin menjerit sekuat hati 'musuh-musuh!'.

"Kami memang menjangkakan perkara ini akan berlaku kerana telah mendapat amaran balai kami (Bali Polis Limbang) akan diserang kumpulan pemberontak (TNKU) pada bila-bila masa.

"Inspektor Latiff Basah, Ketua Balai, Balai Polis Limbang ketika itu memberitahu kami ada khabar angin mengatakan pemberontak mahu menyerang Brunei seterusnya Balai Polis Limbang.

"Arahan melakukan rondaan di sekitar Limbang telah dikeluarkan," katanya.

Dengan hanya memakai seluar dalam dan singlet, Bisop bingkas bangun bergegas ke bilik pertuduhan.

Di situ dia melihat Wan Jamaluddin telah terkorban dalam serangan itu dengan mayatnya  terbaring di luar balai polis.

"Saya yang masih memakai seluar dalam dibantu Sanggah dan kira-kira 20 minit kemudian PC Bujang Mohamad menyertai kami.

"Ketika itu saya hampir kehabisan peluru dan dengan bantuan Koperal Kim Huat (Bidayuh) saya berjaya mendapat senjata," katanya.

Namun dalam pertempuran itu, Kim Huat dan Bujang ditembak mati pemberontak selepas mereka bermati-matian menumpaskan musuh, katanya.

Dalam keadaan yang kucar-kacir itu, rata-rata anggota yang sudah berkahwin meninggalkan balai, tinggal hanya anggota bujang seperti Bisop dan Sanggah yang membantu Bujang (sudah berkahwin).

"Pendek cerita, kami mendengar pemberontak Kedayan menjerit 'Keluar, kami orang sudah pegang perintah, bagus kamu serah diri!'.

"Mendengar jeritan itu, saya naik berang kerana ramai rakan saya terkorban di depan mata.

"Saya menjawab dalam dialek Kedayan, 'Kami tidak mahu serah diri. Kalau berani, lawan tia!', maksudnya lawan sampai mati.

"Saya memberi amaran kepada Sanggah kami tidak boleh menyerah kalah jika salah seorang daripada kami lari, dia perlu mati, saya tembak dia atau dia tembak saya," ceritanya.

Namun akhirnya mereka terpaksa menyerah diri demi keselamatan Residen R. H. Morris yang ketika itu berada di luar balai polis merayu mereka menyerah diri dengan diiringi empat pemberontak bersenjata api.

"Kami dibawa ke Kubu Limbang, iaitu penjara dan diletakkan dalam sel sama dengan Morris serta isterinya termasuk Inspektor Latiff.

"Empat hari kemudian, 'L' Company Royal Marines diketuai Kapten Jeremy Moore datang memberi bantuan dan pertempuran dengan pemberontak bermula dan Salleh (pemberontak) berjaya ditangkap seminggu kemudian," kata Bisop mengakhiri kisahnya menentang musuh negara.
 

Sarawak negeri contoh dalam Malaysia: Cikgu Emmet

 Cikgu Emmet merakamkan gambar bersama anak-anak murid SK Melugu yang membuat persembahan gendang pampat Iban.
AKRAB: Cikgu Emmet merakamkan gambar bersama anak-anak murid SK Melugu yang membuat persembahan gendang pampat Iban.

TAK kenal maka tak cinta, ungkapan yang amat sesuai untuk mereka yang masih belum mengenali Sarawak sepenuhnya. 

Meskipun Sarawak merupakan sebahagian daripada Malaysia namun tidak dinafikan masih ramai rakyat yang tidak mengenali negeri ini. 

Namun bagi mereka yang sudah mengenali Sarawak, rasa cinta kepada negeri ini adalah melebihi daripada tempat-tempat lain di Malaysia. 

Cikgu Emmet atau nama sebenar Ahmad Faizal Osman antara jutaan rakyat Malaysia yang mencintai Sarawak sama seperti negeri asalnya sendiri Perak. 

Anak kelahiran Teluk Intan ini merupakan seorang pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku dan telah berkhidmat selama 20 tahun di negeri ini. 

Selama 20 tahun di Sarawak katanya, banyak perkara yang telah dipelajari yang membuatkannya sangat mencintai negeri ini. 

“Pertama kali saya ke Sarawak adalah pada tahun 1992 semasa mewakili maktab dalam pestarama di Institut Perguruan Batu Lintang (IPBL) Kuching. 

“Pada mulanya saya ingat bandar Kuching ini kecil tetapi setibanya di Kuching saya dapati bandar ini hampir sama besar dengan bandar raya Ipoh. 

“Kuching pada waktu itu sangat tenang dan tidak sesak seperti ketika ini dan saya amat kagum dengan masyarakatnya yang berbilang kaum serta hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya. 

Pada usia 50 tahun, Cikgu Emmet yang bertugas sebagai penolong kanan pentadbiran di SK Pulau Seduku telah menetap selama 22 tahun di Sarawak. 

 Cikgu Emmet bersama murid-murid SK Pulau Seduku.
MESRA: Cikgu Emmet bersama murid-murid SK Pulau Seduku.

Malah beliau juga fasih berbahasa Iban yang dipelajarinya daripada anak-anak muridnya sendiri selama mengajar di beberapa sekolah luar bandar di sini termasuk SK Lichok Roban, SK Melugu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok. 

Disebabkan rasa cintanya kepada Sarawak, Cikgu Emmet juga banyak menulis mengenai pengalaman-pengalamannya di negeri ini dalam blognya Cikgu Emmet Menulis untuk perkongsian umum. 

Beliau juga banyak membantu anak-anak kurang bernasib baik di kalangan masyarakat Iban dan Melayu di kawasan tempat beliau mengajar. 

“Sepanjang menetap di negeri ini, saya banyak belajar budaya dan bahasa masyarakat di sini yang merupakan satu pengalaman paling berharga untuk saya. 

“Bahasa Iban adalah yang paling awal saya pelajari daripada murid-murid dan sekarang saya fasih berbahasa Iban,” ujarnya. 

 Anak didik Cikgu Emmet tidak dapat menahan kesedihan apabila guru kesayangan mereka bertukar ke sekolah lain.
SEBAK: Anak didik Cikgu Emmet tidak dapat menahan kesedihan apabila guru kesayangan mereka bertukar ke sekolah lain.

Ditanya apa yang ada di Sarawak dan tidak ada di tempat lain di Malaysia, bagi Cikgu Emmet yang pertama sudah tentu masyarakatnya yang berbilang kaum dan hidup dalam suasana aman dan harmoni. 

Sarawak katanya, juga mempunyai banyak buah-buahan dan makanan yang unik yang tidak terdapat di negeri-negeri lain seperti engkalak, dabai dan pucuk midin yang sangat sedap dimakan. 

“Toleransi adalah teras perpaduan di sini dan meskipun saya bukan orang Sarawak saya tidak pernah berasa  terasing atau tersisih sepanjang bertugas dan menetap di sini. 

“Sebab itulah saya berusaha untuk mempromosikan hubungan yang baik antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung menerusi penulisan saya dalam blog Cikgu Emmet Menulis yang kita sudah mencecah 123,000 ‘liker’,” katanya. 

Sempena dengan Hari Malaysia pada 16 September ini, Cikgu Emmet mengajak semua masyarakat untuk menguatkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini. 

 Cikgu Emmet bersama guru-guru SK Pulau Seduku yang lain.
RAKAN SEPERJUANGAN: Cikgu Emmet bersama guru-guru SK Pulau Seduku yang lain.

Beliau juga berharap Sarawak akan terus berada di landasan terbaik sebagai contoh perpaduan yang harus diikuti masyarakat Malaysia. 

Cikgu Emmet juga yakin Sarawak mampu menjadi wilayah termaju di Malaysia dengan kekayaan hasil buminya. 
 

'Kita semua orang Malaysia': Dev Kumar

DEV

TIGA kali ditugaskan di Sarawak atau lebih khusus, Kuching, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar jatuh hati dengan perpaduan dan keharmonian warga di sini.

Beliau yang pertama kali menjejak kaki ke Bumi Kenyalang pada 1982 selepas tamat latihan kepolisan, kagum dengan semangat perpaduan di kalangan berbagai warga berbilang kaum dan agama.

Selama tujuh tahun bertugas di Balai Polis Sentral Kuching, beliau mengakui mengambil masa sedikit untuk menyesuaikan diri dengan budaya agak berlainan di sini berbanding Semenanjung Malaysia.

"Masyarakat di sini hidup harmoni, perpaduan yang erat. Saya cukup selesa bertugas di Sarawak," ujarnya sambil menambah, ini tidak bermakna di Semenanjung tidak wujud perpaduan dan keharmonian.

Cuma menurutnya, Sarawak unik sedikit memandangkan lebih 20 suku kaum hidup aman damai sejak turun temurun. 

"Apabila diberi peluang oleh pucuk pimpinan PDRM pada 2015 saya datang sekali lagi (ke Sarawak) dan bertugas tiga tahun di sini sebagai Ketua JSJ Sarawak.

"Selepas itu pucuk pimpinan bagi peluang sekali lagi datang ke Sarawak sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis dan saya terima dengan rela hati," ujarnya.

Dev ketika ditemu bual pemberita
Dev ketika ditemu bual pemberita

Jelasnya, beliau amat selesa bertugas di Sarawak kerana masyarakatnya yang baik dan peramah. 

Beliau amat kagum dengan bagaimana masyarakat di sini berinteraksi meskipun terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan budaya.

Ikatan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia terutama di Sarawak wajar dieratkan lagi - bukan sahaja di kalangan anggota polis dan penjawat awam yang lain, tetapi juga masyarakat umum.

Dev setuju dengan pendapat mengatakan bahawa Sarawak wajar dijadikan contoh dari aspek perpaduan dan keharmonian kaum. 

"Kita kena sentiasa mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum," tegasnya.

Beliau pada masa sama, mengingatkan sudut keburukan media sosial daripada aspek perpaduan.

"Kena jaga media sosial dan saya selalu berpendapat media sosial satu medium yang boleh mendatangkan kegusaran.

"Apa yang kita tulis di media sosial perlu dijaga daripada aspek agama dan kaum," jelasnya.

Pengguna media sosial jelasnya perlu berhati-hati supaya komen atau catatan tidak mengguris perasaan mana-mana kaum dan agama.

"Kita semua orang Malaysia, cuma yang berbeza kaum dan agama. Usah jadikan perbezaan itu sebagai penghalang perpaduan," ujarnya.